BAB 7

Romance Completed 6274

Luqman masuk ke dalam bilik Asywad setelah bersalaman dengan ibu Asywad. Ini bukannya kali pertama dia datang ke rumah Asywad, malah dia sudah terbiasa. Lantaran itulah ibu Asywad dengan senang hati membiarkan Luqman masuk ke bilik Asywad. Luqman duduk di birai katil.

“Dah lama kau sampai?” sapa Asywad yang baru sahaja keluar dari tandas. Lelaki itu sudah lengkap berpakaian. Luqman menggeleng.

“Tak ada maknanya dah lama.. Aku baru letak punggung aku ni haa.. Weh, ni buku yang kau nak pinjam.. Aku dah bawak sekali ni.”

“Oh, thanks.. Kau dah makan belum? Kalau belum, mak aku ada masak kari ayam tu. Sedap weh..” Sengaja Asywad menyebut kari ayam di hadapan Luqman kerana lelaki itu memang gilakan masakan ibunya. Tersenyum Luqman mendengarkan itu.

“Ada ke? Boleh makan ke?” Luqman bertanya dalam nada teruja, membuatkan Asywad tergelak. Baru sahaja dia hendak menjawab, telefon bimbit Asywad berbunyi riang. Asywad mencapai telefon bimbitnya dan menepuk bahu Luqman sebagai tanda meminta diri. Luqman tersenyum cuma.

Sementara Asywad sedang leka berborak di telefon, Luqman mendekati rak buku milik Asywad. Pelbagai buku ada di situ. Luqman tahu, Asywad memang minat membaca. Setiap kali mereka keluar melepak bersama, Asywad pasti membeli buku, tak kisahlah buku apapun. Mata Luqman tertancap pada satu buku teks.

“Buku teks Sejarah tingkatan 3?” Luqman bertanya kepada dirinya sendiri. Dia tersengih, seakan tidak percaya Asywad masih lagi menyimpan buku teks Sejarah tingkatan 3.

“Buku aku entah dah campak ke mana entah..” katanya lagi.

Luqman menarik keluar buku tersebut dan mula menyelak satu persatu sehinggalah matanya melekat pada sekeping foto yang diselitkan di tengah-tengah buku. Mata Luqman terbuntang, dirinya seakan kehilangan kata. Luqman mengeluarkan foto yang diambil menggunakan kamera polaroid itu dari buku.

“Weh, jomlah ma..” Apa sahaja yang Asywad hendak katakan mati begitu sahaja. Lidahnya turut kelu apabila terpandangkan foto yang sudah berada di genggaman Luqman.

“Macam mana kau..”

“Kenapa gambar Farisya ada pada kau? Gambar waktu kau sekolah menengah?” Soal Luqman seakan tidak percaya. Riak Asywad sudah berubah menjadi kelat. Dia mendekati Luqman dan mengambil foto tersebut bersama senyuman tawar.

“Oh.. Kau.. Kau tak tahu, eh? Aku dengan Farisya dulu sama sekolah menengahlah.. Kitorang sekelas waktu form 3 dengan form 4..”jawab Asywad lalu menyimpan semula foto tersebut. Luqman memegang lengan Asywad, memintanya penjelasan.

Asywad berpaling perlahan-lahan. Dia tahu, saat ini dia harus jujur. Menipu Luqman yang merupakan rakan karibnya bukanlah satu perbuatan yang mudah untuk dilakukan. Asywad duduk di atas katilnya lalu meraup wajahnya. Luqman masih lagi menunggu jawapan daripada Asywad.

“Sebenarnya.. Aku dah lama kenal Farisya..”

“Kau tak pernah cakap pun?” laju Luqman memotong. Dirinya terasa seakan ditipu oleh Asywad tetapi dia tahu, pasti ada penjelasan di sebalik semuanya.

“Sebab kitorang tak berapa rapat..” jawab Asywad jujur.

“Kau cintakan dia, kan? Kalau tak, tak mungkin kau simpan gambar dia.. Lagipun, aku rasa macam gambar Farisya tu diambil curi-curi je..”

Asywad bertambah terkelu. Nampak sangat ke yang dia curi-curi ambil gambar Farisya? Sewaktu itu Farisya sedang asyik membaca buku, lalu Asywad berani mengeluarkan kamera polaroidnya dan mengambil gambar Farisya. Foto itulah yang disimpannya sehingga hari ini. Setiap kali dia rindukan Farisya, dia akan mengeluarkan gambar tersebut dari buku teks Sejarah.

“Aku tanya ni..” gesa Luqman lagi mahukan jawapan. Lambat-lambat Asywad mengangguk namun pantas dia memberikan penjelasan.

“Tapi.. Tapi aku tak ada niat nak rebut dia dari kau. Waktu kau cakap yang kau suka dia, aku cuba untuk lupakan Farisya. Sungguh! Aku memang dah buat keputusan untuk lupakan je dia tapi..”

Kata-kata Asywad tergantung di situ namun Luqman tetap setia menunggu kata-kata Asywad seterusnya.

“Tapi aku tak mampu. Dia cinta pertama aku, Luqman.. Susah aku nak lupakan dia. Aku minta maaf kalau kau anggap aku ni kawan yang tak baik untuk kau..” kata Asywad seraya memohon maaf. Asywad bimbang jika pengakuannya ini akan merenggangkan persahabatannya dengan Luqman. Dia tidak mahu kehilangan sahabatnya.

Luqman tersenyum lalu mendekati Asywad dan menepuk bahu rakannya itu. Senyuman mula mekar di bibirnya.

“Jangan risaulah.. Kalau kau memang sukakan Farisya, sepatutnya kau kejar cinta kau.. Bukannya mengalah macam tu je.. Lagipun.. Aku rasa, aku dah lepaskan dia daripada hidup aku. Sekarang ni, terpulang pada kau pulak..” ikhlas Luqman menuturkan katanya. Asywad terkejut, seakan tidak percaya dengan jawapan Luqman.

“Aku seriuslah.. Kau ni..” Ada tawa di hujung kata Luqman, meyakinkan Asywad bahawa Luqman sememangnya ikhlas. Asywad segera bangun dan memeluk Luqman sebagai tanda terima kasih.

“Thanks tau! Kaulah kawan aku yang paling hebat sekali! Terima kasih sangat-sangat!”

Kedua-dua sahabat itu tersenyum gembira. Tiada lagi rahsia antara mereka kini dan Luqman sendiri dengan rela hati telah melepaskan Farisya pergi dari hidupnya. Tawa mereka terbantut apabila telefon bimbit Asywad berbunyi. Asywad segera membuka MMS yang diterimanya.

“Ya Allah! Farisya!” Asywad menutup mulutnya yang terbuka kerana terperanjat.

Melihatkan Asywad, Luqman mengambil telefon bimbit Asywad dan dia turut memberi reaksi yang sama. Terpampang wajah Farisya di skrin telefon, tangan dan kaki gadis itu sedang diikat di atas sebuah kerusi. Asywad membaca mesej yang ada di situ.

‘Kalau kau nak dia selamat, dengar cakap aku.’

Sehabis Asywad membaca mesej tersebut, telefonnya menerima satu panggilan masuk. Laju Asywad menekan butang ‘Answer’.

“Hello!”

“Hello? Hahaha, kau mesti tengah cemas, kan?” kedengaran suara seorang lelaki di hujung talian sedang ketawa berdekah-dekah. Asywad bertambah cemas. Dia memandang Luqman yang masih dibelenggu rasa keliru dan risau.

“Kalau kau nak Farisya kesayangan kau ni selamat, lebih baik kau ikut apa yang aku cakap.”

“Jangan apa-apakan dialah!!” jerit Asywad di corong telefon. Lelaki itu tergelak hebat.

“Nak jadi hero, nampak? Okay. Kalau macam tu, kau keluar sekarang dan drive kereta kau. Aku akan tunjukkan arah kat kau. Tapi, ingat! Jangan laporkan pada polis. Kalau tak, nyawa Farisya akan melayang..”

Sempat lelaki itu memberi ugutan keras kepada Asywad. Asywad mengangguk sendiri. Tangannya laju mencapai kunci kereta yang ada di atas meja belajar. Luqman menarik tangan Asywad.

Luqman memberi isyarat menggunakan tangan dan mulutnya, mengatakan bahawa dia akan mengikuti Asywad. Pada mulanya Asywad enggan, tetapi Luqman merampas kunci dari tangan Asywad.

“Jom.” Ujar Luqman separa berbisik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience