“Ka… kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu,” pinta Safar sedikit cuak. Talha membalas dengan senyuman tanda mengizinkan.
“Tata,” Zamir melambai tangan kepada Safar yang langkah seribu meninggalkan rumah Talha dan masuk ke rumahnya. Tapak tangan Talha sudah bersedia untuk memukul ubun kepala Zamir , namun ditahan sahaja niatnya itu apabila Zamir menunduk memohon maaf.
“Lain kali bagi salam, bukan tata macam kanak-kanak ribena,” jelas Talha .
“Bos…”
“Apa dia?”
“Yang ini pun Suria ajar kat bos jugak ke?”
Tapak tangan Talha singgah sekali lagi di ubun kepala Zamir , menyebabkan Zamir mengetuk kembali bahagian bawah mukanya.
“Takkan itu pun nak suruh orang ajar!” kata Talha tegas.
“Semua dah sedia?” tanya Suria riang. Hanya Sulia sahaja tampak bersemangat, manakala Talha dan dua orang anak buahnya memerhatikan bot yang akan mereka naiki dengan pandangan serba salah.
Satu sebab kenapa Talha dikenali Dragon di kota adalah kerana dia sangat ganas di daratan, namun tidak di dasar lautan. Sama seperti ketua, anak buahnya juga mengalami dilema yang sama.
“Papa kau ada penyakit hydrophobia ke?” soal Sulia membisik.
“Agakla,” jawab Suria ringkas.
“Mafia macam dia orang pun takut air?”
“Siapa kata kami takut!?” tengking Zamir dengan nada meninggi. Sekali lagi kepalanya diketuk oleh Talha . “Sorry, bos,” Zamir menunduk sambil menggosok kepalanya yang sakit.
“Dengan perempuan jangan tengking, faham?” Talha bersuara dan disambut dengan anggukan kepala dari anak buahnya.
“Jomlah. Nanti lambat pulak nak sampai rumah Haji Dahlan,” Suria mencelah sambil bergerak bersama Sulia menaiki bot yang telah disediakan oleh pekerja Haji Dahlan.
Talha dan anak buahnya masih tercegat di jeti. Kaki mereka seperti terpasung disitu. Talha menyuruh Zamir bergerak dulu, namun Zamir pula menolak seorang lagi rakannya untuk naik dahulu. Akhirnya ketiga-tiga mereka masih tak bergerak walau seinci.
“Papa,” panggil Suria yang sudah duduk dalam bot.
“Ya, kejap,” Talha menarik nafas sedalamnya sebelum melangkah masuk dalam bot tersebut. Diikuti anak buahnya yang turut melakukan tindakan yang sama.
Enjin bot dihidupkan dan gelora alunan laut dapat dirasai sewaktu bot itu mula bergerak. Talha dan anak buahnya menggenggam erat tempat duduk mereka. Zamir memasukkan wisel yang terdapat pada jaket keselamatan ke dalam mulutnya sebagai langkah berjaga-jaga jika terjatuh. Sulia dan Suria hanya mampu menahan ketawa.
“Akhirnya sampai juga kita kat Pulau Besar, Melaka. Yehaaa!” sorak Suria gembira apabila menjejakkan kakinya di persisir pantai pulau tersebut. Sulia pula menikmati bayu pulau tersebut, hembusannya memukau deria rasa. Manakala raut wajah Talha pucat. Corak yang sama juga dapat dilihat pada wajah dua orang anak buahnya.
Dari jauh kelihatan seorang lelaki gempal lengkap berpakaian baju melayu teluk belanga, bersongkok dan bersampin kain pelekat. Berjalan menuju ke arah Suria dengan tongkat yang jerlus ke pasir pantai setiap kali melangkah.
“Assalamualaikum,” sapa lelaki tersebut seterusnya memperkenalkan dirinya sebagai Haji Dahlan. Lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu memiliki beberapa rumah sewa di pulau itu.
“Waalaikumussalam,” jawab Suria ceria dan seterusnya memperkenalkan ahli rombongannya.
Share this novel