Bab 7

Romance Series 21625

BAB 7

Masuk sahaja di bilik, aku terus menutup pintu lantas menyembamkan wajahku pada bantal. Tangisan yang tidak berkesudahan kembali bergema. ‘Ya Allah, beri aku kekuatan untuk mengharungi ujianMu ini. Beri juga kesabaran dan ketabahan kepada ibuku. Aku tahu dia tertekan dengan semua ini. Aku juga tahu bahawa aku telah menambahkan lagi kekecewaan di hatinya.

Ampunkan aku, ya Allah kerana telah mengguriskan hatinya. Maafkan Jea, mak.’ rintihku dalam hati. Air mataku turun dengan laju macam tidak mahu berhenti ketika itu.

Mak tahu tak, Jea diamkan semua tu sebab Jea tak nak luka di hati mak makin berdarah. Jea tak nak tengok mak menangis lagi kalau mak tahu perkara ni. Tak ada niat pun nak rahsiakan perkara ni daripada pengetahuan mak. Maafkan Jea, mak. Jea bukan anak yang baik macam kak long.

Deringan telefon menyentakkan aku daripada terus melayan perasaan. Satu nombor yang tidak dikenali muncul di skrin. Aku segera menjawab dengan memberi salam. Suara lelaki kedengaran menjawab salamku. Macam pernah didengar sahaja suara itu tapi aku tidak pasti siapa gerangannya.

“Boleh saya bercakap dengan Nur Najiha Binti Mohd Jamal?” soal lelaki itu di hujung talian. Jantungku mula berdegup pantas. Siapa agaknya lelaki ini? Siap menyebut nama penuhku lagi. Ada sesuatu yang pentingkah dia menghubungiku?

“Ya, saya. Ada apa encik?” soalku hormat. Air mata di pipi pantas kukesat.

“Saya ada perkara penting nak bagitahu awak. Saya harap awak bertenang dan banyak-banyak bersabar, okey?” Aduh, kata-katanya membuat hatiku makin cemas. Ada apa sebenarnya?

“Baik, encik.”

“Sebenarnya… saya Adha.”

Mendengarkan tawa lelaki itu membuatkan hatiku terasa panas serta-merta. Nafasku mula turun naik tidak sekata. Terus sahaja panggilan itu aku matikan. Kenapa dengan lelaki itu? Tidak puas lagikah hatinya mengganggu aku selama empat hari di Pulau Kapas? Baru petang tadi kami berpisah dan malam ini dia sudah menghubungiku? Dari mana dia mendapatkan nombor telefonku? Adakah Syima yang memberikannya?

Peristiwa di dalam bas siang tadi kembali terlayar di ruang mata. Ketika itu aku duduk di sebelah Syamirah. Syima mendekatiku dan menghulurkan gula-gula kapas. Katanya dia beli lebih dan menyuruh aku berkongsi dengan Syamirah. Tanpa banyak soal aku terus menyambut pemberiannya itu. Tambahan lagi, aku memang suka akan gula-gula kapas. Namun, kata-kata Syamirah mula membuat aku kembali berfikir.

“Betul ke Syima sengaja beli lebih? Kenapa dia tak bagi dekat kawan yang duduk dekat dengan dia je kat depan tu sampai sanggup datang kat belakang ni?” Persoalan Syamirah membuatkan aku sedar sesuatu. Tambahan lagi mata jejaka itu asyik menjeling ke arahku. Apabila aku menoleh, cepat-cepat dia berpaling ke arah lain. Diakah yang membelikannya untukku? Oh, aku tak akan terima pemberiannya.

“Kalau dia yang bagi, Jea tak mau la gula-gula kapas ni. Mirah tolong bagi kat Syima balik boleh tak?” Nasib baiklah Syamirah memahami dan terus bergegas ke arah Syima yang tempat duduknya di belakang Adha.

Aku dapat melihat perubahan riak pada wajah lelaki itu apabila Syamirah mengembalikan gula-gula kapas itu kepada Syima. Setelah Syamirah kembali duduk di sisiku, Syima memberikan gula-gula kapas itu kepada Adha. Masam sahaja mukanya tanpa menyambut huluran Syima. Pasti dia menyuruh Syima sahaja yang makan. Rezeki kau la Syima.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience