Bahkan Sultan Melaka sempat bertitah,
“Sekiranya Melaka kembali hidup, beta sumpah barangsiapa menjumpai peti khazanah Aryan itu akan hidup melarat derita sehingga ke waris yang terakhir keturunannya!”
MASA HADAPAN - 600 tahun berikutnya.
“Kan Gua dah banyak kali bilang sama lu, kalau lu mau meniaga secara aman damai, wang mesti mau kasi sama gua,” tegas Dragon atau nama sebenarnya Talha , ketua kumpulan mafia terkenal di kota ini. Sungguhhpun umurnya sudah hampir memasuki senarai pesara kerajaan berpencen, namun kaliber dan karismanya sebagai seorang ketua mafia tiada galang gantinya.
Setiap kali nama Dragon disebut, segera jiwa para marhaen kelam kabut. Bukan sahaja marhaen, malah warga konglomerat dan politikus juga menadah lembayung pengaruhnya. Namun, segala kemegahan dan ketakutan yang dinikmati itu mula beransur berubah apabila Dragon , bukan nama sebenar, terjumpa bakul berisi bayi yang diletakkan berhampiran jambatan.
Masih segar di ingatannya, pada waktu itu dia baru sahaja selesai membelasah sekumpulan remaja yang enggan keluar dari cyber café di kawasan jagaannya. Tatkala cuba membuang hajat kecil di tepi jambatan, esak tangis bayi yang baru mengenal erti kedinginan bayu malam, menyebabkan hajatnya terhenti seketika. Pada waktu itulah dia menjumpai Suria , anak angkat yang banyak mengubah hidupnya 360 darjah.
Jika dahulu dia hanya tahu akan nafsu amarah, kini dia kenal erti mahabbah. Jika dahulu hidupnya penuh dengan gaya songsang, kini hidupnya menghargai apa yang lebih dan apa yang kurang. Jika dahulu setiap hari hatinya kosong dan cuba dipenuhi dengan kepuasan yang kosong, kini hatinya dilimpahi ketenangan berbondong-bondong.
Cukup madah pujangga berbunga-bunga, mari kita fokus kepada lelaki tua bernama Talha yang juga dikenali Dragon .
“Pssst! Bos!” sahut Zamir memanggil Talha sambil menekup ganggang telefon, “Suria kol.”
“Suria mana?” soal Talha bengis.
“Suria ,” jawab Zamir yang tak tahu nak beri penjelesan kepada soalan Talha sebentar tadi.
“Hah! Anak aku tu,” Talha mula gelabah. Habislah kalau anak perempuan kesayangannya tahu bahawa dia masih bergiat dalam kegiatan mafia. “Woi, cepat kemas rumah ni!” arah Talha kepada kesemua anak buahnya untuk mengemas ruang tamunya yang bersepah.
Talha menyuruh Zamir mengambil air mineral untuk membasahkan sedikit tekaknya yang kering. Sejurus selepas minum, Talha berdehem untuk memastikan tekaknya berada dalam keadan normal.
Dengan suara tenang, Talha mula berkata, “Assalamualaikum waramatullahi wabarakatuh, anak kesayangan papa sihat?”
“Amboi, panjangnya salam papa bagi,” balas Suria dalam talian, “Alhamdulillah, sihat.”
“Ada apa anak papa telefon papa ni?”
“Saje,”
“Tipulah. Mesti duit dah habis ni. Jangan risau, nanti papa suruh Zamir bank-in,” kata Talha sedikit tenang, menimbulkan rasa geli hati kalangan anak buahnya dan lelaki yang dipukulnya tadi. Mata Talha menahan amarah melihat reaksi mereka menyebabkan anak buahnya memukul semula lelaki tersebut.
“Ish, papa ni. Suria banyak lagi duitlah…” Suria memberhentikan kata-katanya apabila terdengar bunyi bising dalam talian tersebut, “Papa belasah orang lagi ke?”
“Hah!?” Talha terkejut dengan soalan Suria , segera menyuruh anak buahnya keluar dari rumahnya. Zamir bersama yang lain mengheret lelaki yang menjadi mangsa belasahan mereka ke luar rumah. Kali ini Zamir dan yang lain cuba memukul di luar rumah pula.
“Woi, pakai otak sikit!” tegas Talha dengan nada yang sederhana tinggi sambil menekup ganggang telefon. Zamir menunduk akur. Sebenarnya, jiran-jiran di sini tak tahu bahawa Talha adalah seorang ketua mafia atau kini sudah menjadi mantan ketua mafia terkenal di kota ini.
Share this novel