BAB 3

Thriller Completed 205

Tempat ini luar biasa. Benar-benar luar biasa. Bukan kerana binaannya, namun kerana suasana di dalamnya yang harmoni. Manusia-manusia di dalamnya luar biasa.

“Selamat datang, Khattab .”

“Selamat datang.”

Semua meraikannya. Tiada yang mengungkit kekejaman ayahandanya yang telah membunuh ramai daripada mereka. Seperti dia bukan anak kepada Baron Shaukan yang telah membunuh sanak-saudara mereka.

Dia dipeluk. Dilayan dengan layanan yang amat istimewa. Kanak-kanak menyerbunya dengan tawa riang dan ceria.

“Wahai saudara baru…” Seorang pemuda memanggilnya.

“Suhaib, jangan panggil begitu. Tiada beza antara mereka yang baru memeluk Islam dan yang sudah lama.” Tegur seorang lelaki berpenampilan sederhana.

Khattab tersenyum. Betapa mereka ini amat menjaga hatinya.

Seorang kanak-kanak sekitar umur 10 tahun, berbaju lusuh tetapi kemas menghampirinya. Senyuman menghiasi wajahnya yang comel. Dia mendongak, memandang wajah Khattab .

“Abang,” Serunya. “Boleh saya panggil begitu?” Dia bertanya.

“Boleh.” Khattab tersenyum. Budak itu diangkat.

“Wahai si kecil, di manakah keluarga kamu?” Khattab bertanya. Khuatir kanak-kanak ini terpisah dari keluarganya.

“Ayah dan ibu saya mati di hujung pedang itu.” Tangan kanak-kanak itu menunjuk Pedang Pahlawan di pinggang Khattab . “Mereka dibunuh oleh Baron Shaukan. Sejak itu, saya sebatang kara.” Ujarnya.

Khattab kaku. Rasa kesal dan simpati menyelinap ke dalam hati Khattab . Perlahan-lahan kanak-kanak itu diturunkan.

Zupp!

Pedang itu dihunus dari sarungnya. “Pedang ini telah membunuh banyak nyawa. Aku tak akan biarkan darah melekat di pedang ini lagi.” Ikrar Khattab . Pedang bertatah berlian itu diangkat tinggi.

“Jangan!” Seorang lelaki berpenampilan sederhana menghalang.

“Jika dahulu pedang ini telah membunuh mereka yang beriman, kenapa kau yang telah beriman tidak menggunakan pedang ini untuk mempertahankan Islam dari mereka yang tidak beriman?”

Kata-kata itu menyerap jiwa Khattab .

“Simpan kembali. Kau memerlukannya.” Tutur lelaki itu lagi. Khattab menyimpan kembali pedangnya.

Di sisi kanak-kanak itu, Khattab melutut.

“Maafkan aku, kerana ayahku telah merampas orang tuamu. Maafkan aku, kerana dulu aku juga bersubahat dengan ayahku untuk menghapuskan orang-orang seperti ayahmu.” Khattab memegang bahu kanak-kanak itu. Hatinya hiba memikirkan kanak-kanak sekecil itu harus membesar tanpa ibu bapa di sisi.

“Ketahuilah, abangku. Aku telah memaafkan ayahmu ketika ayahmu membunuh ayah dan bondaku lagi. Jika ayah dan bondaku harus mati supaya kamu beriman, maka itu lebih baik.” Kanak-kanak itu membalas.

Allahu akbar!

Luar biasa. Mereka ini luar biasa. Hatta kanak-kanak mereka.

“Semua yang beriman ini luar biasa ya?”

Khattab bersuara.

“Ya saudaraku. Termasuk juga kamu.” Lelaki berpenampilan sederhana itu membalas.

Dan Khattab dapat merasakan sesuatu yang dia tidak pernah rasai sebelum ini.

Ketenangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience