BAB 12

Romance Completed 1387

Tujuh bulan kemudian….

HATI wanita itu sama. Dia hanya berdoa. Melissa semakin tenang tanpa menggantungkan diri pada orang lain kecuali Yang Maha Esa. Yang dia perlukan saat ini adalah kekuatan. Di depan kiblat tangan ditadah. Jiwa sebak apabila teringatkan raut Rahman. Semenjak Qarlina disahkan mengandung dua bulan lepas, Melissa terasa bahawa Allah SWT sedang menguji ketabahannya agar terus bersabar. Benarlah kata Faisal. Cemburu itu fitrah. Tanda di situnya ada cinta. Maka, carilah waktu untuk membina dan memperbaiki diri. Sebaik mana sekalipun pendidikan yang diberikan oleh seorang suami, isteri tetap perlu mendidik dirinya sendiri. Tapi, apa didikan yang Rahman salurkan untuknya?

Di kelas usrah Melissa menelaah banyak perkara. Ilmu akidah, tauhid, dan macam-macam lagi. Ini semua jasa Faisal yang mengenalkan dia kepada sesuatu yang baharu. Dari tidak bertudung, kepala sudah mula dia tutup.

Tiba-tiba benaknya sebak. Kata-kata bisikan yang terluah itu selalu menusuk hatinya sendiri. Ya, hakikatnya Allah SWT sedang mengingatkannya ketika ini mengenai likuan cubaan yang hanya sementara. Tabahkah hati berdiri dalam kehidupan yang tidak pernah mudah ini?

Kring kring! Punat hijau dipicit. Menjawab panggilan.

“Assalamualaikum,” Qarlina di hujung talian memberi salam.

“Ya, waalaikumussalam Lina.”

“Kau apa khabar?”

“Alhamdulillah sihat.”

Qarlina tersenyum nipis. Tangannya lembut mengusap perut yang sudah berisi.

“Kau ada kat mana?” dia tetap ingin tahu meski dia tahu Melissa tidak akan memberitahu di mana tempat tinggalnya sekarang.

“Ada apa ya, kau telefon aku?”

“Aku telefon sebab aku nak minta maaf. Banyak salah aku kat kau. Kau sudi ampunkan aku tak?”

Melissa duduk di birai katil. Tikar sejadah dilipat sebelum masukkan ke dalam almari.

“Lina, antara kau dengan aku tak ada salah silapnya. Kalau pun ada dosa, dah lama aku ampunkan.”

“Tipu. Kau tipu aku, Melissa. Aku minta maaf sebab aku tamakkan cinta. Aku selalu cemburu setiap kali Rahman sebut nama kau depan aku. Sedangkan perasaan sakit tu lebih kau rasai daripada aku. Kau lepaskan suami kau sendiri, semata-mata nak tengok dia bahagia. Aku rasa bersalah sangat dekat kau.”

“Tak ada gunanya aku sekat kehendak Rahman. Lina, kau seorang wanita yang hebat. Kau tahu kenapa? Sepatutnya aku yang cemburukan kau. Sebab kehebatan kau setia pada satu cinta. Kau cinta pertama Rahman , kau sangat beruntung sebab dapat kasih sayangnya. Dan Alhamdulillah, kehidupan kau bertambah gembira, bukan? Anak dalam kandungan kau tu membuktikan kebahagiaan korang berdua. Walaupun aku tak dapat berikan apa-apa pada Rahman , tapi Insya-Allah aku akan doakan korang.”

Qarlina mengesat air matanya yang tumpah. Jauh berbeza watak Melissa malam ini. Banyak perubahan, jauh menyimpang daripada sebelumnya. Tangan menyentuh bayi yang bakal lahir tidak lama lagi. Entah sempatkah dia mendukung anaknya sendiri? Selamatkah anaknya dilahirkan? Batinnya disapa aura yang aneh sejak kebelakangan ini. Seakan ada suara yang memberitahu tentang pemergiannya. Liurnya ditelan sebiji sebiji. Pedih tekaknya menahan pilu. Sejujurnya, dia rindukan Melissa. Apakah kehamilannya punca Melissa menjauhkan diri daripada suaminya sendiri?

“Melissa, kau nak tahu sebenarnya Rahman tu rindukan kau. Pernah satu malam dia tak tidur sebab asyik teringatkan kau. Melissa, kalau aku dah tak ada nanti kau tolong jaga anak aku ya.”

Melissa menggeleng lemah. Dia tak mahu berangan. Boleh jadi Rahman rindukan dia sebagai sahabat. Tambahan, mana mungkin dia melakukan perkara itu. Dia tak sekental itu untuk melaksanakan perkara yang sulit baginya.

“Itu anak kau, Lina. Maaf. Tak mungkin aku dapat buat apa yang kau minta.”

“Melissa, aku tahu kau marahkan aku. Aku tahu kau banyak telan luka dan derita perasaan. Aku terasa jodoh aku dan Rahman tak panjang,” serak nadanya.

Tersedu-sedu di talian, cukup menjelaskan yang dia sedang kebimbangan. Rindunya mahu bertemu Melissa … Si isteri pertama yang rela mengorbankan perasaannya semata-mata menghormati keputusan suami.

“Derita-derita aku, derita lagi Rahman yang menunggu kau sewaktu kau sakit dulu. Selama enam bulan dia tunggu kau sedarkan diri. Dia tunggu cinta pertamanya membuka mata tanpa makan minum. Berdoa siang malam
mengharapkan kau bangun, pandang dia dan pastikan yang kau masih bernyawa.”

Melissa berjeda. Dingin tubuhnya malam itu. Bayu yang berhembus seakan bayu semangat yang sayu.

“Lepas kau sedar, dan masa tu aku dan Rahman dah pun berkahwin, aku boleh nampak kedukaan kat wajah kau. Apatah lagi cincin nikah yang aku pakai tu cincin yang sepatutnya kau pakai masa hari pernikahan kau dan Rahman. Aku tak nak kesetiaan korang berdua tercela disebabkan aku. Jadi pada malam pernikahan kau, aku sengaja tinggalkan barang hantaran yang Rahman kasi aku dulu kat rumah mama. Aku tahu barang tu semua milik kau asalnya.”

Madunya memejam mata. SubhanAllah…Pengorbanan Melissa terlalu besar. Dia benar-benar memberi ruang dan peluang untuk Qarlina dan Rahman hidup bersama sebagai kekasih halal. Mencurah-curah mutiara jernih gugur ke pipi. Semoga selepas pemergiannya kelak, Melissa akan bersatu kembali bersama Rahman sebagai ganti.

“Terima kasih Melissa. Kau dah banyak berubah. Banyak sangat perubahan atas diri kau. Bila kita boleh jumpa? Aku teringin nak jumpa kau. Aku nak tengok kau depan mata aku. Apa yang dah mengubah kau sampai kau jadi
macam ni?”

“Aku tak ada jawapan untuk soalan kau.”

Melissa menarik nafas. Bukan dia tidak mahu, bukan dia khusyuk melayan rajuk. Sebaliknya dia belum bersedia. Sekuat manakah dia untuk menatap keadaan Qarlina yang berbadan dua? Tiba-tiba lima jarinya turut memegang perut yang kempis. Anggap sahaja belum sampai seru untuk menjadi seorang ibu. Yalah, kelak seorang ibu tanggungjawabnya mengasuh anak. Dirinya pula masih mencari cahaya yang terang. Masih teraba-raba mengorek ilmu kehidupan. Ilmu agama yang indah…

“Yang pastinya, itu semua dari Dia. Dalam hidup aku yang serba leka suatu ketika dulu, membuatkan aku teringat semula yang Allah SWT ada memberi jaminan yang berbentuk syurga dan neraka kepada setiap manusia. Tapi Dia tak pernah menetapkan yang seseorang itu pasti jadi penghuni syurga atau neraka. Dia hanya menyerahkan hal itu sebagai pilihan manusia sendiri untuk mengutuskan yang mana satu manusia mahu.”

Janganlah harapan murninya akan menjadi sebuah harapan tanpa pengisian. Kali ini dia benar-benar mahukan yang terbaik untuk dirinya. Selama Melissa menyepi dan membawa diri mempelajari ilmu agama Islam, adakala terselit takut akan ketidakpastian, takut akan risiko yang bakal bertandang. Namun lekas sahaja Melissa akan anggap itu hanyalah khayalan mimpi yang tidak akan terrealisasi. Biarpun dia mulakan kehidupan dengan cara merangkak, setidaknya itu lebih bagus daripada tiada niat untuk berganjak daripada dunia kelam. Kerana Allah SWT sentiasa memerhatikan apa yang dia lakukan.

“Aku nak jumpa kau. Tolonglah Melissa … Aku merayu sebelum aku pergi. Aku nak kau sorang jaga anak aku. Aku tak nak orang lain yang jaga. Jangan tinggalkan Rahman. Bahagiakan dia, Melissa. Maafkan aku…”

“Sekali lagi, aku tak dapat berjanji apa-apa. Suatu hari, kisah aku dan Rahman akan berakhir.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience