BAB 13

Romance Completed 6274

“Aku terima nikah Nur Farisya binti Ahmad Alex dengan mas kahwinnya senaskhah al-Quran tunai..” Dengan sekali lafaz, Nur Farisya sah menjadi milik Asywad. Farisya mengesat air matanya yang mengalir saat mendengarkan ijab qabul antara Asywad dan tok imam. Tangannya ditadahkan, mengaminkan doa yang dibaca. Alhamdulillah, dia berjaya membuktikan kepada Asywad bahawa dirinya layak untuk insan sebaik Asywad.

Sebelum ini, Farisya membawa dirinya ke Mesir untuk membersihkan dirinya daripada dosa, sekaligus mencari semula dirinya yang ‘hilang’. Di sana, dia dipertemukan dengan Zaleha, rakan baik Aisyah. Zaleha yang sudah kehilangan anak perempuannya jatuh kasih kepada Farisya lalu dibelanya Farisya sebagai anak angkat. Dari hari ke hari, Farisya berubah menjadi muslimah yang lebih baik.

Takdir Allah, Zaleha mahu memperkenalkan Farisya yang kini mulai digelar sebagai Nur dengan anak rakan baiknya, Aisyah. Kata Zaleha, anak Aisyah sudah lama berduka menantikan seseorang dan dia harap Nur dapat menyuluh cahaya ke dalam hidup Asywad.

Pada mulanya Nur enggan tetapi setelah mengetahui bahawa Asywad ialah lelaki tersebut, Nur bersetuju. Betapa dia bersyukur kerana doanya dimakbulkan Allah..

Lamunan Nur hilang begitu sahaja apabila Asywad mendekatinya untuk membatalkan air sembahyang. Sebentuk cincin sudah tersarung manis di jari manis Nur. Kemudian, Nur menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Asywad. Syahdu hatinya saat itu.

Lensa kamera semuanya tertumpu kepada mereka berdua. Asywad mencium dahi Nur dengan penuh kasih. Sesungguhnya, Asywad bersyukur kerana akhirnya Allah memberikannya peluang untuk merasai cahaya cinta daripada insan yang bernama Nur Farisya binti Ahmad Alex.

Asywad memandang Luqman yang sedang memerhati mereka berdua. “Terima kasih, Luqman..” ucap Asywad di dalam hatinya. Setiap saat susah dan senangnya, Luqman sentiasa ada di sisinya. Luqman juga dengan rela melepaskan Farisya yang pernah dicintainya dahulu. Betapa besarnya pengorbanan Luqman, Asywad hanya mampu berdoa supaya Allah dapat membalasnya.

Di dalam hati, Luqman turut memanjatkan rasa kesyukurannya yang tidak terhingga kepada Ilahi. Kepulangan Nur Farisya dua minggu yang lalu turut ‘memulangkan’ kembali Asywad kepadanya. Asywad sudah kembali ceria seperti sebelum ini. Tentang Nur Farisya pula, Luqman redha. Cinta tak semestinya bersatu dan Luqman yakin, ada cinta yang lebih baik untuk dirinya di luar sana.

Asywad memandang Nur, mata mereka bersatu. Jelas ada rasa cinta di mata kedua-duanya.

“Saya cintakan awak, terima kasih kerana menemui saya dan terangi hari saya. No more darkness, just beautiful lights send from above..” bisik hati Asywad.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience