BAB 1

Romance Completed 1387

Agak rasa bersalah, berdosa pun iya. Ini semua gara-gara sikap gelojoh Puan Maimun dan Puan Asma yang terlalu bimbang andai Rahman kesunyian. Lagi pula kata doktor, Qarlina barangkali hidup dalam keadaan tidak menyedarkan diri memakan tempoh yang panjang. Setahun? Dua tahun? Atau lima tahun? Entahlah. Namun, tidak pasti pula sama ada Rahman ikhlas menerimanya mahupun tidak. Walau Rahman tidak bermasam muka tetapi jauh di sudut hatinya tetap terpahat satu nama iaitu Nurul Qarlina. Terlentang kekasih lelaki itu di hospital kerana kemalangan sewaktu melawat tapak pembinaan bapanya beberapa bulan lalu.

Pejam celik, pejam celik sudah menjangkau hampir enam bulan Qarlina koma di sana. Melissa mengaminkan doa setelah lafaz akad nikah usai dilancarkan Rahman. Berat terasa perasaannya untuk menghulurkan jari. Cincin yang pada asalnya milik Qarlina kini menjadi miliknya? Ini memang sesuatu perkara yang tidak layak bagi Melissa. Peribadi Qarlina lebih mulia berbanding dirinya. Siapalah dia ingin berdamping bersama Rahman? Walaubagaimana pun, Melissa redha akan jodoh yang telah diatur oleh-Nya. Sejauh mana sanubarinya redha?

Melissa tunduk menekur permaidani surau yang berjalur. Dari aura batinnya, dia terasa seakan ada kelibat yang menghampirinya. Rahman yang kemas bersongkok itu membuka kotak baldu yang terisi sebentuk cincin permata. Ya, objek indah itu merupakan pilihan Qarlina sendiri. Ah! Bukan itu sahaja tetapi segala barangan hantaran yang sepatutnya Rahman hadiahkan buat Qarlina, kini beralih kepadanya. Berdosanya. Tapi mengapa Rahman seolah-olah rela atas pernikahan ini meski jiwa lelakinya sarat? Hairan, sungguh hairan! Melissa menggenggam jari jemarinya antara satu sama lain.

“Melissa, hulurkan tangan awak,” bisik suara separa garau itu.

Melissa enggan. Sekilas dia pandang sekeliling. Mujur orang lain duduk tidak terlalu dekat dengannya.

“Kenapa Rahman? Tak patut saya berada kat sini. Hati awak tak tulus menerima cadangan ni, bukan?”

“Hulurkan tangan tu, Melissa,” Rahman masih mengarah.

Sebentuk cincin beremas putih itu disarungkan jua untuk Melissa. Lelaki itu mengetap bibir. Sebak di dada mencengkam hebat. Bayangan Qarlina menerjah layar mata. Kalaulah Qarlina tahu bahawa dia sudah sah menjadi suami orang lain, apakah Qarlina bakal memarahinya? Jujur, Rahman juga terasa letih menanti Qarlina yang tidak bangun-bangun. Ya Allah! Qarlina itu seorang perempuan yang baik. Melissa? Mana mungkin dia membezakan kedua-duanya.

Qarlina …

“Rahman tak salah awak ceraikan saya andai hati awak tak sudi.”

“Kita baru nikah, awak dah sebut fasal cerai? Melangkah keluar dari surau ni pun belum. Malam ni saya tak balik, saya nak ke hospital,” sinis nadanya.

Meski perlahan cukup di pendengaran Melissa.

Wanita itu mengangguk. Lekas tangan suaminya dicapai lalu dikucup. Terpaksalah dilayankan sahaja kerenah Rahman yang acuh tidak acuh. Lain benar wataknya sewaktu mereka berkawan dahulu. Kawan dengan kahwin itukan jauh maknanya. Rahman menyentuh ubun-ubun Melissa. Terasa bagai dia sedang membelai Qarlina. Puan Asma turut rasa bersalah. Tetapi sangat dia berharap semoga Melissa dapat menjadi pengganti Qarlina. Bukan sengaja dia bertindak kejam, bukan niatnya ingin mempergunakan Melissa. Tidak! Puan Asma risau jika Rahman terus meratapi kesengsaraan Qarlina.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience