BAB 9

Romance Completed 1387

DUK! DUK! Melissa mengetuk daun pintu milik Rahman. Tombol pintu dipulas dari dalam. Melissa melangkah bersama songkok dan sehelai sampin di tangan. Suaminya kemas berbaju melayu. Saudara-mara Puan Asma pun turut bersila di ruang tamu. Menantikan pengantin lelaki bersiap sebelum berangkat ke masjid Sultan Mizan.

“Awak dah siap? Wah! Handsome awak hari ni” ucap Melissa selamba.

Rahman tersenyum nipis. Sesekali dia meneliti pakaian yang tersalut di tubuh perempuan itu. Biasa saja. Mengapa Melissa tidak memakai baju yang bertemakan warna pilihan keluarganya?

“Awak tak pakai pun baju yang mama belikan untuk awak tu?”

“Oh! Baju tu saya tak basuh lagi masa baru beli dari kedai tempoh hari. Tak apalah. Lagipun saya rasa tak sempat nak tukar dah. Nah, songkok dan sampin awak…” dua objek itu diberikan kepada Rahman. Lelaki itu sambut. Mereka saling bertukar tangan.

“Melissa, terima kasih.”

Songkok hitam ditekup ke atas kepala yang telah disisir rapi.

Melissa mengangguk. Sebenarnya, memang sengaja dia tidak memakai baju kurung yang dihadiahkan oleh Puan Asma. Kerana dia enggan menghadiri majlis akad nikah yang akan berlangsung dua jam lagi.

“Awak, maafkan saya sepanjang saya jadi ‘teman’ awak. Err, saya tahu saya bukan wanita pilihan awak. Maksud saya, sepanjang kita berkenalan.”

Rahman mengelu. Sampinnya digenggam kukuh. Melissa bantu membetulkan kolar bajunya. Anak mata mereka tidak berbalas antara satu lain. Pandangan mereka juga tidak sepadu.

“Memang ada lelaki yang ditakdirkan untuk memimpin lebih daripada seorang isteri. Ada juga wanita yang ditakdirkan mampu menerima wanita lain berkongsi kebahagiaan bersama suaminya. Tapi andai kata awak rasa terbeban sebab kena sara dua isteri, awak lepaskanlah saya. Saya tahu bukan senang nak berlaku adil apatah lagi terhadap perempuan yang awak tak cinta. Yang awak anggap tak lebih daripada seorang kawan.”

Rambut Melissa disentuh. Sungguh! Rahman tidak tahu harus berkata apa. Semuanya tidak dapat dia putarkan kembali.

“Saya tak tahu apa yang perlu saya ucapkan selain ucapan terima kasih. Saya akan cuba menjaga kedua-duanya.”

“Sama-sama. Kalau awak tak boleh terima saya sebagai isteri, awak hanya ingat kita pernah jadi sahabat itu dah cukup. Walaubagaimana sekalipun, kita tetap kawan kan?”

“Iya, Melissa. Saya…”

“Uii, anak papa dah siap ke belum?”

Encik Azmin menyampuk. Sejak bila dia muncul Melissa juga tidak pasti. Bunyi kuakan pintu tidak pula dia dengar. Rahman berdeham.

“Dah pa. Semua dah sampai ke?”

“Dah. Kami tunggu Lan kat luar. Barang hantaran pun mama kamu dah letak siap-siap dalam bonet kereta. Lepas Isyak kita bertolak. Melissa naik kereta dengan Melor tau.”

“Baik, pa,” sahut Melissa pendek.

“Okey, papa. Lan dah nak siap dah ni.”

Sampin di pinggang ditarik-tarik supaya kemas terletak. Dibantu Melissa. Tiba-tiba anak matanya tersorot di jemari Melissa yang kosong tanpa barang kemas. Termasuk cincin nikah mereka dua minggu lepas.

“Mana cincin?”

“Saya dah tanggal,” mudah dia menjawab.

Cincin itu bukan miliknya tetapi ia kepunyaan Qarlina. Simbol kasih Rahman terhadap wanita itu. Melissa menarik nafas. Lega!

“Haa, akhirnya siap pun. Awak dah boleh keluar. Mama dan papa dah tunggu.”

“Kenapa awak tanggal?”

“Tak perlu saya jawab. Awak dah tahu jawapannya. Yang penting awak dah dapat pun apa yang awak mahukan dalam hidup awak. Impian awak nak hidup bersama Lina tercapai jua. Sebelum awak berkahwin, izinkanlah saya cium tangan awak.”

Rahman mengangguk. Menggigil bibir Melissa. Dia tetap wanita yang mudah terlayu oleh kata-kata. Tersayat dek perkataan sayang. Tangan lelaki di depannya dicapai. Perlahan tubuhnya membengkok tunduk menyalami Rahman tanpa memikirkan kemelut yang berkubang di hatinya.

Duk! Duk! Melor di muka pintu tersenyum nipis. Bahu Melissa dipeluk.

“Jom kak Melissa. Semua orang dah start enjin kereta. Along dah siap? Mama dan papa tunggu kat dalam kereta. Tadi kak Lina telefon. Katanya, dia dah sampai masjid”

“Oh ye ke? Jom Melissa kita berangkat. Nanti lambat pula.”

Meluru Rahman menerpa keluar. Melor menoleh Melissa yang begitu tenang. Kakak iparnya menyentuh dahi. Jelas kelopaknya asyik berkelip. Mesti gementar dan bergetar perasaan perempuan itu.

“Lin, akak lupa nak cakap kat Lin siang tadi.”

“Huh? Cakap apa kak?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience