Completed
                        
205
                    Naufal berjalan tanpa arah. Tidak tahu ke mana lagi mahu mencari Khattab . Tadi, ketika dia mengetuk pintu rumah Khattab , dia disambut dengan dingin oleh bonda Khattab .
“Khattab ada?” Naufal bertanya selepas Shauran, bonda Khattab membuka pintu.
“Khattab ?” Suaranya kedengaran dingin. “Biar dia mampus!”
Naufal terkejut mendengar kata-kata kasar itu. Tiba-tiba Shauran mencengkam kolar baju Naufal .
“Heh, jangan-jangan kamu pun sudah gila seperti Khattab itu? Menyembah Tuhan yang tidak dapat dilihat. Derhaka pada Tuanku Ramesh , begitu?” Shauran menjengilkan mata.
Naufal terkaku.
Bonda Khattab sudah tahu?
“Sudah! Pergi berambus!” Dengan kasar, Shauran menolak tubuh Naufal . Kemudian, pintu dihempas dengan kasar. Naufal terundur ke belakang.
“Astaghfirullahalzim.” Naufal pantas beristighfar.
“Khattab !” Naufal melaung. Namun seperti sebelumnya, panggilannya tidak bersahut. Perjalanannya seperti sia-sia. Sedangkan, kakinya sudah melecet. Dadanya pun sudah turun naik kerana kepenatan.
“Ya Allah!” Naufal tersandar kepenatan ke tiang sebuah kandang kuda. Peluh sudah mencucur di dahi.
“Ya Allah, bantulah aku. Sesungguhnya, aku tidak berdaya tanpa bantuanMu.” Hampir menitis air mata Naufal ketika memanjatkan doa itu. Dia hampir putus asa.
Naufal menoleh ke dalam kandang. Terdapat 4 ekor kuda jantan di dalamnya. Bau busuk menyengat hidung. Tiba-tiba matanya menangkap batang tubuh seseorang sedang terbaring kepenatan di atas jerami.
Allahu Akbar!
Air mata Naufal mengalir. Terus Naufal melompat ke dalam kandang.
“Khattab , sahabatku!” Naufal menjerit gembira. Terasa seperti Allah sangat dekat dengan dirinya. Doanya terus dimakbulkan.
“Terima kasih, Ya Allah.” Naufal berlari menghampiri Khattab .
Mendengar jeritan Naufal , Khattab membuka matanya.
“Naufal ?”
“Ya, sahabatku.” Dan di kandang kuda itu mereka berpelukan.
Masing-masing dapat merasa air mata menitis ke bahu mereka.
Share this novel