Bab 6

Romance Series 8467

TUAN Khidr terkulat-kulat sendiri. Wajahnya memerah menahan malu. Gigi diketap kuat. Budak kecik ni!

Gadis awal 20an itu tersenyum mengejek. Seronok benar mempermainkan dia agaknya.

"Abang Ki ni boleh tahan lembap juga ek?"

Bingkas Tuan Khidr bangun dari terduduk di atas tanah. Tangan dan kaki yang digigit dek kerengga tadi digaru-garu. Aina....

Adik-adik kecil yang menjadi pengikut setia Aina itu terbahak-bahak mentertawakan dia.

Dasar Aina tak guna! Mempermainkan dia yang sudah sedia lurus ini. Grr....

"Aina... Jangan main-mainkan orang. Maaf, Ki. Aina ni memang suka usik orang sikit. Lagi-lagi kalau orang tu lurus sangat pergi ikut aje cakap dia." Airis mengulum senyum. Tertahan-tahan dari tadi.

Tuan Khidr mencebik. Meringis memandang Aina. Kelmarin Aina kenakan dia juga. Dan dia pula dengan mudah termakan dengan penipuan Aina. Ah, Ki... Kenapa kau mudah sangat percaya pada budak mentah ini!

"Siapa suruh abang Ki yang slow sangat. Aina suruh dia panjat pokok ambilkan buah rambutan, dia pergi panjat macam tu aje. Memang mendapatlah ... kena cium dengan kerengga," ejek Aina. Gadis berbaju sukan dengan tudung sarung warna hitam. Aina ini termasuk di dalam kategori gadis yang tak berapa nak gadis. Kasar dan lasak!

"Tapi Aina tak cakap dengan abang Ki pun yang abang kena panjat guna tangga." Tuan Khidr menangkan dirinya sendiri. Memang Aina tak ada cakap!

"Habis tu, buat apa orang sediakan tangga dekat tepi tu? Nak buat perhiasan ke?" Aina bercekak pinggang. Mula lah dia gunakan cerlungan matanya yang bulat itu.

Tuan Khidr terdiam. Nak dibalas, takut Airis kata dia keanakan pula bergaduh dengan perempuan.

"Abang Ki umur berapa?"

"27 tahun."

"Eh... Tua 7tahun je dari Aina tapi Aina rasa abang muda 7tahun dari Aina." Kepala Tuan Khidr diusap lembut oleh Aina. Memperlakukan dia persis anak kecil.

Menjunam pandangan jatuh ke tampang wajah Aina. Kasar tetapi disebalik kekasaran itu, raut wajah Aina tersembunyi aura menenangkan.

"Ha, sudah! Cepat tolong angkat ni. Ki tolong angkat yang paling berat." Muncung Airis terarah kepada kotak yang bersusun tinggi di belakang mereka.

Aina kembali melayan adik-adik, berlari kesana kesini mengejar mereka. Tuan Khidr tergopoh-gopoh cuba menyamakan kelajuannya dengan Airis. Kotak diangkat dan berlari anak mengejar langkah Airis yang semakin menjauh.

Airis....

Tuan Khidr senyum sendiri. Airis di sebelahnya memang tak ubah persis Airis yang dia kenal. Apa semua Airis punya personaliti yang sama kah?

"Apa senyum-senyum?"

Senyuman Tuan Khidr memudar.

"Mana ada Ki senyum." Tuan Khidr senyum kembali.

Airis menjeling. Genggaman pada kotak dibetulkan supaya tidak terlepas dari tangan.

Bahu Tuan Khidr ditolak kasar dari belakang. Aina lagi....

Kali ini adik-adik kecil itu pula yang mengejar dia. Tadi Aina yang kejar. Riuh!

"Aina memang terkenal dengan budak-budak. Perangai dia pun dua kali lima saja," rungut Airis lantas ketawa apabila Aina jatuh tersembam tidak jauh dari mereka.

"Aina okay ke?" Tuan Khidr tahan ketawa. Dahsyat betul Aina jatuh. Sampai berpusing ke tanah.

Wajah Aina mencuka. Dia bangun kembali apabila adik-adik kecil lain juga ikut menjatuhkan diri seperti dia.

Tuan Khidr hulur tangan mahu membantu.

"Itu lah... Lain kali jangan malas sangat. Tahu main je, bukan tolong. Buat apa ikut sekali kalau malas nak tolong," sindir Airis. Makin mencuka wajah Aina. Bibirnya menjebik.

"Eleh... Kak Airis tu pun berlakon rajin je. Macam tak tahu... Sebab ada abang Ki yang hensem ni aje akak pura-pura rajin," ejek Airis. Lidah dijelir.

Tuan Khidr terkedu. Segan mahu menatap wajah Airis. Aina ni kait-kaitkan nama dia pula.

Aina sambut tangan Khidr. Ditarik kuat tangan lelaki itu sehingga kakinya berdiri semula. Tudung yang senget dibetulkan. Selepas itu dia menepuk seluar yang terlekat dek habuk tanah.

"Pandai-pandai aje! Mana ada!"

Airis mula mengejar Aina mahu menepuk mulut tak ada lesen itu. Kotak ditangan sudah diletak ke tanah. Aina memang suka buat dia naik angin. Suka hati dia saja mahu bercakap. Tak pandang kiri kanan.

Adik-adik kecil yang lain ikut sama mengejar dari belakang. Untuk beberapa minit, keadaan disana bingit. Tuan Khidr tersenyum nipis. Dia tidak pernah lihat adegan ini depan mata. Dari kecil dia selalu main berseorangan dan bersendirian. Hanya Mummy yang menemani jika Mummy tidak sibuk.

Tangannya dicapai oleh Aina. Tuan Khidr tersentak. Aina menyorok di sebalik tubuhnya.

"Kak Airis fake!"

Tuan Khidr kejang. Mana Aina lari, dia ditarik sekali. Aina jadikan dia benteng pertahanan dari dipukul oleh Airis. Setiap pukulan Airis dielak-elak berterusan.

"Auch!"

"Eh! Sorry Ki! Sorry! Aina punya pasal lah ni!"

Aina menjelir lidah. Jarinya bergerak ke atas ke bawah.

"Ha, ni semua salah Kak Airis. Abang okay?" Kepala Khidr yang menjadi sasaran Airis tadi digosok-gosok.

"Takpe... Takpe... Abang Ki okay je. Sikit je ni."

Baik, dia menipu. Sakit nak mampus juga penangan si Airis ni. Ini baru kena tempeleng dekat kepala, kalau kena dekat muka ... berpusing 180darjah juga muka dia nanti.

Tangan Airis naik ke kepalanya. Jantung Tuan Khidr berdegup kencang. Tidak pernah dia dengar helaan nafas seindah helaan nafas Airis dan wangian sewangi Airis.

Kenapa perasaan indah ini mengusik hati? Siapa Airis padanya? Kenapa dia begitu tertarik kepada wanita dihadapannya ini?

Sedari tadi hati terusan memuji keindahan raut wajah Airis. Bibir dan hidungnya yang terbentuk cantik dan comel. Khidr... Apahal kau pergi renung muka anak dara orang ni? Berani ke nak melangkah bertemu orang tuanya?

Pandangan cuba dialihkan namun gagal. Mata dia juga sudah ditakhluki oleh Airis.

"Sakit lagi ke?"

Tuan Khidr menggeleng laju. Mulut tidak bekerjasama kali ini. Terkunci rapat-serapatnya. Aina ditepi dipandang sekilas. Menyeringai senyuman gadis muda itu. Hati Tuan Khidr jadi tidak sedap. Aina....

Tangan Airis ditepis perlahan. Tuan Khidr batuk kecil menghilangkan rasa bahagia tidak sudah-sudah yang menerpa diri dari tadi. Kalau Aina tahu, pasti dia malu setahun.

Keluhan perlahan keluar dari bibir Airis. Dia angkat semula kotak yang dibiar tadi. Kalau dia layan Aina, kerja nya tak akan siap. Aina ini memang suka main-main. Umur saja yang meningkat.

Bibir merah basahnya mengherot senyum. Kalau tiada Aina, pasti bosan hidup. Gadis itu selalu menceriakan suasana dengan telatah nakalnya. Adik kecil yang selalu mengikut dia ke sana ke sini sewaktu kecil dahulu sudah besar. Aina bukan lagi budak comot tetapi seorang gadis yang cantik.

Dia memandang Khidr. Lelaki itu misteri. Dia tak berani mahu berlebih-lebih membuka perihal dirinya. Apa yang dia tahu mengenai lelaki dengan tatu di lengan dan leher ini hanyalah namanya. Khidr...

Wajah agak familiar, tetapi dia tidak pasti dimana mereka pernah bertemu. Kalau tidak kerana abang Ansar minta dia untuk berkawan dengan Khidr, jangan haraplah dia mahu tegur pun.

"Kalau berat sangat, Airis boleh beri pada Ki. Biar Ki yang bawa."

Suara Khidr menyapa. Airis tersedar dari mengelamun jauh. Tawaran Khidr ditolak. Pantang dia bergantung pada lelaki. Dia bukan wanita lemah!

"Tak apa." Dingin balasan Airis. Kaki diatur melangkah lebih laju meninggalkan lelaki itu jauh ke belakang.

"Abang Ki jangan ambil hati. Kak Airis tu dia hati batu. Paling dia tak suka kalau lelaki anggap dia lemah." Kotak ditangan Tuan Khidr beralih ke tangan Aina.

Tuan Khidr tergamam. Tidak sangka Aina segagah itu. Selamba saja dia angkat kotak berat yang dari tadi dia sendiri terhegeh-hegeh bawa.

"Abang mesti anak orang kaya."

"Eh? Kenapa Aina cakap macam tu?" Leher diusap. Risau kalau Aina tahu siapa dia.

"Hm... Sebab muka abang mahal. Tak macam lelaki biasa. Mesti abang buat facial kan?"

Tersembur air liur dia ketawa. Facial? Dia faham kalau Aina kata mukanya kacak dan segak. Tapi ... buat facial?

"Aina tengok muka abang ni macam ada masa nak pergi buat facial ke?" Langkah disamakan dengan langkah Aina.

Aina menghentikan langkah. Begitu juga Tuan Khidr.

Mata Aina lama merantau di setiap sisi wajah Khidr. Sekali pandang nampak biasa. Tapi, abang Ki memang ada aura yang buat orang mahu pandang dia berkali-kali.

"Ha'ah. Abang nampak macam model."

Hidung Tuan Khidr mahu mengembang. Dia tahu dia hensem tapi ini kali pertama ada budak kecik puji wajahnya. Budak kecik ke? Ah, sama je! Aina macam adik-adik aje pun pada dia.

"Model apa?" soal Tuan Khidr. Masih mahu memancing pujian dari Aina. Bukan selalu dipuji, bagi peluang lah dia mahu angkat bakul sendiri.

"Model seluar dalam."

Terbatuk dia dengar jawapan Aina. Memang budak ni selamba badak aje bercakap.

Aina ketawa mengejek. Tahulah dia yang dia dikenakan sekali lagi. Adeh.

"Abang Ki ni comel lah. Innocent betul! Kalau abang macam ni terus, nanti senang kena buli tau!"

Ceh! Dia seorang aje yang buli aku!

"Nanti terpaksa lah Aina selamatkan abang selalu."

Dei! Dia yang buli aku!

"Aina... Abang ni bukan mudah dibuli. Abang ni mudah lembut hati adalah." Kotak diambil semula dari tangan Aina apabila gadis itu sedikit tercungap-cungap.

Sampai di sebuah bilik stor kecil, kotak berat tadi disusun kemas di satu sudut. Airis sudah hilang entah ke mana.

Tuan Khidr mengeluh. Mungkin Airis rasa jengkel dengan dia. Benak sungguh kau ni, Ki... Kenapa kau offer diri nak tolong tadi! Aduh....

Muahahahahhahahaha! Siapa nak hire Ki jadi model seluar dalam? ><

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience