“Apa? Bunuh!?” Mr. Gopal bersuara terkejut. Suria pula kembali kaget, kepalanya berat untuk jatuh menerima tamparan ini. Sungguh seumur hidupnya dia tidak pernah dia terlibat dalam kes bunuh, apatah lagi menjadi saksi utama kes bunuh.
“Aaa…” lidahnya keluh untuk berkata-kata.
“Kalau boleh cik Suria datang dengan kami. Itupun kalau cik Suria tak keberatan,” cadang anggota polis itu.
“Setuju-setuju,” Mr. Gopal terus mencelah. Fikirnya jika Suria dan anggota polis itu masih berada di sini dalam jangka waktu yang lama, suasana kerja di Daily Tales akan berubah menjadi dingin dan tak kondusif.
Suria yang masih terkesima mengikut anggota polis itu ke balai. Hatinya kosong dan fikirannya buntu. Dia tidak tahu apa yang menantinya nanti. Kalau kes saman fitnah atau kes laporan polis atas sebab penyiaran artikelnya, gadis itu masih boleh terima. Tapi ini kes bunuh. Takkanlah kerana artikelnya, ada orang lain yang menjadi mangsa bunuh.
Di balai polis, Suria ditempatkan di satu bilik interogasi khas. Kedap udara dan bunyi. Terdapat sebuah cermin besar ketika dia ditempatkan di satu kerusi bersama meja panjang besi. Suria cuba mengamati di balik cermin yang tampaknya agak kelam, namun masih menampakkan bayang pergerakan tubuh yang samar-samar.
Dia dibiarkan berseorangan untuk beberapa minit. Dalam hatinya kuat berdebat memikirkan hal dan keadaan yang mungkin akan berlaku. Banyak senario bermain dikepalanya saat ini. Boleh jadi ada dua polis menyoalnya,akan ada peranan bad cop – good cop, booleh jadi dia akan dibelasah tanpa belas dan usul periksa. Boleh jadi.
Plakkk
Daun pintu bilik interogasi itu diluak seraya dua anggota polis masuk dan duduk berhadapan dengannya. Posisi duduk mereka berdua dengan Suria hanya dipisahkan oleh meja panjang besi sahaja. Salah seorang anggota polis itu berjantina lelaki, misai tebal dan berbadan sasa. Manakala seorang lagi adalah polis wanita berpangkat Inspektor, tinggi lampai, bertubuh ramping, Inspektor Sajat nama yang tertera di uniform polisnya. Inspektor Sajat membawa bersamanya sebuah fail yang bercop Private & Confidential.
“Assalamualaikum, Suria ,” Inspektor Sajat bersuara sementara anggota polis lelaki yang berada di sebelahnya merenung tajam ke arah muka Suria .
“Wa.. waalaikumussalam,” terketar-ketar Suria menjawab salam.
“Straight to the point, awak kenal dengan wanita ini…” Inspektor Sajat mengeluarkan beberapa keping gambar dan meletakkannya di atas meja panjang besi itu.
‘Ya Allah!’ hati Suria terkejut. Dua anak matanya terpaku melihat gambar tersebut. Wajah wanita dalam gambar itu amat dikenalinya. Dalam posisi yang amat mengerikan, tiga keping gambar cukup menyebabkan lututnya longlai.
“Kenal atau tak?” polis lelaki itu pula bersuara.
“Kenal,” jawab Suria menelan air liurnya.
“Boleh beritahu kami, adakah kamu yang menculik mayatnya?” tanya Inspektor Sajat .
“Culik mayat!?” Suria terkejut sekali lagi, “Maksudnya Dr. Hasnah dah mati? Macam mana dia mati?”
“Soalan itulah yang kami nak tanya pada cik Suria ,” Inspektor Sajat bersuara sinis.
“Saya tak faham,” Suria tahu bahawa anggota polis itu mengesyaki dia terlibat dalam kes ini, cuma dia tak tahu kenapa dia pula yang disyaki.
“Kamu kenal dengan gambar ini,” Inspektor Sajat mengeluarkan lagi beberapa keping gambar dari fail kes.
“Hah!” tubuh badan Suria kaku. Pegun seketika perlakuan gadis itu. Peluh keresahan mula menitis turun ke lereng rahangnya.
“Kamu kenal ketiga-tiga mangsa ini?” soal Inspektor Sajat .
Share this novel