“Ke… kenal,” jawab Suria ketakutan. Menggigil tubuhnya melihat gambar Talha , Zamir dan Haji Dahlan dalam keadaan ngeri. Posisi mayat dalam gambar sama dengan mayat Dr. Hasnah , tangan kanan mereka diikat dan mulut mereka berbuih.
“Jadi, boleh beritahu kami macam mana mereka mati?” Inspektor Sajat menyoal sekali lagi.
“Saya… tak tahu,” balas Suria yang merasakan kepalanya berat. Mati akalnya untuk menjawab pertuduhan yang terpikul atas bahunya.
“Mustahil!” Inspektor Sajat meninggikan suara.
“Kami jumpa cap jari kamu pada tangan kanan ketiga-tiga mangsa kecuali mangsa pertama, kamu masih nak berdalih lagi!?” bentak polis lelaki dengan suara yang agak garau.
“Sumpah! Saya tak tahu apa-apa,” jawab Suria yang sudah menggigil menangis. Tak pernah dalam hidupnya diuji sebegini berat. Hanya tangisan sahaja yang mampu dihemburkan saat ini. Tak semena-mena dirinya dituduh pembunuh dalam sekelip mata. Bagaikan baru semalam sahaja dia bersua muka dengan keempat mangsa yang dibunuh itu.
Beban sebagai pembunuh mula merasuk pemikirannya. Badannya mula merasa longlai dan gegendang telinganya mula mematikan segala pendengaran dari persoalan yang dilontarkan bertalu-talu oleh kedua-dua anggota polis itu. Suria hanya mampu melihat anggota polis di hadapannya namun tak mampu mengawal tindakannya.
Amarahnya mula menggelegak. Suria menghantukkan mukanya berkali-kali ke meja panjang besi itu. Matanya diselaputi darah yang mengalir dari kepala tatkala dirinya jatuh tersungkur ke lantai. Hatinya kuat menyatakan bahawa hidupnya telah dibelenggu tulah sumpahan Sultan Melaka terhadap sesiapa yang menjumpai Peti Khazanah Aryan.
“Bawa dia ke hospital!” jerit Inspektor Sajat yang bingung dengan tindakan spontan Suria itu. Anggota polis segera mengangkat tubuh Suria di lantai dan segera menghantarnya ke hospital berdekatan.
“Hoi Suria !” sergah suara wanita membangunkan Suria . “Ya Allah, apa nak jadilah dengan kamu ni. Waktu macam ni mana boleh tidur. Bahaya.”
Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan. Kepalanya berat dirasakan.
“Kat… mana? Doktor… saya tak salah,” soal Suria lemah. Dia memeriksa keadaan sekeliling.
“Sudah toksah nak merapu meraban lagi. Berapa kali mak dah kata jangan tidur waktu senja. Kamu ni degil, bukannya budak lagi, dah besar panjang. Pergi mandi lepas tu solat maghrib sama dengan mak,” panjang leteran emaknya pada suria, gadis berusia 15 tahun itu. Raut wajahnya berpeluh kerana tidur di kala senja. Kepalanya dirasakan berpinar. Buku kembara purbakala yang dibacanya itu nyata terbawa-bawa ke alam mimpi lantas dia bangun dan meletakkannya semula ke rak buku.
“Astaghfirullahal-Azim,” Peluh menitik membasahi dahinya namun ada satu keluhan lega dilepaskannya. Dipandang kiri dan kanan, semua seperti biasa dan tadinya hanya sekadar mimpi, mainan tidur yang singgah di dunia realiti.
Share this novel