BAB 4

Romance Series 8467

JANTUNG Nazir berlari laju. Basikal sudah dilepas jatuh ke tanah. Melihat darah yang keluar tidak henti-henti dari kepala Tuan Khidr buat dia kejang. Tidak tahu mahu buat apa. Hanya mampu memanggil nama lelaki itu.

Pandangan Tuan Khidr kabur. Tiada kekuatan mahu menjawab. Kepalanya sakit yang teramat. Suara Nazir berterusan memanggil namanya itu seakan menghentam kuat kepala yang sudah kepeningan.

"Tepi!" Tubuh Nazir dirempuh kuat sehingga tertolak ke tepi.

Mata Nazir terkebil-kebil. Seorang gadis berbaju kurung duduk di sisi Tuan Khidr. Dia memeriksa kecederaan pada tangan dan kaki terlebih dahulu. Setelah pasti yang lelaki itu tidak patah dimana-mana, tangan menarik perlahan memaksa tubuh itu bangun dari berbaring.

Mata si gadis menjeling Nazir tajam.

Nazir terkedu. Tuan Khidr dipapah dibelakang dan terus berlari masuk ke dalam sekolah terdekat. Sekolah menengah sebelah sekolah mereka!

Nazir yang baru tersedar, cepat-cepat berlari mengekori gadis bertudung tadi. Beg Tuan Khidr dibawa sekali.

"Awak ni bodoh ke? Awak boleh biar kawan awak terbaring macam tu aje dekat atas jalan raya!"

Nazir mendiamkan diri. Beg Tuan Khidr dipeluk rapat ke dada. Sesekali matanya naik memandang susuk lelaki tua yang sedang merawat kawan baiknya itu. Nasib tidak teruk mana kecederaan yang dialami oleh Khidr.

Gadis di depan ini pula tidak berhenti membebel. Sakit telinga. Dia bukan sengaja. Dia terkejut sangat tadi. Dan orang sekeliling pula langsung tidak membantu. Semua orang pun terkejut juga melihat kejadian yang terlalu tiba-tiba itu.

"Nasib dia tak apa-apa. Kalau tadi dia patah dimana-mana, awak tunggu aje lah ambulans sampai. Entah dah nazak lah kawan awak tadi kalau ada kawan macam awak ni!"

Nazir masih menunduk. Tidak berani mahu menjawab. Dan dia mahu simpan tenaga untuk berdepan dengan Syed Tamim pula sekejap lagi.

"Sudah tu, Airis. Awak ni asyik marah saja." ujar lelaki berkemeja putih yang baru selesai merawat Tuan Khidr.

Dalam hati, dia bersyukur. Nasib ada orang yang boleh menghentikan bebelan gadis ini. Muka saja lawa, mulut macam angsa. Bising!

Gadis bernama Airis itu membantu guru kesihatan yang sudah agak berumur itu untuk membersihkan luka di kepala Tuan Khidr. Sempat lagi dia mengingatkan Nazir untuk bawa Tuan Khidr ke hospital selepas ini. Nazir terangguk-angguk saja.

"Zir...." panggil Tuan Khidr. Matanya cuba dibuka.

Nazir yang dari tadi di sisi terus bangun merapati lelaki yang sedang terbaring di atas katil. Mahu membantu Khidr bangun dari berbaring. Namun, tangan si gadis cepat-cepat menghalang.

"Jangan nak pandai-pandai buka mata tu. Jangan paksa diri nak bangun!" arah Airis dengan nada tegas. Mencerlung matanya memandang mereka berdua.

Terus terkunci mulut Nazir dan Khidr. Tidak berani mahu melawan. Hanya setelah gadis Airis keluar dari bilik baru Nazir berani membuka mulut. Dia tahu Khidr sedar.

"Kau okay ke? Aku dah call ayah kau." ujarnya dalam nada berbisik.

Tuan Khidr mengangguk. Walaupun kepalanya masih pening dan sakit tapi dia masih sedar lagi. Cuma, penglihatannya agak kabur.

"Makcik mana membebel tak sudah dari tadi tu... Kecut perut aku." ujarnya. Tangan naik meraba perut sendiri dan seterusnya kepala.

Nazir mencebik.

"Makcik apanya. Anak dara. Garang. Aku pun takut jugak tadi. Tapi, nasib ada dia. Dia yang dukung kau ke sini." Nazir memuji keberanian Airis di dalam hati.

Kalau Airis tak datang tadi, ternganga sajalah mereka berdua di tepi jalan. Motor yang melanggar Tuan Khidr tadi pun sudah melarikan diri. Dia langsung tidak terfikir mahu hafal nombor plat motorsikal tersebut.

Tuan Khidr mengaduh sambil tangan menyentuh kepala yang berbalut.

"Kan saya cakap jangan paksa diri!" Keras suara dari arah belakang.

Mereka berdua beku macam air batu. Tidak berani mahu berkutik pun. Rasa mereka, kalau bernafas pun pasti salah sahaja di mata gadis ini.

"Baik, Airis. Ki, kau jangan paksa diri," marah Nazir semata ingin menyelamatkan diri sendiri dari menjadi sasaran amukan Airis.

Tuan Khidr menjeling Nazir, tajam.

Kepala Tuan Khidr diangkat sedikit. Lengan Airis menjadi penyokong tubuhnya.

Tangan halus Airis menyentuh lembut bibir merah basahnya. Dua biji ubat selamat masuk ke dalam mulut. Segelas air suam pula diteguk sehingga kosong. Sedaya upaya dia mencuba untuk telan ubat yang pahit itu.

Ikutkan, kalau dia tak mahu. Dia tak akan buat dan tiada siapa boleh paksa dia. Kecuali anak dara ni! Seram. Naik bulu romanya menatap mata Airis ini pula mahu membantah arahan si gadis. Akhirnya dia telan walaupun lidahnya penuh dengan rasa pahit ubat tadi.

"Awak duduk sini sampai waris awak datang ambil awak berdua. Jangan nak balik sendiri pulak." Peringatan demi peringatan keluar dari bibir Airis.

Nazir diam seribu bahasa. Tuan Khidr pula sedaya upaya mahu melihat wajah Airis dengan lebih jelas. Selamba saja tengking dia. Berani betul!

Hatinya sedikit kecewa apabila sampai ke sudah pandangannya tetap kabur. Lagi bertambah kecewa bila si gadis meminta diri mahu pulang dulu kepada guru kesihatan yang menjaga mereka.

Melepas.

"Kau jangan cakap aku kena langgar tau, Zir. Cakap lah aku terjatuh ke apa ke..."

"Eh... Kau gila ke? Tak berani aku nak tipu ayah kau." Nazir berbisik juga. Kepalanya sudah sarat-barat memikirkan masalah yang akan datang sebentar lagi, boleh pula Ki mahu tambah serabut kepalanya mahu menipu pula.

"Zir... Kau kawan baik aku kan."

"Alah... Ya lah! Ya lah! Kalau kantoi, aku surrender je, okay?" Nazir menaikkan jari kelingking.

"Okay."

Jari kelingking mereka bertaut. Termeterai perjanjian.

"Macam mana aku boleh kena langgar?"

Soalan Tuan Khidr dibalas dengan jungkitan bahu. Dia sendiri tidak sedar. Semuanya berlaku terlalu cepat. Tahu-tahu saja Ki sudah tersadai di atas jalan raya dan basikalnya tercampak entah ke mana. Kalau Syed Tamim atau Wais atau Yasir tahu ... pasti dia akan dimaki hamun.

"Nasib Airis ada...." tutur Nazir perlahan. Mereka berdua memang bernasib baik kerana Airis mahu membantu.

Tuan Khidr angguk perlahan.

"Airis...."

•••

NAZIR tersenyum kecil mengingatkan kenangan zaman sekolah.

Kasihan pun ada juga pada Tuan Khidr.

Airis... Satu-satunya gadis yang boleh buat Tuan Khidr menunggu di depan pagar sekolah setiap petang. Namun, malang sekali. Tak pernah sekali pun mereka bersua muka lagi selepas kejadian malang itu.

Akhirnya, Tuan Khidr mengalah. Tapi, habis SPM ... dia masih tunggu lagi di depan pagar sekolah sebelah sekolah mereka itu.

Kepala menggeleng.

Ini Ki nak cari 'Princess Charming' pula. Macam-macam lah Ki ni....

Peluh sejuk keluar dari dahi sebaik matanya memandang nama yang tertera di skrin telefon pintar. Bersambungan getaran telefon berjenama mewah di tangan dari tadi.

Liur terasa kelat. Pelbagai andaian menyesak fikiran. Syed Tamim....

Argh! Apa yang dia mahu kelentong ni!

Nazir batuk kecil, cuba mengalem suara. Syed Tamim bukan lelaki yang boleh ditipu dengan mudah. Jari naik ke bibir meminta Hafiz untuk tidak bersuara sepanjang dia menjawab panggilan.

Faham dengan riak Nazir, Hafiz mengunci mulut.

"Assalamualaikum... Ya, Dato'. Ada apa boleh saya bantu?" sapanya.

Punat radio dipulas ke kiri, mengecilkan bunyi radio yang agak menganggu. Suara garau lelaki di hujung talian buat Nazir menggigit bibir. Cuba menghilangkan rasa gundah gulana. Jangan Syed Tamim terkesan dengan nada suaranya yang berubah-ubah ini sudah lah.

"Ki?" Jantung Nazir berdebar kuat.

"Ta– tak tahu lah, Dato'. Kali terakhir saya jumpa Ki, dua hari lepas. Katanya nak pergi bercuti. Bukan Ki pergi bercuti dengan Dato' sekali ke?"

Meremang segala bulu romanya mendengar dengusan kuat dari Syed Tamim.

"Nanti saya cuba track lokasi Ki dan inform pada Dato'." tawar Nazir. Mengenai Khidr, hanya dia dan Hafiz sahaja yang tahu. Kalau tidak keluar dari mulutnya, mungkin akan terkeluar dari mulut Hafiz. Selagi perkara itu tidak berlaku, akan dia rahsiakan keberadaan Ki selama yang boleh.

Debaran di jantung beransur tenang apabila lelaki di hujung talian cuma menggumam perlahan. Dia sudah biasa dengan Syed Tamim. Malah, dari dengusan suaranya sahaja Nazir boleh tahu sama ada lelaki itu marah ataupun tidak.

"Baik, Dato'. Apa-apa saya beritahu Dato'—"

Belum habis cakap, panggilan sudah dimatikan. Nazir bersungut sendirian.

"Ini lah orang kaya. Aku belum habis cakap, dia dah tutup. Heish, nasib lah Ki tak ikut perangai Ayah dan abang-abang dia. Patutlah brader tu stress!"

"Aku sokong! Pertama kali kenal korang dekat Universiti dulu, aku memang takut nak tegur Ki. Sebab bapak dan abang-abang dia over-protective. Aku ingat Ki pun macam diorang."

Nazir pamer riak menahan rasa geli hati. Memang Hafiz yang mereka kenal dulu tidak seperti sekarang. Hafiz ini di dalam kategori budak nerd. Setiap kali nampak Khidr, dia akan larikan diri dahulu kerana takut dibuli.

"Ki ni innocent. Dia bijak pandai, ada segalanya... Tapi, in terms of common senses...." ibu jari di pusingkan ke bawah.

"Argh! Lantak lah apa nak jadi. Aku akan layan drama keluarga ni sampai habis!" Kerusi di turunkan ke belakang. Nazir menyarung semula kaca mata hitamnya. Bibir tersenyum sinis.

Khidr....

Harapnya Ki jumpa apa yang dia mahu di dalam dunia. Dan dia mahu lihat reaksi Syed Tamim kalau Ki nekad mahu lepas bebas dari rumah agam besar dan mewah miliknya itu.

Muahahahahahahha!!! Maaf kalau Chryst tak berapa aktif di NP sejak dua menjak ni. ><

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience