Bab 3
Aku tersedar dari mimpi ngeri tadi. Aku merenung jam locengku. Jam menunjukkan tepat pukul 4 pagi.
“Astaghfirullahalazim” Aku meraup muka berkali-kali.
“Ya Allah, moga dia baik-baik sahaja,” ucapku separuh berbisik.
Dalam mimpi tadi aku nampak Rizwan kemalangan. Dia cedera teruk. Dia sempat menoleh ke arah ku. Kemudian dia memanggil-manggil namaku. Aku hanya memandang dari jauh. Akhirnya, Rizwan terkulai layu di bahu jalan. Aku menangis di dalam mimpi itu.
Aku capai telefon bimbitku. Aku berkira-kira ingin menghubunginya untuk bertanya khabar. Akalku memandu perbuatanku, namun imanku cepat-cepat mencegahku.
“Aku tidak boleh menghubunginya. Nanti timbul fitnah. Jika dia tidak apa-apa, aku pasti akan membuka ruang-ruang untuk dia masuk kembali ke hatiku. Lebih baik aku mengadu padaNya,” aku kemudian bergegas ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Aku ingin menunaikan solat tahajjud dan juga solat sunat hajat.
Setelah selesai solat, dengan penuh rasa rendah diri aku mendah tangan mengadu dan merayu kepada pemilik Agung hatiku.
“Ya Allah, aku insan yang penuh dengan lumpur-lumpur dosa. Ampunkan ku wahai Tuhan Yang Maha Pengampun. Engkau pandulah hati ini untuk terus mencintaiMu tanpa berbelah bahagi.
Jangan biarkan aku mengulangi lagi kesilapan semalam. Rabb, Engkau Maha Mengetahui setiap perkara.
Pasti Engkau tahu yang masih ada cinta buat dia di hati ini, namun aku tidak akan sekali-kali terjebak lagi seperti dulu. Bantu aku Ya Allah. Bantu aku untuk melupakan dia. Bantu aku untuk berhenti mencintai dia. Bantu aku dan dia untuk kembali ke jalan yang Engkau Redhai. Jangan Kau ambil nyawa kami dalam keadaan kekufuran Ya Allah. Ya Allah, seandainya mimpi tadi adalah benar, Kau tempatkanlah dia dalam kalangan orang-orang yang Engkau redhai. Ampunkanlah dia. Seandanya mimpi tadi hanyalah mainan tidur, berikanlah dia ruang dan waktu untuk bertaubat. Campakkan di dalam hatinya sinar hidayah seperti mana Engkau telah memberikan hidayahMu kepadaku,” setelah berselawat kepada junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. aku mengaminkan doa tersebut.
Ku seka air mata yang jatuh berlinangan di pipi.
“Moga dia baik-baik sahaja,” bisikku. Azan subuh berkumandang dari masjid. Aku kemudian terus menunaikan solat Subuh.
Share this novel