Completed
                        
205
                    Wilayah Armonia telah bertukar wajah. Islam telah diiktiraf sebagai agama rasmi. Panglima Abu Badri dilantik menjadi pemerintah. Dia memerintah dengan adil dan saksama. Ramai penduduk Armonia yang memeluk Islam kerana terpesona dengan peribadi Abu Badri yang bersih. Penduduk Islam tidak lagi berasa takut. Mereka bebas melakukan ibadah di mana-mana.
“Naufal .”
Naufal menoleh.
Suhaib sedang berdiri di belakangnya sambil tersenyum. “Terkenang Khattab ?”
Naufal mengangguk. “Siapa boleh melupakan sahabat yang telah bersama dengannya sejak dari kecil?”
“Khattab adalah sebab utama Islam dapat diamalkan secara bebas hari ini. Malangnya, dia tidak sempat melihat hasilnya.” Suhaib memandang beberapa orang lelaki berjubah putih yang lalu di sebelahnya. Mereka sedang bergerak ke masjid. Azan akan dilaungkan tidak lama lagi.
Kini, beberapa buah masjid telah dibina di seluruh Wilayah Armonia. Masjid Muhammadiyah, Masjid Abu Bakr as-Siddiq, Masjid Abdurrahman ‘Auf dan Masjid Mus’ab bin Khattab .
“Aku kagum dengannya.” Tutur Naufal . Teringat Khattab . Dia yang dahulunya kaya-raya, tidak meninggalkan walau sekeping wang selepas kematiannya. Dia bukan sahaja mengorbankan harta dan kemewahan yang dinikmatinya, malah dia juga mengorbankan kedua-dua tangannya dan juga nyawanya.
Dia memandang ke langit.
“Sahabat, apa khabar engkau di sana?”
Share this novel