BAB 10

Thriller Completed 205

“Ayah, Zubair dah besar.” Zubair meninggikan badannya.

“Izinkan Ziyad ikut berperang, ayah.”

“Saya ingin syahid juga…” Mata Yazzid merenung penuh harap.

“Tolonglah beri saya pergi ayah…Saya sudah pandai menggunakan pedang.” Rayu Saad bersungguh-sungguh.

Khattab memerhatikan pemandangan di hadapnnya dengan penuh rasa takjub. Ketika semua berbaris untuk membahagikan pasukan, beberapa kanak-kanak kecil menyelit di antara mereka. Apabila dihalau, mereka menangis dan merayu agar dapat ikut berperang. Kebanyakan mereka hanya berusia 9-12 tahun. Bagaimana mahu mengangkat senjata?

“Kami kecil. Kami boleh menyelit di antara mereka dan menikam mereka.” Pujuk Nu’aim.

Benar. Mereka kecil. Hanya separas pinggangnya. Khattab menggosok kepala Yazzid . Kanak-kanak yang yatim disebabkan ayahnya.

“Kamu belajar dahulu cara memegang pedang. Kemudian tunggu kamu besar sedikit. Kemudian kamu boleh ikut kami berperang.” Khattab memujuk dengan suara yang lembut.

“Abang, ini tidak adil. Adakah hanya orang besar sahaja yang boleh mendapatkan syahid? Saya takut peluang ini hanya datang kali ini sahaja. Tak mungkin kita mengharapkan peperangan terjadi lagi.” Jelas getaran pada suara Yazzid . Dia merenung Khattab dengan mata berkaca.

Bicara Khattab terkunci. Hatinya seperti disentap.

“Sungguh, aku telah mendengar satu ayat yang telah membuatkan aku cemburu kepada kalian, wahai orang-orang besar. Adakah kerana kami ini masih kecil, maka kami tidak layak mendapatkannya? Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak ikut berperang) yang tidak mempunyai ‘uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduksatu darjat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang dudukdengan pahala yang besar”

Yazzid pergi. Tidak lama kemudian dia datang semula dengan sebilah pedang. Diseret. Tubuhnya yang kecil tidak mampu mengangkat pedang yang berat itu. Pedang itu hanya diikat pada pergelangan tangan kanannya.

“Kita bertarung. Kalau saya menang, abang harus izinkan saya berperang.” Dia bersuara.

Mata Khattab membulat tidak percaya. Budak ini hendak berlawan dengannya, seorang pahlawan yang terkenal mahir menggunakan pedang?

“Mari.” Yazzid menggerakkan kepalanya, mencabar. Pedang yang diikat di pergelangan tangannya diangkat menggunakan dua tangan.

Khattab menghunus senjatanya.

Dan pertarungan pun bermula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience