Completed
                        
205
                    “Argh!” Yazzid jatuh lagi. Namun, segera dia menahan tubuhnya dengan tangan dan melompat berdiri. Matanya memanah wajah Khattab yang tenang. Nampak seperti tidak terkesan langsung dengan semua serangannya.
Pertarungan mereka berlanjutan sehingga matahari berada di atas kepala. Yazzid sudah dibasahi peluh. Wajahnya jelas keletihan. Pedang langsung tidak mampu diangkat lagi.
“Sudahlah. Mengaku kalah sahaja.” Khattab berbicara. Merenung Yazzid dengan penuh rasa takjub. Semangat kanak-kanak ini luar biasa. Walaupun wajahnya sudah merah, nafasnya sudah mengah dan kepalanya sudah berpinar, namun semangatnya masih kuat.
“Dalam mimpi.” Yazzid bergerak menyerang Khattab . Namun Khattab cekap mengelak. Yazzid menghayun pedang dengan kedua-dua belah tangan. Serangannya goyah. Khattab kekal berdiri. Tidak mengelak. Mengikut jangkaannya, hayunan pedang itu tidak tepat.
Zuss!
Pantas. Khattab membesarkan mata. Yazzid tersengih.
Darah pekat menitis perlahan-lahan dari lengan baju Khattab yang terkoyak.
Tadi Yazzid telah megubah arah hayunan pedangnya secara tiba-tiba. Dia mengerahkan seluruh tenanganya untuk menggerakkan pedang itu dengan pantas. Dan hasilnya…
Khattab memandang lengan bajunya yang terkoyak. Kelihatan garis berwarna merah di lengannya. Darah mengalir keluar. Kulitnya terbelah sedikit akibat goresan mata pedang Yazzid .
Pap! Pap! Pap!
Bunyi tepukan kedengaran. Abu Badri , ketua panglima perang masuk ke tengah gelanggang. Dia lengkap berzirah perang. Wajahnya bersih dan sentiasa tersenyum.
“Yazzid .” Dia bersuara.
“Ya, tuan.”
“Kamu diizinkan untuk menyertai peperangan ini.”
Mata Yazzid bercahaya. “Benarkah ini?” Suaranya kedengaran gembira. Wajahnya ceria.
Abu Badri mengangguk sambil tersenyum. Sebenarnya, dia telah memerhatikan pertarungan ini dari awal. Dia berasa kagum dengan semangat dan keberanian kanak-kanak ini. Tidak putus asa walaupun dihalang.
“Terima kasih. Semoga Allah membalas kebaikan tuan.” Yazzid menunduk hormat. Kemudian dia berpaling untuk pergi. Tidak sabar untuk mengkhabarkan berita gembira ini kepada kawan-kawannya.
“Yazzid …” Abu Badri memanggil. Yazzid menoleh. “…nanti jangan bawa pedang itu. Berat. Tidak sesuai untuk tubuhmu yang kecil. Untuk menggerakkannya sahaja kamu perlu mengeluarkan seluruh tenaga kamu.” Abu Badri ketawa. Teringat Yazzid yang akan termengah-mengah selepas membuat satu libasan pedang. “Kamu akan diletakkan dalam pasukan memanah.” Sambung Abu Badri .
“Dan kamu pula Khattab …” Khattab memandang Abu Badri . “Saya hendak mengamanahkan kamu melaksanakan satu misi.”
Khattab terkejut. Dia?
Abu Badri menepuk-nepuk bahu Khattab . Khattab tertanya-tanya. Misi apakah itu? Kenapa dia yang diamanahkan?
Share this novel