BAB 11
Dua tahun kemudian…
‘Hati ini milik Allah,
Dia yang wujudkan segala rasa,
Suka, duka, rindu, sayang, cinta dan benci,
datang dan pergi tanpa kita pinta,
Adakalanya kita menolak,
Tapi takdir membatasi,
Kita cuba merancang,
Tapi perancangan Allah itu lebih baik,
Sabar dan redhalah dengan ketentuan ini,
Kerana Allah akan berikan kita pelangi yang indah,
Setelah hujan mulai reda…’
Satu puisi terlakar lagi pada kanvas hatiku. Hembusan angin pagi yang lembut menyapa tubuhku. Matahari kian terbit dari ufuk timur. Indah. Sangat indah ciptaan tuhan. Dengan izin-Nya juga, kembali lagi aku di pulau ini. Pulau Kapas yang merupakan salah satu taman laut yang terdapat di Malaysia. Semua ini atas jasa baik Cikgu Daud yang membenarkan aku menyertai kem pencinta alam ini memandangkan aku sedang dalam cuti semester. Hari ini adalah hari kedua aku di sini. Alhamdulillah, aku menemui ketenangan yang aku cari selama ini.
Aku juga merupakan salah seorang fasilitator di sini atas permintaan Cikgu Daud. Aku ingin menikmati hari-hari di pulau ini dengan sebaik-baiknya sebelum menyambung pengajianku di Kolej dalam semester dua.
Alhamdulillah, sejak kejadian emak hampir membunuh diri dua tahun lalu, ayah mula berubah. Dia memutuskan hubungannya dengan janda itu dan telah berhenti daripada terus bekerja di kilang itu. Sekarang ayah membuka sebuah kedai runcit dan diusahakan bersama emak. Semoga ayah benar-benar insaf.
Hubunganku dengan emak juga lebih baik sekarang. Emak sudah memaafkan aku setelah kak long membantuku menerangkan perkara yang sebenar kepada emak. Namun, hubunganku dan adik beradik yang lain tidaklah sebaik dan seakrab hubungan kak long dengan emak. Hanya dia yang lebih pandai mengambil hati emak. Walaupun begitu, aku sudah cukup bersyukur.
Tiba-tiba teringat akan kata-kata Adha satu ketika dahulu. Katanya, aku seorang yang manja sebenarnya. Hmm… siapa yang tidak manja pada orang yang disukainya? Tambahan lagi, pada siapa lagi aku ingin bermanja jika dengan keluarga sendiri aku tidak mampu?
Soal lelaki? Setakat ini, biarlah kukuburkan dahulu. Bukan mudah untuk menerima insan lain setelah diri ini pernah dikhianati. Sekadar berteman, itu tidak mengapa. Untuk satu perhubungan yang lebih serius, aku tidak mampu. Adakah aku sudah menutup pintu hatiku untuk mana-mana lelaki pun? Itu juga aku tidak pasti. Yang pasti, aku takut untuk kecewa lagi.
Share this novel