Bab 14

Romance Series 8467

AINA memusing-musing tubuh di atas katil. Bantal peluk panjang itu dibawa ke dakapan. Menyeringai bibirnya teringat pada mimpi malam tadi.

Boleh pula dia mimpikan Khidr.

Aina bangun dan menapak ke bilik air. Mahu membersihkan diri, selepas itu dia akan ke rumah Tok Imam. Setiap hari dia akan ajar Abang Ki mengaji Muqaddam. Abang Ansar beri upah padanya untuk ajar abang Ki. Dan dia pula tidak kisah. Malah lebih baik lagi. Tak perlulah dia bersusah-payah buat kerja kampung untuk dapat upah. Upah yang abang Ansar beri terlebih dari cukup untuk dia menyimpan.

Tabung berbentuk arnab digoncang-goncang. Nanti dah cukup, dia mahu merantau melihat negeri dan negara orang.

"Aina!"

Laungan Ibu dari dapur menyentak lamunan. Aina segera menyarung baju kemeja kosong dengan seluar trek.

Pap!

Senduk kayu mencium kepala. Kuat.

"Adoi! Sakitlah Ibu." Aina gosok bahagian kepala yang diketuk kasar tadi.

"Aku panggil kenapa tak jawab?" Riak Puan Zuriah menyinga.

"Aina baru sudah mandi. Baru je nak keluar."

"Banyak alasan kau! Kejap lagi datang kedai. Tolong aku meniaga. Hari ini ramai yang minta hantar lauk ke rumah."

"Alah... Tapi Aina kena ajar mengaji."

"Menjawab! Mengaji tu bagi kau rumah? Makan? Beranakkan kau ke?"

Kaki Aina menguis lantai. Tak berani mahu menjawab. Dia tahu apa saja jawapan mahupun bangkangan yang keluar dari mulut, nanti dia akan dituduh kurang ajar.

Setelah Puan Zuriah keluar dari bilik, Aina mengeluh kuat.

Dia lepaskan segala cita-cita dan impian kerana faham akan kesusahan keluarga. Sebagai anak sulung, dia sanggup berkorban lebih banyak.

Tapi hatinya kosong. Tidak pernah terisi dengan rasa dihargai. Apa keputusan dia tidak mementingkan diri sendiri itu salah?

Mungkin, ada baiknya jika dia berkeras mahu kejar cita-cita. Mungkin lebih baik dia susahkan saja ibu dan ayahnya terpaksa menanggung dia belajar.

Aina memandang ke luar tingkap.

Kawan-kawan yang lain sedang bergembira di bandar. Belajar dan bertemu orang baru. Cuma dia saja yang tertinggal di sini.

Malas mahu fikir. Apa yang sudah berlalu tak akan mampu diulangi. Baik dia tumpu kepada apa yang di depan mata.

Tanpa berlengah, Aina mengemas katil yang bersepah. Kalau dia lambat-lambat ke kedai nanti, mesti ibunya menjerit lagi.

"Aina! Kejut Ayah sebelum ke kedai!"

Aina mengeluh buat kesekian kalinya.

Kejutkan Ayah lah paling dia tidak suka buat. Lelaki yang sudah hampir mencecah 50-an itu masih galak berjudi dan mabuk.

Mula lah dia membandingkan dirinya dengan Kak Airis yang serba serbi sempurna. Punya keluarga yang serba cukup, tidak susah ... setiap apa yang mahu dicapai oleh Kak Airis, ibu bapanya setia menyokong.

Aina senyum hambar.

Untuk apa lah dia membandingkan dirinya dengan wanita itu. Jelas sekali hidup mereka bagai langit dan bumi bezanya.

Sekalipun dia tunggang terbalik solat dan berdoa, hidupnya masih begini. Tidak mudah untuk mengubah keadaan keluarganya yang agak jauh dari agama.

Kaki diarah ke bilik utama. Rumah mereka juga sudah nazak. Tenat. Entah sampai bila rumah ini mampu bertahan.

Tok! Tok!

Tiada jawapan.

Tangan memulas perlahan tombol pintu. Hatinya berdegup kencang.

Belum habis pintu dibuka, melayang segala barang kaca yang sepatutnya di atas meja solek.

"Aku kata jangan kacau aku tidur!"

"Tapi Ibu yang minta Aina kejut ayah."

"Diam! Menjawab!"

"Nanti Ayah lambat pergi kerja..."

Pranggg!

Telinga ditutup dengan kedua tapak tangan. Cawan kaca yang dibaling si Ayah jatuh ke lantai. Nasib saja tidak pecah atau mengenai kepalanya.

"Keluar! Tutup pintu tu balik!"

Aina akur. Berat hatinya mahu pergi. Kalau Ayah dipecat lagi, nampaknya Ibu akan lepaskan rasa marah dan mengeluh padanya. Ibu tak akan berani bersemuka dengan Ayah. Tidak lain tidak bukan, dia lah yang harus menadah telinga dan kadang-kadang menadah muka dan kepala.

Pintu ditutup rapat. Kain tudung yang tersangkut di belakang pintu dicapai dan disarung.

Sebelum keluar dari rumah, Aina terlebih dahulu menyiapkan sarapan buat si Ayah.

•••

"AINA! Teh tarik satu!"

Aina menyahut. Dulang air diangkat semula setelah selesai menghantar minuman. Tak menang tangan dibuatnya pada waktu tengahari begini memandangkan ini masa makan tengahari bagi pekerja-pekerja kilang dan kebun.

Adik-adiknya yang lain langsung tak mahu datang membantu. Pulang sekolah, terus ke rumah. Jangan kata mahu singgah menolong Ibu di kedai ... lalu depan kedai pun mereka tidak sudi.

Aina menyumpah dalam hati. Rosak rencananya. Jangan abang Ansar tarik semula tawaran mengajar mengaji itu sudahlah. Dia memang perlukan duit itu.

"Aina?"

Tangan Aina berhenti mengacau air di dalam gelas. Wajah diangkat.

"Lah... Aina dekat sini rupanya. Abang Ki ingat Aina tak sudi ajar abang mengaji. Kata nak datang pagi tadi." Tuan Khidr menyandar lengan ke pintu laluan antara dapur dan ruang makan.

Aina pandang Khidr dari atas ke bawah. Seluar senteng!

"Sorry... Aina kena tolong Ibu dekat kedai. Nanti lepas maghrib, Aina datang ajar abang mengaji," ujarnya. Tangan lincah membancuh air dan diletak ke atas dulang.

Dengan penuh hati-hati, dulang di angkat dan dibawa ke meja pelanggan.

"Nak abang tolong? Abang boleh tolong." Tuan Khidr mengikut langkah kaki Aina. Gadis itu ke kanan, dia ke kanan. Gadis itu ke kiri, dia ke kiri.

"Tak apa. Abang duduklah, makan. Tolong habiskan duit abang dekat kedai Ibu Aina ni pun dah tolong sangat dah tu."

"Kalau macam tu, abang borong semua kuih Ibu Aina ni."

Ternganga mulut Aina. "Betul ke? Abang nak buat apa banyak-banyak kuih ni?"

Dahi Aina dijentik kuat. Tangan naik mengusap dahi yang dijentik oleh Khidr.

"Tak kan lah abang yang nak makan banyak-banyak ni. Abang nak sedekah dekat masjid." Tergeleng kepala Tuan Khidr.

Kalau dia makan semua kuih-muih ini, dia janji dia tak akan makan kuih selama setahun. Boleh muntah mahu habiskan semuanya.

Aina tersengih. Tidak terfikir pula akan kebarangkalian yang satu itu. Buat apa lagi Abang Ki nak borong sekali banyak kalau tidak kerana mahu bersedekah. Itu kan acara biasa dalam kampung ini.

Aina membungkus kuih-muih seperti yang dipinta Khidr. Khidr juga membantu.

"Na, abang nak tanya boleh?"

"Tanya lah. Aina memang kaunter pertanyaan."

Bahu Aina Tuan Khidr langgar perlahan. Aina memang suka buat lawak tak kelakar.

"Na rasa kalau abang belajar mengaji dengan Aina, bila abang boleh khatam al-Quran yang besar tu?"

Pecah ketawa Aina. Muqaddam pun belum mula, Khidr sudah berangan mahu habiskan al-Quran?

"Muqaddam pun abang tak mula lagi. Kalau ikut pada tahap permulaan macam abang, muqaddam tu dalam setengah tahun atau setahun baru betul-betul boleh pergi jauh. Baru boleh naik belajar al-Quran pula."

Tuan Khidr mengeluh panjang. "Lamanya, Na. Kalau ikut jalan shortcut, tak boleh ya?"

Tangan Aina menampar kuat bahu Khidr. Mata menjeling.

"Dalam belajar ayat-ayat Tuhan, tak ada jalan pintas."

Bibir Tuan Khidr terjuih ke depan. Nampaknya lambat lagilah baru dia boleh mengorat Airis.

Bak kata Ansar, kalau mahu risik anak dara kampung ini ... kena khatam Quran. Wajib!

'Kalau kau berkenan anak dara kampung ni, kau kena khatam quran. Itu syarat wajib!'

'Kalau tak khatam, tak boleh ke?'

'Tak... Buapak kampung ni tak akan izin kau kahwin.'

'Eh... Buapak? Apa kena-mengena?'

'Dekat kampung kami ni, kalau ada pasangan mahu kahwin ... selain bawa jumpa mak ayah, kena bawa jumpa buapak juga. Buapak akan soal siasat. Demi ketenteraman kampung. Tak adalah anak dara di kampung ini dikahwinkan dengan orang tak elok perangainya. Latar belakang tak dapat dikenal pasti. Adab kelaut....'

Tuan Khidr tersentak tatkala Aina menutup kembali bekas kuih di atas meja.

"Na, buapak kampung ni siapa?"

"Hm? Buapak kampung ni? Tak kan abang tak kenal?"

Tuan Khidr geleng. Buapak pun dia tak tahu apa benda.

"Abang Zamri. Dia ketua kampung ni."

Melopong mulut Tuan Khidr. Buapak itu ketua kampung rupanya. Kalau Abang Zamri, senang lah kerjanya.

"Lah... Buapak tu ketua kampung lah ya. Muda-muda dah jadi ketua kampung."

"Kau kata aku muda, Ki? Terima kasih." Sapaan dari belakang buat Tuan Khidr berpaling.

Aina ketawa kecil. Memang jauh dari muda rasanya abang Zamri ini. Ada pula abang Ki cop abang Zamri muda?

"Eh, Bang. Bila abang ada dekat belakang?" Huluran salam dari Zamri di sambut.

"Baru je ni. Kejap lagi nak ke masjid. Singgah minum dulu. Aina, bagi abang Kopi. Macam biasa... Jom, duduk Ki!"

Tuan Khidr menurut. Dia pesan air yang sama dengan Zamri.

"Kenapa kau tanya pasal ketua kampung ni? Mesti ada hajat besar."

Tuan Khidr ketawa hambar. Hajat besar? Hm....

"Tak ada. Saja tanya dekat Aina mengenai adat sini. Betul ke kalau kahwin, kena bawa jumpa abang dulu?"

Zamri mengangguk.

"Kenapa? Kau nak kahwin? Beritahu aku siapa kau berkenan, nanti aku sampaikan hasrat. Kalau kau mahu aku selidik latar belakang keluarganya pun boleh. Aku ni bukan calang-calang tau. Kawan aku merata tempat. Setakat nak siasat mana kau berkenan, petik jari je!"

"Betul tu! Sebab itu lah Zamri ni kepala kampung. Dia paling sesuai ambil tugas tu." Salah seorang pelanggan di gerai makan tersebut menyambung.

Tuan Khidr membasahkan tekak dengan air suam yang tersedia di atas meja. Seriau pula dia pada Zamri.

Agaknya, Zamri boleh selidik mengenai dirinya atau tidak? Err....

Air kopi yang dipesan tadi sampai. Tuan Khidr hirup perlahan-lahan.

"Sedap Na buat air," pujinya.

Gadis itu tersenyum simpul.

"Aina buat air memang sedap. Tapi, Aina ni jual mahal sangat. Ramai dah abang-abang cuba merisik." Zamri mengusik.

Dulang ditangan Aina angkat tinggi seakan mahu memukul lelaki yang jauh lebih tua darinya itu.

"Abang Zamri jangan pandai-pandai mahu kenan-kenankan Aina dengan sesiapa. Nampak batang penyapu tu? Nanti batang penyapu tu jadi bahan bukti jenayah nanti."

Tuan Khidr tak dapat menahan diri dari ketawa. Dalam kepalanya sudah bayang Aina mengejar calon-calon yang dikenalkan oleh abang Zamri dengan batang penyapu.

"Aina ni garang lah. Takut abang...." Tuan Khidr buat-buat takut.

Duduk di kampung ini, kalau sehari dia tidak ketawa ... memang tidak lengkap rutinnya.

"Abang sepatutnya takut dengan abang Zamri. Nanti tahu-tahu aje dia bawa calon isteri untuk dikenankan dengan abang."

Abang Zamri terdiam. Ketawa dilepas.

"Macam tahu-tahu je Aina ni. Abang cuma mahu pastikan dekat kampung ini tak ada yang antertu mahupun andartu."

"Hm... Yelah!"

Fuh! Akhirnya kerajinan Chryst untuk copy paste dari wattpad ke NP datang juga. hahahahhaha! Maafin saya kerana bermalasan update. ngahahajajhahahahaha!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience