BAB 7

Romance Completed 1387

SEPENUH kudrat Melissa membantu Rahman menghias dewan. Lelaki itu aneh. Mengapa Melissa rela? Pula tu, minggu lepas bersemangat Melissa memilihkan pakaian pengantin buatnya. Reaksi perempuan itu bersahaja.

Dari jauh, Melissa tertunduk-tunduk menyeka peluh sambil mengibas alas meja. Jika ini yang terbaik, pasti dia akan bantu tanpa mengenal jenuh dan lelah. Puan Asma di atas pentas hanya mengerling Rahman dan Melissa silih berganti. Tangan pula setia memegang sehelai kain untuk diletakkan di pelamin. Tekaknya kering dari mengeluarkan suara. Sungguh! Seperti suatu keajaiban. Qarlina sudah pulih seperti dahulu. Rahman meninjau jam tangan. Kata Qarlina lagi sepuluh minit dia akan tiba di dewan itu. Lekas kaki melangkah menghampiri Melissa.

“Melissa, saya nak cakap sikit dengan awak,” separuh berbisik Rahman berkata. Melissa mendongak. Senyumannya terpalit di bibir.

“Oh! Cakaplah. Apa dia?” soalnya.

Alas meja dikemaskan sebelum meletakkan pasu bunga kecil di bahagian tengah meja. Ya, itu adalah meja bakal pengantin yang akan makan beradab di situ. Demi suaminya sendiri. Salahkah dia cuba sediakan sehabis sempurna? Melissa mengetap bibir.

“Awak ada rasa kecewa atau marah?”

Melissa menggeleng. Lehernya terasa berat mahu menoleh suaminya buat kali terakhir sebelum Rahman berkahwin.

“Tak. Insya-Allah tak. Apa yang terbaik untuk awak, terbaik juga untuk kita semua,” dia berjeda sejenak.

Liurnya terasa kelat. Kerongkong pula terasa tersangkut-sangkut. Tangan direhatkan di tebing meja. Melissa menekur kedua buah kerusi raja sehari.

“Kenapa awak terima cadangan mama?” tidak tumpah seakan orang hilang akal Rahman menyoal.

Isterinya ketawa kecil. Masih sama. Matanya terbeban mahu menatap raut lelaki yang memberi makna dalam hatinya. Namun wajarkah dia akui itu semua? Melissa sedar siapa dirinya. Dia hanyalah perempuan. Bukan wanita impian Rahman. Memang benar, perkahwinan antara mereka merupakan penyatuan dari orang tua. Tetapi dia dan Rahman tidak pernah anggap bahawa perkahwinan mereka merupakan sesuatu paksaan.

“Saya yang sepatutnya tanya soalan ni kat awak. Kenapa awak ikut cadangan mama awak? Atau awak takut untuk bersuara?”

“Saya tahu niat mama hanya nak tengok saya bahagia. Mama mungkin salah faham dengan hubungan kita. Saya akur dengan permintaan mama sebab saya tak sanggup lukakan perasaan dia sebagai seorang ibu. Kita sama-sama rela, kita sama-sama turutkan permintaan diorang…”

“Tapi rela awak tak sepenuhnya rela. Jiwa awak pada Qarlina. Boleh dikatakan kita juga sama-sama silap langkah. Mak saya dengan sikap melulunya yang tak sabar-sabar nakkan menantu. Mama awak pula kasihankan awak yang asyik meratapi kesepian diri. Sekarang, dah tiba masanya kita pulihkan keadaan.”

Melissa berjalan menuju ke arah pintu gerbang yang dihias cantik dek bunga-bunga berkelopak merah jambu. Indahnya!

“Melissa, masa Lina koma… Saya fikir harapan saya dah musnah. Ternyata tak. Kesempatan masih ada untuk saya. Saya tahu berdosa besar kalau saya katakan yang saya sangat cintakan Lina depan awak.”

Lama Melissa mengunci bibir. Bisakah Rahman menghargainya sebagai wanita yang diam-diam mula jatuh cinta kepadanya? Biarpun suaminya melihat dirinya hanya sekelip mata, itu sudah memadai bagi dia. Tak perlu lemparkan permintaan yang banyak. Sekadar itu!

“Cukuplah Lan. Apa yang awak luahkan kat Lina tempoh hari cukup membuatkan saya faham. Dua bulan tempoh perkenalan kita itu tak akan menjamin hubungan kita akan kekal. Dengar macam sesuatu yang bodoh, kan? Beginilah…”

Melissa memalingkan tubuhnya menghadap suami yang nampak sedikit runsing.

“Awak sendiri dah dengar jawapan mama dan papa awak minggu lepas masa saya beritahu hajat saya yang setuju kalau awak berkahwin bersama Lina. Diorang gembira, adik-beradik awak juga suka. Lebih-lebih lagi… papa awak,” lambat Melissa menyebut barisan terakhir ayatnya.

Encik Azmin jarang bertegur sapa dengannya. Sepatah yang ditanya, sepatah jua yang dijawab. Mungkin bapa mentuanya tidak restu. Biasalah, ego lelaki dan perempuan tidak sama. Walau dari zahir Encik Azmin kelihatan tenang tetapi jauh di sudut hati pasti lelaki itu merindui Qarlina sebagai bakal menantu. Lihat sahajalah apa yang berlaku minggu lalu. Encik Azmin setuju sebulat suara jika Rahman bernikah lain tanpa berfikir panjang. Adik-beradik Rahman semuanya lebih menyayangi Qarlina. Empat tahun mereka kongsi kasih bersama. Agak sukar menerima perempuan yang hadir entah dari mana sebagai galang ganti. Memang tak patut!

“Papa awak sangat sayangkan Lina. Adik-beradik awak semuanya rapat dengan dia berbanding saya. Mendalam cinta awak terhadap Lina. Tak mungkin saya nafikan fakta tu. Saya minta awak janji sesuatu…”

Rahman mematung. Ada anggukan lemah di kepalanya. Sementara Melissa memerhatikan sekeliling. Adik-adik iparnya di sana sedang bergembira mengikat bunga mangga dan bunga telur. Seronok sangat mahu menerima kakak ipar baru agaknya.

“Awak tolong rahsiakan hal ni dari pengetahuan mak saya. Saya tak nak dia tahu sampai saya sendiri yang beritahu dia. Buat masa ni, biarlah saya tetap dengan pendirian saya. Saya akan hadapi semua ni dengan tabah.”

Lelaki itu menekur lantai seraya menyeluk kedua belah kocek seluarnya. Malam ini dia akan diijab kabulkan. Mengapa reaksi Melissa langsung tidak meragukan? Dan…sudikah Melissa hadir malam ini untuk melihat upacara akad dilafazkan?

“Awak betul-betul dah bersedia?”

“Ya. Saya dah lama sedia sejak awak jelaskan hajat awak. Mungkin ini rezeki saya. Rezeki untuk melatih saya supaya menjadi lebih baik. Awak layak dapatkan Lina. Bukannya saya. Awak bukannya sembarangan lelaki dan Lina bukan sembarangan wanita. Saya? Awak dah sedia maklum siapa saya sebelum ni. ”

Melissa menggunakan istilah ‘rezeki’ di depan Rahman. Perempuan itu segera beredar melakukan kerja yang terbengkalai tadi. Tak sanggup dia memandang wajah Rahman. Bagaimana kelak apabila Rahman menyarungkan cincin di jari Qarlina?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience