BAB 15

Thriller Completed 205

Pedang terhenti. Khattab mengetap bibir. Zirahnya koyak digores pedang Raja Ramesh . Kini pedang itu berhenti tepat di perutnya. Bersedia untuk memburaikan isinya.

Pergerakan Raja Ramesh terkaku. Sejuk pedang Khattab telah menyentuh lehernya. Jika dia bergerak, akan bercerailah kepalanya dari badan. Kedua-duanya tersepit antara hidup dan mati.

“Baiklah, lepaskan aku. Aku akan hentikan peperangan ini. Kau dan orang kau boleh pulang dengan selamat.” Raja Ramesh memberi tawaran.

Khattab menggeleng. “Cita-citaku hampir menjadi kenyataan. Memang inilah tujuan aku datang ke sini. Untuk membunuh kamu!” Khattab membalas.

“Bodoh! Kau juga akan mati. Kau tidak nampakkah pedangku yang telah bersedia untuk mengoyakkan isi perutmu?”

Khattab tersenyum. “Aku bukan seperti kamu, Ramesh ! Aku tidak takut mati. Matlamatku memang dua, sama ada menang ataupun syahid. Kami, tentera Islam sanggup mati untuk agama yang kami anuti.” Di akhir kalamnya, Khattab menggerakkan tangannya dengan pantas, mencantas leher Raja Ramesh .

“Argh!!!” Di akhir hayatnya, Raja Ramesh menjerit. Matanya terbuntang. Kepalanya terpisah daripada badan. Kemudian, kedua-duanya jatuh ke bumi.

“Allahu Akbar!” Khattab bertakbir. Kepala Raja Ramesh diambil. Berita ini perlu disampaikan kepada tentera musuh untuk melemahkan semangat mereka. Serentak dengan itu, 10 tentera elit memasuki khemah. Mereka ini ialah ‘malaikat-malaikat’ Raja Ramesh . Bersubahat dalam menghasut manusia menyembah Raja Ramesh . Walhal hakikatnya mereka mengetahui Raja Ramesh bukan Tuhan mereka.

“Dia telah membunuh Tuanku.” Seorang tentera elit bersuara. Khattab mengenal suara itu. Itu suara abangnya, Malik Shaukan. Ketua kepada para ‘malaikat’ Raja Ramesh .

“Urghh!” Darah termuntah keluar dari mulut Khattab . Ketika ini baru dia menyedari pedang Raja Ramesh telah menembusi perutnya. Khattab memegang hulu pedang itu. Dia melutut di tanah. Seluruh tubuhnya terasa sakit.

Ketua para ‘malaikat’ itu mendekatinya.

“Heh, dia sudah hampir mati. Kita tinggalkan dia. Dia tidak akan sempat menyampaikan berita kematian Raja Ramesh kepada pasukan kita. Agama yang mereka agung-agungkan akan lenyap.” Malik Shaukan bersuara. Pedang di sisi Khattab dikuis ke atas dengan kaki dan kemudiannya disambut. Sedikit pun tidak tercuit melihat Khattab terketar-ketar menahan kesakitan. “Pedang ini sepatutnya milik aku.” Dia berjalan keluar dari khemah. Semua tentera elit mengikuti langkahnya. Tinggal Khattab sendirian.

“Ya Allah kuatkan aku. Jangan matikan aku sehingga aku selesai melaksanakan tugas ini. Sesungguhnya aku hanya hamba yang lemah.” Khattab berdoa. Kemudian, dengan seluruh tubuh yang terketar-ketar, Khattab cuba bangkit. Pedang di perutnya dicabut dan dijadikan tongkat. Sakitnya terasa seperti tubuhnya disiat-siat.

“Allah….” Sebelah lagi tangan Khattab berpaut pada tombak di sebelahnya. Dengan susah payah, Khattab cuba berdiri. Tombak dicacakkan ke tanah.

“Hei, dia cuba menuju ke medan.” Seorang tentera Elit terpandang Khattab yang sudah berada di atas kudanya. Khattab memeluk erat leher kuda tersebut dan memacu kudanya laju menuju ke medan. Tangan kanannya memegang pedang dan kepala Raja Ramesh sementara tangan kirinya memegang tombak.

images

“Hiargh!” Seorang tentera elit berjaya memintas Khattab dan mencantas tangan kanannya. Kepala Raja Ramesh Berjaya disambut dengan tangan kirinya. Pedang terlepas ke tanah. Tangan kanannya berputar seketika di udara sebelum melandas ke wajah seorang tentera elit yang mengejarnya. Tentera elit itu jatuh.

Tiga orang tentera elit berjaya menyainginya. Khattab memutarkan tombaknya, menyebabkan musuhnya terpaksa menjauhinya. Walaupun hanya dengan sebelah tangan, Khattab bijak menggunakan tombaknya untuk menikam musuh. Bahagian leher menjadi sasaran.

“Matilah!” Seorang tentera elit melibas pedang dari kiri. Khattab mengelak, menyebabkan tangan kirinya terputus dari bahunya. Khattab pantas menggigit rambut Raja Ramesh . Tombaknya tercampak ke udara bersama tangannya.

“Ya Allah, aku bertawakkal kepadaMu. Ini usahaku yang terakhir. Sampaikanlah kepala ini ke tengah medan pertempuran.” Dengan sekuat hati, Khattab membaling kepala tersebut. Waktu seakan-akan terhenti. Kepala itu bergerak ke medan pertempuran dan jatuh betul di tengah-tengah. Dia melihat Abu Badri menjulangnya.

Ketika itu, ribuan anak panah meluncur ke arahnya. Tubuhnya dihujani anak panah. Khattab terjatuh dari kudanya. Tetapi dia tidak jatuh ke tanah. Tubuhnya disambut seseorang. Dan dia mendengar suara lantang Abu Badri dari tengah medan.

“Raja Ramesh sudah mati. Sudah terbukti bahawa dia juga seperti kalian. Adakah kalian tidak berfikir, bagaimana tuhan boleh dibunuh oleh hambaNya? Lihatlah, tuhan kalian telah mati. Berserahlah dan tunduklah kepada Islam!”

Peperangan terhenti. Tentera Raja Ramesh seakan-akan baru terjaga daripada lena. Ramai di antara mereka yang menyerah diri.

“Khattab .” Satu suara kedengaran begitu dekat di telinganya. Rupa-rupanya, Naufal sedang memeluk erat tubuhnya, menghalangnya daripada jatuh. Mata Naufal kelihatan basah.

“Sahabat, mana boleh kau syahid dahulu? Aku sepatutnya terbang ke syurga lebih awal daripada kamu.” Suara Naufal kedengaran bergetar. Hatinya menahan sebak. Tubuh Khattab dipenuhi dengan anak panah. Kedua-dua tangannya kudung. Dan perutnya juga terburai. Siapa yang tidak sedih melihat keadaan Khattab ?

“Heh,” Khattab bersuara perlahan. “Bidadari kau, aku punya, tahu?” Khattab cuba menceriakan suasana. Keningnyan diangkat dua kali. “Aku menang.” Bibirnya mengukir senyuman. Naufal tergelak. Namun, air matanya mengalir lebih laju. Menitik ke wajah Khattab .

“Hei, janganlah menangis.” Khattab bersuara.

Naufal memalingkan wajahnya. “Mana ada aku menangis.” Naufal mengelap pipinya dengan belakang tangan.

“Lihat ini. Aku tidak menangislah!” Naufal memandang Khattab semula. Matanya merah.

Khattab tersenyum. Di hujung senyumannya, darah merah mengalir. Ketika ini tubuhnya berasa sejuk.

“Ayahku terbunuh?” Khattab bertanya. Semakin lemah.

“Ya.” Naufal cuba menahan air matanya daripada tumpah. Dia melihat Baron Shaukan tumbang di belakangnya tadi.

“Aku melihat ayahku.” Khattab bersuara perlahan. Matanya dipejamkan. Tubuhnya terasa semakin ringan.

Sebak mencengkam ke dasar hati Naufal . Air matanya tidak dapat ditahan. Sahabatnya dari kecil, teman sepermainannya sedang bergerak menembusi alam lain.

“Khattab .” Panggilnya perlahan. Namun, sahabatnya itu tidak menunjukkan sebarang reaksi. Naufal melihat ke dada dada Khattab yang telah berhenti berombak. Fahamlah Naufal , kehidupan sahabatnya telah terhenti.

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup tetapi kamu tidak menyedarinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience