Bab 2

Romance Series 21634

BAB 2

“Jom kita makan dulu. Aku lapar la,” ajak Syamirah setelah kami keluar dari pekarangan Hospital KPJ. Tujuan kami pergi ke hospital adalah untuk melawat kakak Syamirah yang baru melahirkan anaknya.

“Jea tak bawak duit lebih la. Kita balik makan kat rumah ja la,” balasku. Sememangnya aku hanya membawa duit cukup untuk tambang bas sahaja. Tidak terfikir pula untuk makan di kedai.

Namun, Syamirah tetap mengajak aku makan juga alang-alang kami sudah dekat dengan kedai makan. Katanya, dia akan pinjamkan duitnya terlebih dahulu. Esok-esok baru aku bayar semula. Aku menurut sahaja memandangkan perutku juga sudah berkeroncong. Saat kami tiba di hadapan kedai makan, mataku terlihat kelibat seseorang yang sangat aku kenali di seberang jalan. Syamirah turut melihat ke arah yang sama.

“Eh, ayah kau kan?” Soal Syamirah. Aku pantas mengangguk dan mengajak Syamirah menemaniku menemui ayahku terlebih dahulu. Maka bolehlah aku meminta duit kepada ayah untuk makan. Tidak perlulah aku meminjam duit Syamirah. Apabila semakin hampir, baHaah aku sedar bahawa ayahku tidak bersendirian. Ada dua orang wanita sedang berbual-bual dengannya. Mungkin kawan di tempat kerja ayah, fikirku.

Ternyata, raut wajah ayah berubah saat terpandangkanku. Aku hanya beriak biasa lantas meminta duit daripada ayah. Tanpa banyak soal, ayah terus menghulurkan duit kepadaku. Aku kemudiannya berlalu bersama Syamirah. Saat ingin kembali ke kedai makan, aku sempat melirik pandang wajah wanita di sisi ayah. Serta merta mataku berkaca.

Ya Allah, janda itu lagi? Aku cuba mengawal emosiku. Perlahan-lahan aku menggelengkan kepala. Tidak! Ayah cuma terserempak dengan mereka dan hanya berbual buat seketika. Tak ada sebab lain! Tegas hatiku, dan aku berharap apa yang aku fikirkan adalah benar. Namun, akal dan hati sudah saling meningkah.

“Oit, kau berangan apa ni? Tadi tu siapa? Kawan ayah kau ke?” soal Syamirah yang tidak mengerti apa-apa.

“A’ah, kawan tempat kerja ayah.” Jawapan seringkas mungkin cuba aku berikan. Semoga dia tidak menyoal lebih lanjut.

Alhamdulillah, Syamirah tidak terus menyoal berkenaan ayah. Dia makan dengan penuh berselera. Hanya seleraku yang mati setelah melihat sandiwara ayah bersama wanita itu lagi.

Terus wajah emak terbayang di ruang ingatan. Sayu wajah itu memandangku. Tiba-tiba satu perasaan simpati lahir di lubuk hati. ‘Mak, apa yang Jea nak buat sekarang mak? Ayah keluar lagi dengan perempuan tu. Jea tak sanggup nak bagitau mak. Jea tak nak tengok mak sedih dan menangis lagi. Jea tahu mak akan kecewa kalau tahu hal ini. Apa yang Jea patut buat sekarang ni mak?’ Sayu hatiku menyoal.

Dahulu, ayah pernah mengajakku berkelah bersama kawannya di kawasan air terjun. Emak mengizinkan tanpa banyak soal. Tetapi apabila sampai di sana, yang ada hanyalah perempuan itu bersama dua orang anaknya! Sejak itu, hubungan emak dan ayah sudah tidak seperti dahulu lagi.

Ayah sudah memberitahu emak bahawa dia sering keluar bersama janda itu. Emak tidak dapat menerima hakikat itu dan mereka sering bertengkar saban malam. Walaupun mereka hanya bergaduh di dalam bilik dan pada waktu lewat malam, aku tahu tentang itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience