Bab 5

Romance Series 8467

 TOPI di atas wajah diturunkan. Dia menguap sepuas hati. Pandangan orang di sebelah tidak dipedulikan. Tidur di dalam bas yang sempit ini buat lenanya tidak sampai ke alam mimpi. Sekejap-sekejap dia tersedar. 

"Kita dah sampai ke?" soal Tuan Khidr kepada rakan di sebelah. Lelaki berkopiah dengan jaket berwarna hijau pekat itu menggeleng.

"Lagi setengah jam kita sampai."

Tuan Khidr senyum sebagai tanda terima kasih. Dia memang kaya tetapi dia juga berbudi bahasa. Apa lagi dengan lelaki yang sentiasa memaniskan wajah begini. Tuan Khidr membuang pandang ke luar tingkap. Lebuhraya lengang, tidak sibuk seperti selalu. Mungkin kerana hari ini bukan hari minggu. 

"Nama kau siapa?" soal lelaki tadi. Kepala Tuan Khidr berputar 180darjah.

"Ki... Khidr, panggil Ki saja." Huluran tangan dari lelaki berkopiah disambut.

"Aku Ansar. Kau baru ke? Tak pernah nampak kau sebelum ni." 

Teragak-agak Tuan Khidr mengaku. Kata Nazir, rombongan bantuan kemanusiaan ini milik kawan lamanya. Kalau tidak, memang dia pun tak tahu kewujudan organisasi tanpa untung begini. 

"Patutlah... Jarang nampak orang yang sertai misi kemanusiaan pakai beg mahal. Hati-hati dan jaga barang kau elok-elok. Selalunya kita tidur beramai-ramai, takut hilang aje beg mahal kau." Muncung Ansar memanjang ke arah beg di bawah kaki Tuan Khidr.

Tuan Khidr menggaru kepala. Dia memaki Nazir dalam hati. Nazir kata ini beg paling buruk! Tak guna punya Nazir! Sudah dia beritahu supaya pilih beg dan baju yang lusuh-lusuh saja untuk dia!

Gigi diketap kuat ketika memusingkan wajah dari Ansar. Penumbuk digenggam. Cuma tinggal orang yang mahu ditumbuk sahaja yang tiada di sini untuk dijadikan sasaran. Jatuh air mukanya! Dia mahu jadi orang miskin, tapi dia masih lagi terlihat kaya!

"Abang Ansar, rasanya abang boleh mula briefing dah,"

Ansar bangun dari kerusi. Sebelum berlalu ke depan, dia hadiahkan lagi sebuah senyuman pada Tuan Khidr.

"Ki, kau nak tolong aku dekat depan? Kau baru, kan?"

Terkebil-kebil matanya untuk beberapa saat.

"Boleh juga!"

•••

"Abang Ki!"

Kaki Tuan Khidr berhenti melangkah. Plastik besar berisi bungkusan makanan di tangan di letak ke bawah. Berat.

Tiga orang adik-adik sukarelawan berlari-lari anak menghampirinya. Tuan Khidr senyum nipis.

"Abang nak kami tolong tak?" tawar salah seorang dari mereka. Tersenyum sungging semuanya.

"Ah... Tak apa. Sikit je ni. Kerja abang pun dah nak siap dah." Tiga bungkus makanan di dalam plastik Tuan Khidr agihkan kepada mereka bertiga.

"Pergi makan. Abang ada kerja sikit lagi."

Adegan bertepuk tampar antara gadis-gadis bermula. Tuan Khidr geli hati. Dia gembira di sini. Tiada siapa memanggilnya Tuan, dan untuk pertama kalinya dia mendapat layanan sama rata seperti orang lain.

Ini yang dia mahukan. Ini layanan yang dia mahu rasakan. Dia benci segala etika-etika formal dan segala macam tunduk hormat yang orang beri padanya selama ini. Dia tak minta untuk dilahirkan sebagai Tuan Khidr!

Diangkat kembali plastik makanan di tanah dan menuju ke arah sekumpulan pelajar universiti yang lain. Dia memang pernah menyertai aktiviti beri bantuan begini tapi bantuan kewangan kepada persatuan-persatuan. Itu pun cuma sekadar untuk menaikkan imej korporatnya di mata dunia. Dia tidak pernah terfikir duit yang dia beri selama ini penting untuk mereka yang benar-benar memerlukan.

Ketika dia makan bersudu garfu mewah di rumah, ada orang yang langsung tidak dapat menjamah hatta sekeping roti sekalipun.

Usai mengagih makanan, Tuan Khidr kembali menyertai Ansar dan beberapa lagi sahabatnya yang sama-sama mengusahakan rombongan memberi bantuan kewangan dan pakaian dan barangan rumah kepada orang miskin.

"Ki, hang orang mana?"

Tuan Khidr duduk bersila di sebelah Ansar. Soalan dari Zamri dibalas dengan rasa senang.

"Kuala Lumpur."

"Ki ni pertama kali join rombongan macam ni. Lepas ni kalau kau nak ikut kami lagi, Ki ... kau roger-roger aje aku." Ansar membuat isyarat memanggil ke telinga.

Tuan Khidr angguk. Memang kalau boleh setiap kali ada aktiviti begini,  dia mahu turut serta.

"Hang kerja apa, Ki?" Becok mulut Zamri bertanya itu ini.

Ansar dan beberapa yang lain menjamah makanan bungkus milik mereka. Kadang-kadang sahaja mereka mencelah.

"Kerja biasa aje. Ofis. Abang kerja apa?"

"Abang Zamri ni ketua kampung. Abang legend ni." Hairi mengangkat ibu jari. Lelaki yang boleh dipanggil abang ini memang mesra manusia.

"Legend?"

Hairi mengangguk.

"Masa muda, abang Zamri ni penyanyi. Band rock. Kau tengok aje berserban begini, cuba dia tak pakai serban ... panjang ni rambutnya!" Tangan naik separa bahu.

Tuan Khidr tergelak. Tak boleh dia bayang bagaimana rupa Zamri dengan rambut panjang begitu. Sudah boleh buat iklan syampu.

Zamri tergeleng. Kepala Hairi ditolak perlahan.

"Kau sabar saja dengan kami ni. Nampak macam tua, tapi hati semua muda belaka lagi."

Nasi di dalam bungkusan tidak jadi dijamah. Dia rasa kenyang. Jiwanya terisi. Tak makan tiga hari pun tak apa asalkan dia selalu rasa dialukan begini.

"Tak. Ki yang patut berterima kasih sebab sudi ajak Ki join sekali."

Ansar menepuk bahu Tuan Khidr. Dia suka lelaki ini. Selalunya lelaki muda memang segan mahu sertai abang-abang tua seperti mereka.

"Tak ada masalah, Ki. Kau pun aku tengok forever alone aje. Kau datang sini seorang diri aje ke? Tak ada kawan yang ikut sekali?"

"Tak. Ki memang sengaja datang sendiri. Tukar angin."

"Aish. Tapi, aku macam pernah nampak lah muka kau Ki... Tapi, dimana ya?" Zamri mengusap dagu cuba mengingat semula raut wajah lelaki di hadapannya.

Tuan Khidr telan liur. Menegang otot wajahnya dek gelisah.

"Iya ke? Dekat mana?" Ansar turut sama merenung wajah Tuan Khidr. Langsung tidak terdetik di fikiran mana-mana lelaki yang seiras dengan Khidr.

Raut wajah Khidr unik. Tidak seperti lelaki melayu. Kulitnya sawo matang, Kelopak matanya dalam membuatkan panahan mata terlihat tajam. Kening yang dirias kemas itu menaikkan aura maskulin Khidr.

Cuma ... dia tahu lelaki ini bukan anak orang biasa-biasa. Bau minyak wangi lelaki ini saja sudah berbau mewah! Dan segala yang tersarung di tubuh lelaki ini juga mahal.

Tatu yang melilit lengan kiri Khidr juga di leher itu dipandang. Bibirnya terbuka kecil mahu bertanya.

"Abang Ansar!"

"Ha, Airis. Ada apa?"

Kepala Tuan Khidr terpusing. Terlompat jantungnya mendengar nama yang pernah menyapa telinga suatu masa dahulu walaupun dia pasti Airis yang dibelakang ini bukanlah Airis yang pernah dipuja.

Nama itu tidak pernah gagal buat jantung Tuan Khidr berdegup kencang.

Mata mereka bertentang. Hampa. Dia tidak dapat merasakan tarikan di antara dia dan Airis.

Gadis bertudung litup itu mendekati kumpulan mereka. Jangan kata mahu pandang, menjeling sekilas ke dirinya pun tidak.

Dia pasti ini bukan Airisnya. Airis yang dia kenal itu, garang bukan main. Dan suka marah-marah.

Tapi ... itu sahaja mengenai Airis yang dia tahu. Dia jadi rindu. Dia mahu bertemu dengan Airis dan mengenali hati budinya, namun anganan cuma tinggal anganan.

"Kawan Airis kata ada abang hensem. Mana abang hensem tu?" Airis mencekak pinggang. Matanya lompat dari satu per satu wajah kumpulan lelaki di depannya.

Ansar, Zamri dan Hairi ketawa terbahak. Belakang Khidr mereka tepuk serentak. Hampir tersembur nasi dalam mulut yang sedang dikunyah.

"Ini lah abang hensem tu. Khidr ... panggil dia Ki aje. Ki, ni adik sepupu aku ... Airis namanya." Ansar memperkenalkan.

Airis mencebir bibir.

"Hensem? Muka macam tai long je. Semua orang ni memang rabun ke?"

Aiseh. Boleh tahan mulut adik si Ansar ni.

"Awak sini ikut saya!" arah Airis.

Tuan Khidr yang dari tadi membatukan diri, cepat-cepat bangun menurut langkah Airis.

"Ki ... kau jangan makan hati dengan adik aku tu. Dia memang queen-control." Sempat Ansar mengingatkan.

Tuan Khidr menyarung selipar lalu pamit. Berat hati dia mahu mengikut Airis tanpa Ansar. Macam mana kalau Airis buli dia atau mengenakan dia? Err....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience