BAB 6

Romance Completed 6274

Sebaik tiba di Tasik Titiwangsa, Asywad menarik Farisya keluar dari kereta pula. Mereka berjalan hingga ke tepi tasik tersebut. Asywad melepaskan Farisya. Di dalam hati, dia sendiri rasa bersalah kerana memperlakukan Farisya seperti anak patung hari ini. Ditarik, diheret ke kereta, kemudian ditolak dan ditarik lagi.

“Kau nak apa ni? Aku bukannya anak anjing, yang kau boleh buat macam tu!” Farisya berkata kasar, tetapi nadanya tidak sekasar selalu. Semangatnya sudah terbang melayang, dibawa pergi apabila Asywad memanggilnya lembut tadi. Kenangan yang dia cuba usir menjelma semula tika itu. Dia tidak kuat. Dia benar-benar tidak kuat..

“Farisya..” lemah Asywad rasakan kini. Niatnya baik, tetapi lain pula tanggapan Farisya.

“Aku tak ada benda nak cakap dengan kau. Hantar je aku balik..” Seperti biasa, Farisya suka mengelak. Dia mahu pergi meninggalkan Asywad lagi.

“Kenapa kau suka mengelak?” soal Asywad tidak semena-mena.

Farisya tidak jadi melangkah. Mengelak? Dia berpaling. Asywad turut berpaling, matanya dan mata Farisya bersatu. Kali ini, Asywad nekad. Rasa yang sudah lama dipendam akan diluahkan. Dan akan dia pastikan Farisya menerima cintanya.

“Aku tak pernah mengelak dari apapun dalam dunia ni..” Jawab Farisya penuh yakin. Kenyataannya ? Dia ialah manusia yang paling pengecut sekali. Seboleh mungkin, Farisya mahu mengelak dari masa lalunya, mengelak dari kebenaran tentang siapa dirinya yang sebenar, mengelak dari segala-galanya!

“Kalau kau tak pernah mengelak, kenapa kau selalu lari? Lari bila ada orang dekat dengan kau, lari bila ada orang nak berkawan dengan kau.. Dan yang paling penting, kenapa kau selalu lari dari semua orang?”

Asywad terus menggesa Farisya. Dia ingin tahu perasaan Farisya, dia ingin berkongsi rasa dengannya. Farisya tertunduk. Nadanya mulai berubah.

“Sebab.. Diorang semua akan terima nasib buruk..” Perlahan sahaja Farisya menuturkan kata-katanya. Sehabis ayatnya, Farisya mengatur langkah lagi. Dia sudah tidak punya apa-apa lagi untuk diucapkan. Cukuplah Asywad faham apa yang dia cuba sampaikan.

Asywad terdiam sendiri. Otaknya ligat mencerna apa yang dimaksudkan Farisya. Terima nasib buruk? Kenapa? Mata Asywad melilau mencari Farisya yang menghilang. Minah ni expert betul bab-bab melarikan diri ni..

Asywad berjalan laju dan matanya terpandangkan Farisya yang sedang berjalan. Langkah Asywad mulai perlahan, seiring dengan langkah Farisya yang dilihatnya terlalu lemah. Asywad setia mengekori Farisya.

Farisya berjalan sambil menunduk. Di fikirannya bermain seribu satu soalan. Kenapa mesti dia yang melalui semua ini? Kenapa mesti dia yang kecewa, menahan semua rasa, semua dendam sendirian? Yang paling utama, kenapa mesti dia berdendam dengan keluarganya sendiri?

Gara-gara keluarganya, dia kehilangan cinta dan cinta itu tidak mungkin pernah akan kembali lagi. Tubuh Farisya lemah. Nyaris-nyaris sahaja dia rebah jika tidak disambut Asywad.

“Kau okay ke tak ni? Aku hantar kau balik..” kata Asywad. Lengan Farisya dipegang kejap, bimbang Farisya akan rebah lagi. Farisya menggeleng lemah. Entah bila air matanya mulai bertakung, dia sendiri tidak tahu.

“Tak apa..”

“Kau jangan nak degil boleh, tak? Untuk sekali je, kau dengar cakap aku, boleh?!” Asywad menengking Farisya tanpa niat untuk menyakitinya. Selepas menyedari ketelanjurannya, Asywad menghela nafasnya panjang. Ya Allah, sabarkanlah hati ni..

Farisya sedikit tersentak apabila ditengking sedemikian. Darahnya mendidih lagi. Lengannya ditarik kuat.

“Suka hati akulah nak balik ke apa, kau peduli apa?! Lepaskan tangan aku. Lepaslah!” Farisya membalas dengan meninggikan suaranya juga.

“Aku tak akan lepaskan kau, Farisya..”

“Sebab apa?!”

“Sebab aku cintakan kau dan aku tak akan pernah lepaskan kau pergi macam tu je!”

Terluah juga rasa cinta Asywad, sekaligus menyepikan keadaan. Farisya kaku. Pengakuan cinta Asywad memeranjatkannya. Mindanya jadi beku. Yang ada di ingatan kini, hanyalah kenangan cintanya yang lalu. Kenangan, bilalah kau akan hilang dari ingatan ini? Soal hati Farisya.

“Aku cintakan kau Nur Farisya.. Sejak kita kat sekolah menengah lagi, aku dah mula sukakan kau.. Sampailah sekarang ni.. Dan aku tak tahu macam mana nak lupakan kau.. Aku betul-betul cintakan kau..” ucap Asywad luhur. Luluh hati Farisya yang mendengarnya. Air matanya mulai mengalir laju. Dia kehabisan idea untuk memberi jawapan.

Balik. Itulah jalan yang terbaik kini.

“Hantar aku balik.” Kata Farisya sambil mengesat air matanya. Dia tidak mahu mempamerkan kelemahannya di depan Asywad. Dia mengangkat wajahnya dan kali ini, Farisya meminta dengan lebih lembut. Mata Asywad dipandang redup.

“Hantar aku balik, Asywad.. Tolong..” Farisya mengulangi permintaannya, menjadikan Asywad lemah dengan suara lembut Farisya. Asywad mengangguk perlahan. Jika itulah permintaan Farisya, dia harus akur. Dia sendiri pun tidak mahu berkasar dengan orang yang dicintainya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience