BAB 2

Thriller Completed 205

Wilayah Armonia terletak bersempadan dengan wilayah Zigurar. Raja Armonia, Raja Ramesh disembah dan dianggap sebagai tuhan. Baron Shaukan, digelar Yang Mulia Gariel iaitu orang kepercayaan Tuhan. Namun, di tengah kegelapan wilayah itu, wujud sedikit sinar Islam. Namun sinar itu cuba dihapuskan secara kejam oleh Raja Ramesh yang mengakui tiada kuasa yang lebih hebat daripada dirinya. Mereka dibakar hidup-hidup dan ada yang digantung pada Menara Zuhrah, menara kebesaran Raja Ramesh tanpa diberikan makanan dan minuman. Yang selamat, terpaksa menyembunyikan diri. Tiada yang berani menyebarkan sinar itu. Cahaya hampir terpadam di wilayah ini.

“Khattab , Khattab .” Seorang lelaki berbaju, berpakaian baju tanpa kolar berwarna coklat berlari termengah-mengah. Wajahnya ceria, seperti dalam gembira yang amat. Ketika itu, Khattab sedang berlatih menggerak-gerakkan Pedang Pahlawan. Terus pedang itu disisipkan kembali ke pinggang.

“Ada apa, wahai sahabatku Naufal ?” Khattab bertanya hairan. Naufal ialah sahabat baiknya sedari kecil. Walaupun kedudukannya tidak seperti Khattab , namun dia juga daripada keluarga berada.

“Aku sudah mendapatkan kebenaran.” Naufal bersuara dalam mengah.

Dahi Khattab berkerut.

“Kebenaran?”

“Tadi aku telah mendengar satu kalam yang amat menggetarkan hatiku. Luar biasa. Dan orang-orang yang membaca kalam itu juga luar biasa.”

“Jadi?”

“Aku telah menyertai mereka.” Tutur Naufal . “Dan aku datang ini kerana ingin mengajakmu, sahabatku. Katakanlah, tiada Tuhan selain Allah yang Maha Esa dan Utusan Muhammad itu adalah pesuruh Allah.”

“Bedebah!” Mendengar sahaja bicara Naufal , Khattab pantas menghunus pedang di pinggangnya. Pedang yang mempunyai hulu bertatahkan berlian itu diacu ke leher Naufal .

“Berani kau berkata begitu! Kau mahu berpaling dari Tuanku Ramesh ?” Jerkah Khattab .

Mata pedang menggores leher Naufal .

“Tuanku Ramesh juga adalah hamba Allah yang Maha Kuasa. Sama macam kau, sama macam aku.” Tenang Naufal membalas.

“Tanpa izin-Nya, Kau tak akan mampu berbuat apa-apa. Hatta untuk menggerakkan jemarimu.” Sambung Naufal .

Pang!

Terus pedang itu terlepas ke lantai.

Naufal pantas mengambilnya.

Khattab terkaku. Apa yang terjadi? Tadi tangannya seakan-akan kaku. Jarinya seakan-akan mengeras. Lalu pedang itu terus meluncur turun dari genggamannya. Apakah ini?

Naufal bangun sambil menggenggam kemas pedang Khattab . Khattab menapak ke belakang. Rasa takut menyelinap ke dalam hatinya.

“Eh?”

Naufal tersenyum. Pedang itu disisipkan kembali di pinggang Khattab . Kemudian ditepuk-tepuk.

“Kenapa?” Khattab bersuara.

“Agama yang baru aku anuti ini mengajar aku untuk tidak menyebarkannya dengan mata pedang. Agama kami, agama pendamaian.” Naufal membalas. Darah yang meleleh di leher disapu dengan belakang tangan.

Senyap.

“Naufal ,” Khattab memecah suasana.

“Berkuasa sangatkah Tuhan yang engkau katakan itu?”

Terkoyak senyuman di bibir Naufal .

“Sangat-sangat berkuasa.”

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” Surah Al-Baqarah ayat 164.

Naufal membacakan sepotong ayat.

Hati Khattab bergetar hebat.

Di hadapan Naufal , dia melutut.

“Dengan ini, di hadapan kau, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Dia, Allah yang Maha Kuasa dan Utusan Muhammad itu adalah pesuruh Allah dan aku hanya hamba Allah yang lemah.”

“Allahu Akbar!” Laung Naufal . Gembira.

Siapa yang tidak gembira melihat sahabat baik sendiri mengakui keesaan-Nya?

Air mata mengalir di pipi Naufal .

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience