Bab 10

Romance Series 8467

GRIP pendikit dipulas. Sesekali mulutnya membebel sendirian. Habis semua lembu dan kambing yang mengganggu di jalan dimaki hamun dalam hati.

'Nasib lembu orang, kalau lembu aku ... aku rendangkan semua sekali lepastu sedeqah dekat orang kampung. Hish!'

Enjin motor dimatikan di depan rumah Tok Imam. Kain baju kurung diangkat tinggi turun dari motor. Nasib pakai seluar. Kalau tak, memang jangan harap dia nak menapak naik ke rumah Tok Imam. Pasti dia jerit aje dari luar tunggu abang Ansar keluar menyambut lauk-pauk yang ibu Aina bungkus untuk mereka ini.

Tak pasal-pasal dia pula yang jadi rider makanan. Padahal kedai makan ibu tak ada buat servis penghantaran pun.

Usai memberi salam, tanpa segan silu dia menapak mendaki tangga kayu rumah Tok Imam. Macam tak biasa. Tok Imam dah anggap dia macam kawan baik dah.

"Waalaikumussalam. Ha, sampai dah. Makcik ada dekat dapur. Aina hantar lauk ke dapur sana," sapa Tok Imam yang baru keluar dari dalam bilik. Serban di atas kepala sudah dililit.

"Baik, Bos! Selamat menunaikan ibadah, Bos!" Tangan diangkat naik separa dahi. Jari diluruskan.

Tok Imam balas dengan berdiri tegak lalu mengangguk kecil. Lebar senyuman melihat gelagat Aina yang tidak banyak berubah dari kecil. Anak nakal mengalahkan jantan ini masih seperti dulu. Cuma, imejnya saja sudah keperempuanan.

Dia masih ingat, Aina ketika remaja dahulu suka benar berambut pendek. Baju pula dia pakai baju abangnya yang besar tiga kali ganda dari saiz tubuhnya sendiri. Anak-anak kecil di kampung ini memang suka mengekor Aina ke sana ke mari.

Tergeleng-geleng kepala Tok Imam menggamit memori lalu.

Aina memeluk Makcik Esah dari belakang. Terlompat senduk nasi di tangan.

"Aina... Kalau terpelanting periuk nasi ni, siapa nak ganti?" Mencerlung mata Makcik Esah. Tangan mencekak pinggang. Geram pada masa yang sama lucu melayan perangai Aina.

Aina mengekek. Dagu dijatuhkan ke atas bahu Makcik Esah. Dia paling suka Makcik Esah. Paling sayang pada Makcik Esah.

Makcik Esah merupakan ibu yang menjaganya ketika kecil. Ketika Ibu dan Abah sibuk mengerjakan ladang getah, rumah ini lah menjadi tempat dia menumpang di siang hari.

Bunyi pintu air dibuka dari dalam.

"Abang Ansar tak pergi kerja lagi?" soalnya lebih kepada menggumam sendirian.

Makcik Esah memaling wajah. Keningnya terangkat.

"Oh... Tak. Ansar dah ke tempat kerja dah. Itu"

"Abang Ki!" jeritnha sebaik sahaja pintu bilik air menganga luas.

Lelaki yang baru keluar dari bilik air itu hanya ber-Tshirt kosong dengan tuala putih membaluti pinggangnya juga beriak terkejut. Sekejap sahaja, kemudian riak berubah mesra semula. Senyuman menghiasi wajah.

"Hai, Na." sapa Tuan Khidr. Tuala sederhana besar di tangan yang digunakan untuk mengeringkan rambut, disangkut ke leher.

Aina terkebil-kebil. Senyuman Khidr menghantar getar rasa yang dia sendiri kurang pasti.

"Mari sarapan, Ki. Aina dah bawa lauk ni."

Tuan Khidr mengangguk. Aina masih tercegat di tempat yang sama.

Bahu Aina ditepuk perlahan. Makcik Esah menolak Aina perlahan sehingga kakinya terdorong sendiri  ke arah meja makan.

"Na tak nak makan sekali?" ajak Tuan Khidr. Siap-siap mahu menjamah. Dicapai satu lagi pinggan buat Aina.

"Kenapa abang Ki ada dekat sini?"

"Saja. Abang nak ambil angin dekat kampung Na. Tak boleh ke?" Mata Tuan Khidr terbuka luas. Suapan tidak jadi disudahkan.

"Boleh! Mestilah boleh!" Huluran Makcik Esah dicapai. Pinggan sudah diisi nasi.

Tadi di kedai ibu dia sudah makan. Di rumah Makcik Esah pun dia makan lagi. Lauk yang sama juga dengan di kedai ibu tadi. Aina... Aina....

"Nanti Aina tolong bawa abang Ki jalan-jalan pusing kampung, ya? Kalau nak tunggu abang Ansar cuti, memerap sajalah Ki ni di rumah." pinta Makcik Esah lalu menyudu kuah dan lauk masuk ke dalam pinggan anak gadisnya. Dia cuma punya dua orang anak lelaki. Kehadiran Aina sedikit sebanyak menceriakan rumah mereka.

"Okay! Boleh, madam!"

Bahu Aina Makcik Esah tepuk perlahan. Fiil Aina memang selalu menghiburkan.

Tuan Khidr tergelak kecil.

"Na mesti kesayangan semua orang, kan?"

"Kenapa abang Ki cakap macam tu?"

"Sebab mana-mana abang pergi, asalkan mereka kenal Aina ... mesti semua cerita yang baik-baik pasal Aina. Abang rasa Aina kesayangan semua orang dalam kampung ni."

"Mestilah! Ini kan Aina!"

Pegun riak Tuan Khidr. Senyuman Aina memang punya kuasa untuk menarik perhatian pemerhatinya.

"AINA... Tolong abang...." rintih Tuan Khidr yang sudah jatuh terduduk di atas tanah. Kakinya diluruskan ke depan.

Aina berpaling. Kayu panjang di tangan buat menghambat lembu itu dipusing-pusing sembari berpatah kembali menghampiri Khidr.

"Kenapa?" soal Aina. Buat-buat tidak faham.

"Na, ada binatang dekat kaki abang." Jari Tuan Khidr menuding ke arah binatang yang melekat di kaki.

Aina bertinggung. Mata memerhati apa yang dimaksudkan oleh Khidr. Anggukan kecil diberi.

"Ini gamat. Takpe. Dia nak tumpang duduk dekat kaki abang je." Senyum disimpan.

"Eh... Biar betul? Boleh ke main tumpang suka hati? Abang tak nak dia tumpang duduk dekat kaki abang. Na, tolong buang dia. Geli!"

Ketawa sudah meletus di dalam hati. Memang Aina sudah agak yang abang Ki memang tidak tahu binatang apa yang tengah makan kenduri dekat kaki dia. Naif sungguh!

Lagi pula, dari awal dia sudah dapat hidu sesuatu mengenai lelaki ini. Abang Ki memang tak pernah masuk kampung malah tidak kenal pacat pun! Rancangannya berjaya!

"Kenapa pula? Kesian lah dia. Nanti dia dah kenyang, dia jatuh sendiri."

"Ha! Bila dia nak kenyang? Dia makan orang ke? Ish, lepasni abang tak nak pakai minyak gamat dah. Na, buang lah...." Tuan Khidr masih merayu. Seriau dia lihat binatang yang melekat di kaki. Tadi dia cuba buang sendiri dengan mengibas-ibas kaki tapi tak berjaya.

Girang hati Aina melihat riak yang diukir oleh Khidr sekarang. Penakut!

"Kenapa ni?" tegur seorang budak lelaki dalam lingkungan umur 10 tahun. Pancing dibawa di tangan.

"Oh, Adam. Ni ha, abang Ki ni kena gigit pacat."

Tercengang Tuan Khidr mendengar bicara Aina. Pacat?

"Na kata gamat tadi?" dengus Tuan Khidr. Mata mencerun memandang Aina yang bertinggung di hadapannya.

"Eh, ye ke? Na salah sebut." ejek Aina.

Tuan Khidr kegeraman. Sah Aina sengaja mempermainkan dia. Mentang-mentang lah dia tak tahu apa-apa.

"Lah, senang je. Tarik je macam biasa." Dengan satu tarikan, pacat yang menempel di kakinya tercabut.

Menyeringai kegelian Tuan Khidr apabila pacat di tangan Adam bergerak ke kiri ke kanan. Pasti dia termimpi-mimpi malam ini.

"Tengok! Kaki Abang dah berdarah. Abang boleh pergi cuci kaki dekat paip tepi kandang tu!" Jari telunjuk Adam terhala ke arah kandang usang tidak jauh dari mereka.

Meremang bulu roma Tuan Khidr melihat keadaan kandang yang Adam tunjuk. Pusang hati mahu menapak ke sana. Kalau ada ular? Atau binatang bahaya yang lain, bagaimana?

"Kenapa tak pergi lagi? Abang Ki takut, ya?" Aina menarik senyum mengusik. Mulut ditutup dengan tangan namun masih jelas senyum jahatnya.

Tuan Khidr berdecit.

"Ha'ah. Na kena teman abang sebab Na yang ajak abang ke sini." perintah Tuan Khidr sambil menyilang tangan.

"Abang ni penakut lah. Bukan jauh mana pun. Dekat situ je!" Kayu ditangan melibas lalang-lalang di hadapan, membina laluan untuk mereka. Tuan Khidr mengikut dari belakang. Kedua tangan diletak ke atas bahu Aina.

"Adam tu siapa? Berani betul dia duduk memancing dalam semak macam ni. Ish, bahaya!" omel Tuan Khidr seraya mengerling ke arah Adam yang duduk bersila di tepi bendar dengan pancing dipacak dihadapannya.

Aina menyengih. "Abang Ki ingat Adam tu penakut macam abang ke?"

Tuan Khidr mencebik.

"Adam tu budak kampung sini. Nanti abang mesti kenal abah si Adam tu. Dia arkitek terkenal juga dekat Malaysia ni. Pernah masuk majalah."

"Ye ke? Siapa nama abah Adam?"

Kaki Aina berhenti. Tubuh berpaling ke belakang.

"Dah sampai. Cepat pergi cuci kaki abang sebelum Na tinggalkan abang dekat sini."

"Eh! Tunggu abang! Tunggu dekat sini, Na jangan pergi mana-mana."

Aina memacak kayu ke tanah. Wajah didongak memandang langit biru. Tenang. Langit cerah, sepertinya tidak akan hujan hari ini. Lagi bagus kalau tidak hujan. Makin mencurahlah rezeki Ibunya hari ini.

"Dah?" soal Aina lantas menarik kembali kayu yang dipacak. Dia berhati-hati juga kerana di sebalik kandang usang ini merupakan hutan belantara. Kalau terserempak dengan kakak dan abang Bi, tak pasal-pasal mereka lari tidak cukup tanah.

Tuan Khidr mengangguk. Kembali menghampiri Adam. Cuma, kali ini dia di depan. Apa-apa jadi, boleh dia pecut dulu.

Aina tak apa. Ini kampung dia. Semua orang dan binatang dalam kampung ini mesti kenal Aina. Dia pula hanya orang asing. Kalau hilang, tak ada orang mahu cari.

"Eh, siapa nama abah Adam?"

"Kenapa abang Ki nak tahu?"

"Mana lah tahu Abang pernah nampak dalam majalah. Ramai arkitek berjaya dalam Malaysia ni."

Aina mengetuk-ngetuk dagu. Ada benar apa yang dikata oleh abang Ki.

"Ben... Ben Azir."

Tuan Khidr tergamam. Mulutnya sedikit terbuka. Seakan tidak percaya lelaki itu duduk di kampung ini. Bila direnung semula wajah Adam, memang ada mirip lelaki itu.

Ah, Ben Azir. Kenapa dalam banyak-banyak kampung, kampung lelaki itu juga dia singgah. Aduh!

"Abang kenal tak?"

Tuan Khidr tersentak. "Ha? Kenal. Tapi kenal dari majalah aje lah."

Adam bangkit dari sila lalu mengorak langkah ke arah mereka berdua.

Tuan Khidr tersenyum kecil. Lihat perwatakan Adam, dia seperti nampak Ben Azir di depan mata pula. Memang tumpah habis segala ciri-ciri si ayah pada si anak.

"Kak Aina, ni siapa?" soal Adam mengelilingi Tuan Khidr dengan tangan mengusap dagu.

"Ini abang Ki. Kawan abang Ansar. Dia tumpang duduk rumah abang Ansar buat sementara ni."

Terangguk-angguk kepala Adam mencerna informasi dari Aina.

"Hai, Adam. Nama penuh Adam apa? Panggil abang, abang Ki saja pun boleh." Jari telunjuk terarah ke wajah sendiri.

Tangannya dicapai oleh Adam. Mereka bersalaman. Tuan Khidr jeda. Matang sungguh perwatakan anak ini.

Tangan Tuan Khidr digoncang tiga kali. Menyeringai senyum Tuan Khidr.  Salam macam orang korporat pula budak kecil ni.

"Baik, abang Ki. Nama Adam, Adam Azir. Abang panggil Adam je macam orang lain. Rumah Adam 3 selekoh dari sini. Rumah Atok Adam, naik atas bukit sana. Rumah Tokwan Adam sebelah rumah Adam. Rumah"

"Okay dah! Dah! Habis semua saudara-mara dia punya rumah dia nak beritahu." Telapak tangan dinaikkan separas muka Adam. Sebagai isyarat supaya Adam berhenti bercakap.

Tuan Khidr menahan senyum. Wajah Adam cemberut apabila kata-katanya dipotong.

"Okay lah, kak Aina! Adam kena balik. Nanti Umi Adam membebel. Abang Ki, esok jom lah kita memancing sama-sama! Tak pun kita mandi sungai sama-sama!"

Tuan Khidr angguk semata mengambil hati. Tidak berani mahu berjanji mulut.

Tangan dilambai ke arah Adam yang berlari anak ke arah basikal yang diparkir di bawah pokok. Tidak dia sangka yang dia akan berjumpa dengan anak kepada lelaki kepercayaan Syed Tamim sendiri. Alahai.

Apalah nasib. Lagi dia mahu lari, lagi mudah pula dia bakal tertangkap. Harapnya Adam tak becok bercerita perihal dia pada keluarga. Sekali meletus keluar dari mulut Adam, dia pasti esok Syed Tamim sudah tercegat di depan pintu rumah Ansar.

Tuan Khidr menggaru kepala. Buntu. Apa lagi perlu dia buat untuk mencapai kebebasannya sendiri?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience