BAB 14

Romance Completed 1387

Lima minggu berlalu…

SEMENJAK Qarlina menghilang dari hidupnya, tangisan Rahman terus menyebut nama itu. Nama bekas isterinya sendiri. Kini waktu telah berjalan ke hadapan. Akan dia menyusun tapak tanpa wanita itu lagi. Meski ia sulit baginya melupakan semua kenangan indah bersama Qarlina. Rahman menarik nafas. Qarlina telah abadi di sana. Dirinya tak akan kembali buat kedua kali. Fikirannya menerewang merenungkan peristiwa beberapa minggu lalu.

Melissa! Sopan keterampilannya. Rahman mengetap bibir sambil merenung jauh ke dasar laut yang berombak. Apa khabar isterinya itu? Selama ini mereka hanya berhubung melalui telefon. Teruknya! Sesekali bila lapang sahaja mereka bertemu. Itu pun jarang sekali. Rahman terasa rindu. Rindukan dek bayangan Melissa. Dia gagal menjadi seorang suami.

“Rahman …”

Lelaki itu memusing tubuh. Terpukau melihat tubuh Melissa yang sedang berdiri. Tudungnya terkibas-kibas ditiup angin pantai yang damai. Mereka berdiri di atas jambatan yang sama. Melissa menghampiri Rahman. Tangan suaminya dikucup. Adakah ini kucupan terakhirnya juga buat Rahman? Benarkah dia ingin mengakhiri hubungannya?

“Saya datang sini nak ucapkan takziah kat awak atas pemergian Qarlina. Hari tu tak sempat saya nak…”

“Tak apa.” Cepat Rahman mencantas. Melissa mengangguk.

“Saya harap awak sabar atas kehilangan isteri tersayang. Dan… saya nak minta kepastian dari awak.”

“Apa dia, Melissa?”

“Awak dah persiapkan diri awak untuk lepaskan saya?”

“Kenapa? Awak rasa saya dah tak sayangkan awak?”

“Nampaknya begitulah.”

Perlahan-lahan Rahman menyentuh wajah Melissa. Berseri wanita itu hari ini. Jiwanya memanjatkan syukur. Tidak sangka kepiluan runcing menikam kalbunya.

“Saya tak akan ceraikan awak. Tak.”

Melissa tunduk. Kerongkongnya sakit! Tangan Rahman diambil lalu dibawa turun. Lelaki itu tergamam. Melissa mengesat matanya.

“Saya dah biasa hidup sendiri. Ada suami atau tak, sama je. Setahu saya tak salah awak lepaskan saya kalau awak langsung tak ada hati terhadap saya.”

“Saya tak nak lepaskan awak sebab saya rasa saya belum mulakan apa-apa. Saya abaikan awak, saya biarkan awak hidup dengan penuh persoalan. Saya tak ajar awak sampaikan awak terpaksa mencari pendidikan buat diri awak sendiri. Saya banyak toreh perasaan awak. Luka berdarah awak, saya tak pernah ambil peduli. Maafkan saya.”

Melissa tersenyum. Sekali lagi Rahman meraih tangannya.

“Lina dah ceritakan kat saya segala-galanya sebelum dia meninggal. Awak sengaja berikan ruang pada saya dan Lina untuk saling mengasihi selama hampir setahun saya berkahwin dengan dia. Faisal pun ada ceritakan juga kat saya tentang awak yang dah berubah.”

Perempuan itu menghela nafas. Bibirnya diketap kuat. Mukanya dikalihkan ke arah lain menghadap pelangi di langit yang sedang membiaskan sinarnya membentuk seuntai warna berlainan nama. Ia selalu menonjolkan wajah setiap kali hujan berhenti. Pelangi itu sering datang mewarnai langit biru yang luas. Saat anak mata meneliti kebesaran ciptaan-Nya, terasa senang dalam hati.

“Saya tak suka mendesak sesiapa untuk membalas perasaan ni. Bukankah cinta tu perlukan ketulusan? Ia bukan bersifat terpaksa, dipaksa atau memaksa. Ia semulajadi yang wujud dalam jiwa.”

Melissa memandang Rahman. Mata mereka bersatu.

“Saya berubah bukan atas paksaan sesiapa. Saya ni terlalu miskin dengan ilmu. Jadi Faisal yang tolong saya. Sekarang baru saya tahu, ujian Allah tu tak semestinya poligami. Masih ada berjuta-juta masalah yang melibatkan masalah dalaman yang mungkin boleh buat hidup seseorang tertekan. Tapi saya percaya bila ada iman, dengan iman saya pujuk perasaan. Redha sahajalah apa yang berlaku. Adakala kebencian pada sesuatu tu adalah kebaikan untuk diri saya. Semuanya berbalik pada iman. Banyak hikmah yang tersirat.”

Rahman terharu. Tersusun budi bicara Melissa. Tangan milik wanita itu terus digenggam erat. Dagu Melissa didongakkan. Kedua belah tangannya beralih menyentuh sepasang bahu perempuan itu. Perlahan-lahan dia menghadiahkan ciuman di dahi wanita yang telah bersabar akan kelakuannya selama ini.

“Awak sudi tak berikan saya peluang untuk baiki kesalahan saya?”

“Kenapa tiba-tiba? Adakah sebab Qarlina dah tak ada?”

Rahman menggeleng. Bukan! Bukan itu maksudnya.

“Saya rindukan awak sejak awak ambil keputusan untuk bersendirian. Awak menghilang begitu saja. Saya pernah mengaku secara terus-terang di depan Qarlina tentang perasaan saya yang mula menyayangi awak. Sebab saya tak mahu berhutang apa-apa dengan dia. Saya rindukan awak. Saya sayang kedua-dua isteri saya. Tapi jodoh saya dan Lina tak lama. Dia dah pergi tinggalkan saya selama-lamanya. Yang tinggal hanya awak seorang.”

Lama Melissa membisu. Rahman menanti jawapan. Ombak yang memukul seakan mengusap kedua belah kakinya. Bagaikan menari-nari dalam buaian. Jauh dia memandang ufuk kebiruan yang berpadu. Di mana ia menyatukan langit dan laut.

“Saya wanita yang hanya mampu berharap lelaki yang saya cinta dalam diam bahagia selalu walau saya tak ada di sisinya. Wanita seperti saya juga boleh dianggap sebagai mesin ukur. Bila dilayan baik, ia akan baik. Bila dilayan tak acuh, dia mudah cemburu. Serapuh-rapuh jiwa saya sebagai perempuan, saya tak mahu dilihat rapuh oleh awak. Walau saya ni ibarat makhluk yang selalu menelan paku tajam, biarlah yang merasa luka itu saya. Asalkan bukan awak atau Qarlina. Biarlah awak tak pandang saya, asalkan saya tetap isteri awak.”

Lantas Rahman menarik tubuh Melissa dalam dakapannya. Ya Allah! Berdosanya dia! Lelaki itu merangkul tubuh itu erat seakan enggan dilepaskan pergi jauh.

“Melissa buat masa ni, tak ada lagi kata yang mampu saya ucapkan selain kata maaf. Tak ada lagi kata yang boleh saya ingat selain kata ampun. Tak ada ayat juga yang boleh dihuraikan selain saya boleh cakap yang saya sayangkan awak. Saya telah pinggirkan awak dan gantikan dengan sikap ketidak adil saya sehingga ia menyakitkan hati awak,” kedua belah pipi milik Melissa dipegang.

“Kalau awak sudi berikan saya peluang, saya janji pada diri saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga cinta dan kasih sayang awak sampai mati. Melissa sayang, maafkan semua khilaf saya. Maafkan saya. Saya sangat berharap agar awak kembali pada saya. Kita mulakan lembaran baru.”

Melissa menyeka air mata yang luruh di wajah Rahman. Lelaki itu ketawa kecil. Begitu Melissa sendiri.

“Jika Allah SWT memilih awak untuk menanti saya, dan saya menanti awak, sampai bila-bila pun saya sudi jadi pendamping hidup awak dalam suka atau duka. Menjadi penyejuk mata hati awak, dan menjadi pendamping awak yang setia. Saya akan bahagiakan awak mungkin melebihi kebahagiaan yang arwah Lina berikan pada awak. Insya-Allah.”

Mereka sama-sama melemparkan pandangan ke lautan yang cantik beralun. Rahman memeluk bahu isterinya. Melissa selesa di bahu lelaki itu. Melissa tersenyum. Dia mahu lelaki itu tahu bahawa dia bukanlah wanita sesabar Saidatina Khatijah, tidak juga secekal Saidatina Fatima Az-Zahra. Air mata kesyukuran mengalir juga tanpa dipinta. Melissa hanyalah wanita biasa yang memerlukan pelukan dan belaian suami. Seorang lelaki yang mampu memadamkan segala resahnya. Pelukan Rahman semakin erat. Melepaskan rindu yang selama ini bersarang…

‘Ya Allah... Dengarkanlah permintaan hatiku. Izinkanlah kebahagiaan segera bersanding bersamaku. Kekalkanlah jodohku dengan wanita ini. Agar hari-hariku tak lagi terasa sepi. Izinkan kasih sayangnya menjamah setiap inci aliran darahku. Kerana aku mahu selalu tersenyum dalam limpahan rahmat-Mu Ya Allah. Bukan tersenyum dalam kesedihan, tetapi kelapangan. Ya Allah Yang Maha Memahami, sebagai tanda aku dan dia telah bersama dalam ikatan suci, izinkan kebahagiaan menyelimuti kehidupan kami. Segeralah hancurkan kesedihan hati ini atas pemergian Qarlina yang telah Engkau hadirkan buat aku. Terima kasih kerana meminjamkan dia untukku. Dan terima kasih kerana seiringan waktu, Engkau anugerahkan seorang lagi belahan jiwaku. Duhai Tuhanku, semoga Engkau tempatkan Qarlina dalam golongan yang beriman. Aamin Ya Rabbal Alamin…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience