Bab 12

Romance Series 8467

TUAN Khidr merenung muka Ansar agak lama. Mata Ansar bergerak antara wajah Khidr ke kitab berkulit tebal di depan mereka berdua. Adik-adik kecil dibelakang tergelak-gelak seakan sedang mengejek Khidr.

"Ki, kau tak boleh baca ya?" Akhirnya terluah persoalan di dalam benak. Sedari tadi dia cuba meyakinkan diri bahawa Khidr boleh baca al-quran. Akhirnya dia tewas. Memang seratus peratus pasti yang Khidr memang tiada ilmu bahasa arab. 

Tuan Khidr menggaru kepala. Malu dia mahu mengaku tetapi dia bukan penipu. Kalau tidak tahu, kata saja tidak tahu. Usikan adik-adik yang berbelas tahun lebih muda darinya dibelakang buat pipi Tuan Khidr memerah.

"Jangan nak gelakkan orang. Tak baik," tegur Ansar. Rotan ditangan di goyang-goyangkan memberi peringatan kepada para pelajarnya. 

Semua menundukkan wajah. Takut dengan teguran Ansar. Mereka mencuit-cuit paha satu sama lain. Menyalahkan sesama sendiri. 

Airis datang dari dapur. Serentak itu perhatian Tuan Khidr beralih. Tersungging senyumnya memandang Airis yang lengkap berbaju kurung dengan tudung labuh yang tersarung di kepala. Dia tidak pernah menyangka tudung labuh mampu menyerlahkan kecantikan seorang wanita sehingga begini sekali. Punggung diangkat. Tindakan tanpa sedar Tuan Khidr setiap kali Airis berdekatan. Ini kah yang dinamakan cinta? Seakan ada suatu kuasa yang menariknya kepada Airis dan dia rela!

"Eh, nak pergi mana? Kau tak habis belajar lagi." Ansar menahan. 

"Tolong Airis." 

"Tak payah tolong. Tak ada benda pun yang nak ditolong. Duduk."

Tuan Khidr mengeluh. Dia duduk bersila kembali di hadapan Ansar.  Ansar menarik keluar satu lagi kitab yang lebih kecil dari yang di depan matanya. 

"Nah! Ini hadiah untuk kau. Kau mula semula dari yang kecil ni, baru baca yang besar ni."

Kitab bertukar tangan. Sekejap sahaja dia sudah turun pangkat? Eh....

"Tak sama ke?" soal Tuan Khidr. Tangan menahan kitab berkulit tebal itu diambil semula oleh Ansar. Malu lah dia kalau Airis nampak! 

Kitab kecil tu buruk, kecil pula tu. Kulit lembut. Tak nampak gah langsung. Lainlah kitab berkulit keras ini. Baru lah naik saham dia di mata Airis.

Ansar mengelih ke arah Airis sesaat lalu menggeleng. "Memang tak sama. Ini tahap baru nak belajar. Yang ini pula untuk yang memang dah faham seratus peratus huruf bahasa arab. Kalau kau baca yang besar ni, aku takut kau terpesong dari jalan yang lurus. Dah! Khatamkan yang itu dulu baru baca yang ini." Kitab suci al-Quran berwarna biru tua itu diselit kembali ke rak buku.

Tuan Khidr beralih sedikit ke tepi, memberi ruang untuk adik yang lain menguji bacaan mereka pula. Kecil besar mata cuba memahamkan huruf-huruf di dalam kitab yang diberi Ansar tadi.  Wajah disorokkan di sebalik kitab di tangan ketika Airis berselisih dengan kumpulan mengaji mereka. 

Mata mencuri pandang gadis pujaan hati. Tertib sungguh cara dia melakukan tugas. Pandang Tuan Khidr beralih kepada jari jemari Airis yang runcing. Indah! Dia mahu tangan itu memimpin tangannya ke dalam jerat cinta, Alia mata Airis juga terbentuk kemas dan cantik. 

"Ki!"

Tuan Khidr tersentak. Punya leka dia memerhati Airis dari tadi. 

"Sorry. Apa kau cakap?"

"Aku cakap ... aku pas kau pada Aina. Dia ajar mengaji juga. Muqaddam."

"Oh... Okay! Boleh! Kalau dengan Aina, takde lah rasa macam jatuh sangat air muka aku ni," rungutnya lantas memuncungkan bibir ke arah adik-adik di belakang. 

Ansar tertawa. "Baru kau tahu malu? Selama ini kau tak mengaji ke?"

"Tak. Mummy aku bukan," Suara Tuan Khidr terhenti. Kepala ligat berputar.

"Mummy?"

Tuan Khidr mengangguk laju. "Ya. Mummy. Mummy aku bukan melayu. Separuh melayu. Jadi ... dia tak tahu pun nak ajar aku semua benda ni."

Ansar terlopong. Teragak-agak suaranya mahu keluar. "Kau beragama Islam kan, Ki?"

"Ha, ya! Dalam pengenalan aku tulis Islam."

Helaan nafas panjang keluar dari bibir Ansar. Lega. Dia ingat dia salah anggap. Nasib Khidr memang orang Islam. Kalau tak, apa dia nak jawab buatnya Ki sebenarnya berlainan agama. Sudahlah dia ajar lelaki ini mengaji dan solat. 

Kepala yang menunduk memandang lantai tadi, Ansar angkat semula. 

"Maksud kau, kau ni kacukan lah ya?"

"Ya, betul! Tepuk! Tepuk!" Tuan Khidr bertepuk tangan. Adik-adik lain turut sama bertepuk tangan. 

"Ayah kau? Muslim?"

Tepukan Tuan Khidr berhenti. Mulut menggumam dengan tangan mengusap dagu. Kumisnya juga sudah mulai tumbuh meliar. 

"Ayah kandung atau ayah tiri? Ayah tiri aku melayu. Ayah kandung, tak tahu. Tak pernah jumpa. Dah mati kut."

Ansar faham. Dia tidak mahu bertanya lebih-lebih apalagi menyelidik hidup Khidr. Tidak wajar rasanya dia cari tahu sesuatu yang tidak ada kena mengena dengannya.

"Abang Ki boleh lah ambil bantuan masjid tu kan, abang Ansar?" Suara Adam mencelah.

"Bantuan apa?"

Ansar tepuk dahi. "Abang Ki tak boleh. Tak layak. Bantuan anak yatim. Masjid kampung ni memang ada dana khusus untuk diagihkan pada anak yatim. Tapi ... tengok pada gaya kau ni, kau bukan anak yatim. Kau bapak yatim."

Terkekeh-kekeh semua ketawa. Tuan Khidr mencebik namun rasa jengkel bertukar kepada lucu. Hatinya lapang mendengar tawa riang adik-adik di belakangnya.

Dia tak pernah rasa begini.

Rumah agam itu selalu sunyi. Kali terakhir ketawa memenuhi ruang rumah itu ketika Mummy masih hidup. Sejak wanita itu jatuh sakit, hidup Tuan Khidr mula suram.

Tuan Khidr senyum nipis. Kitab kecil pemberian Ansar dipandang.

•••

"KI !!!"

Nazir mencampak telefon ke sofa. Tali leher dilonggarkan. Maya dan anak mereka tiada di rumah. Dapat juga dia mengamuk meluahkan rasa geramnya. Berkali-kali nombor telefon yang sama di dail. Tuan Khidr memang sengaja buat dia sengsara. 

Syed Tamim pula tak habis-habis menghubunginya. Kalau tanya baik-baik tak apa juga, ini tidak ... mengugut dia pula. Kalau dia tak bawa Ki balik, Syed Tamim akan tarik semula segala duit modal milik Tuan Khidr dalam perniagaan bersama mereka berdua. 

'Kau cari anak aku sampai jumpa. Kalau tidak, aku akan tarik semua duit yang Ki sudah habiskan pada perniagaan kau dengan Maya selama ini. Segalanya! Kau jangan ingat aku tak tahu, Ki yang bayar pihak bank untuk padam nama kau dari senarai muflis.'

Rumah banglo dua tingkat yang dibeli hasil dari titik peluhnya sendiri ini diperhati segenap ruangnya. Rumah pertama dia dan Maya. Ada kemungkinan rumah ini juga akan tergadai untuk membayar semula wang Tuan Khidr pada mereka selama ini. Memang papa kedana lah keluarga mereka nanti!

Bunyi deruman kereta yang baru masuk buat Nazir menggelabah. Barang di atas meja kopi yang sudah jatuh ke bawah, diangkat naik semula ke atas meja. Tangan mengemas apa yang patut. Kalau isterinya nampak, pasti dia akan tertangkap. Maya memang cekap dalam menghidu segala masalahnya. 

Pintu besar terkuak. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience