Completed
                        
205
                    Naufal memerhatikan Khattab yang tekun membersihkan kandang. Inilah rutin harian Khattab . Membersihkan kandang, membuat makanan kuda dan memberinya makan, mengambil air dari telaga, dan membersihkan kuda-kuda ini daripada kotoran. Setiap hari, dia melihat Khattab diherdik, dimaki dan kadangkala dipukul oleh tuan kandang kerana kerjanya yang tidak memuaskan. Kehidupannya yang selama ini mewah membuatkan dia tidak berapa cekap melakukan kerja-kerja seperti itu. Dia terpaksa belajar perkara yang tidak pernah dilakukannya seumur hidup untuk mengisi perutnya.
Pernah Naufal mengajak Khattab tinggal bersamanya.
Namun, apa jawapan sahabatnya itu,
“Dengan melakukan kerja-kerja seperti ini, aku dapat merasakan kerdilnya diriku. Jangan kau memaksa aku untuk lebih jauh daripada tuhanku. Apabila susah seperti ini, aku akan lebih mengingatiNya. Apabila dimarahi, aku terfikir, bagaimana jika Allah yang memarahiku? Kalau kemarahan tuanku sahaja sudah membuatkan aku takut, apatah lagi kemarahan Tuhanku Yang Maha Agung? “
Dia membalas tenang.
“Aduh!” Tiba-tiba Khattab menjerit dari dalam kandang. Naufal segera menoleh.
“Ada apa?” Dia sedikit cemas.
“Ah, tak ada apa. Jariku tersepit di pintu kandang.” Balas Khattab . Selepas itu dia ketawa sambil menunjukkan jari-jarinya yang pucat membiru. Kelihatan darah beku di hujungnya. Kelihatan juga kuku jari telunjuknya terkopek kerana tergores engsel pintu.
Naufal mengerutkan kening.
Sakit atau tidak? Kenapa Khattab ketawa?
“Tidak sakitkah? Kenapa kau ketawa?”
Khattab tersenyum. “Pastilah sakit. Namun apabila aku terfikir Allah sedang memberi pahala kepadaku dengan sakitku ini, aku berasa gembira. Lalu aku ketawa.”
Dia mengusap jari-jarinya. Naufal terdiam.
Tindakan Khattab memang di luar jangkaan. Dari seorang yang sentiasa berpakaian mewah, kini pakaiannya kain putih lusuh yang diikat. Tangannya yang halus dan putih bertukar menjadi gelap dan kasar. Badannya kurus. Mukanya semakin cengkung. Rambutnya yang hitam berkilat kelihatan kasar dan panjang tidak terurus. Bagaimana Khattab boleh meninggalkan segala kesenangan yang dimilikinya? Dia bukan sahaja kaya, malah pemuda yang tertampan, terhormat dan anak yang amat disayangi oleh Baron Shaukan. Namanya masyhur. Gadis-gadis hanya di hujung jarinya. Dan Khattab pula seorang yang amat cerewet. Tidak boleh seorang pun yang boleh memakai pakaian yang sama dengannya. Maka, sebab itu, Baron Shaukan akan mengupah tukang jahit yang mahir dan kemudian tukang jahit itu dilarang untuk menjahit pakaian untuk orang lain. Begitu juga dengan wangiannya. Wangian dari kasturi putih yang diproses menjadikan baunya tidak tertanding. Menggetarkan hati gadis-gadis yang berselisih dengannya. Hanya Khattab seorang sahaja yang memiliki wangian tersebut.
Tapi kini, semua itu telah lesap, hilang dari Khattab hanya kerana dia mengakui keesaan Tuhannnya.
“Khattab .”
Dia menoleh.
“Apa yang menjadikan kau kuat untuk meninggalkan segala yang kau miliki dahulu selepas memeluk Islam?”
Khattab tersenyum. “Sahabatku. Aku kuat kerana aku percaya kepada-Nya. Aku percaya pada kata-kata Tuhanku. Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). Katakanlah: “Inginkah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?.” Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurniai) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. Adakah kau tidak percaya?” Khattab tersenyum sebelum berpaling.
Naufal tersentak. Percaya…
“Aku seorang miskin yang dimuliakan Allah dengan Islam.” Khattab menyambung.
Seseorang itu memang akan menjadi luar biasa bila cahaya keimanan telah meresapi hatinya.
Share this novel