BAB 8
Aku melalui hari-hariku dengan semangat yang kian pudar. Saban malam aku tidur lewat kerana sering terdengar pertelingkahan antara emak dan ayah. Setiap malam juga tidurku bertemankan air mata. Aku tidak pasti sampai bilakah aku harus melalui rutin sebegini.
Ketika di dalam kelas juga aku banyak termenung dan tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya pada guru yang sedang mengajar. Adakalanya aku tidur sahaja apabila mata dan kepalaku terasa terlalu berat. Syamirahlah yang cepat menyedari perubahanku kerana dia duduk di sebelahku ketika di kelas dan dia juga merupakan rakan baikku. Apabila ditanya, aku hanya memberitahu bahawa aku tidur lewat kerana menonton drama.
Itu sahaja alasan yang mampu aku berikan saat ini “Jea…” seru Syamirah perlahan apabila Cikgu Daud keluar dari kelas. Cikgu Daud merupakan guru bagi subjek Sains Sukan dan dia jugalah yang menguruskan kem ke Pulau Kapas tempoh hari. Aku berpaling kepada Syamirah di sisiku. Kelas ini mula riuh dengan suara-suara sumbang pelajar yang sedang berkemas mahu pulang. Aku sahaja yang masih termenung di tempat duduk seolah-olah tidak mahu pulang.
“Aku tahu kau sembunyikan sesuatu daripada aku. Kau nampak lain sangat sekarang ni. Kau dah tak ceria macam dulu. Semasa cikgu mengajar pun kau nampak macam orang tengah berkhayal. Fikiran kau bukan dalam kelas ni. Aku tahu.”
Aku diam seketika.
“Kongsi la dengan aku, Jea. Kita kan kawan. Kalau boleh tolong aku akan tolong.” Katanya lagi.
Sememangnya aku tidak dapat membohongi sahabatku yang seorang ini walaupun aku cuba berlagak ceria di hadapannya.
“Tak ada apa-apalah, Mirah. Cuma tak cukup tidur ja. Mirah jangan risau la, okey?” Jawabku cuba bernada ceria.
“Emm… Tak apa la kalau macam tu. Tapi janji dengan aku, jangan tidur lewat lagi ya?” usul Syamirah. Aku tahu dia tidak mempercayai kata-kataku. Cuma dia tidak mahu terlalu mendesak apabila aku seperti mahu mengelak. Syamirah kemudiannya meminta diri untuk pulang dahulu kerana takut tertinggal bas. Aku bergerak lambat-lambat ke arah basikalku.
“Jea…” Segera aku menoleh ke arah insan yang menegur. Adha! Aku memberikan senyuman kepadanya. Sebenarnya, aku sudah semakin rapat dengan Adha. Hampir 3 bulan kami sering berhubung. Pada mulanya, dia menemuiku pada waktu rehat. Katanya dia ingin meminta maaf atas perbuatannya ketika di Pulau Kapas. Tujuannya hanya satu iaitu untuk menarik perhatianku.
“Jea okey?” soalnya lantas berjalan seiringan denganku.
“Okey kot.”
“Kot ja? Emm… Ha tak tahu apa masalah sebenar Jea. Tapi Ha harap Jea banyak bersabar ya.” ujar lelaki itu berhemah. Sepanjang 3 bulan ini, dialah yang banyak memberikan kata-kata semangat kepadaku. Adakalanya timbul kekuatan dalam diri, tapi hanya seketika. Tatkala pulang ke rumah, air mata kembali menitis. Sampai bila aku tidak tahu. Yang pasti, peperiksaan SPM semakin hampir dan aku tidak dapat belajar dengan tenang.
“In shaa Allah, Adha. Jea cuba.” Hanya itu yang mampu kukatakan.
“Jea, kenapa Jea tak pernah couple? Dan Ha perasan yang Jea tak bergaul sangat dengan lelaki. Kenapa ya?” Aku menjeling lelaki itu sekilas. Ya, benar katanya. Aku tidak suka bergaul dengan lelaki. Cuma Adha satu-satunya lelaki yang berani berusaha mendekatiku.
“Kepercayaan!”
“Kepercayaan?” Tanya Adha semula tidak mengerti.
“Ya, sebab kepercayaan Jea pada lelaki tak ada. Banyak yang Jea dengar kawan-kawan Jea ada masalah dengan lelaki. Jea jugak… hampir diperkosa oleh lelaki yang Jea tak kenali. Sejak tu Jea hilang kepercayaan pada lelaki. Lagipun, mana ada istilah couple dalam islam.” Ceritaku kepada Adha. Rasanya tidak menjadi masalah jika menyatakan kebenaran.
“Jea tak boleh samakan semua lelaki macam tu. Ayah dan adik Jea pun lelaki jugak kan? Tapi diorang baikkan? Jadi, tak baik Jea menghukum semua lelaki disebabkan sikap sesetengah lelaki yang dah memang teruk.” Bicara Adha. Ya, disebabkan ayahku lelakilah aku semakin membenci golongan itu. Cuma Adha yang mampu mengikis sedikit rasa sangsiku padanya.
Share this novel