Bab 9

Romance Series 21625

BAB 9

Aku menguap sambil menggeliat bagi memulihkan semula lenguh-lenguh badanku. Hampir pukul 2 pagi. Sudah tiba masanya untuk aku tidur. Tambahan lagi aku masih ada dua peperiksaan esok. Setelah itu, tamatlah peperiksaan SPM. Emm… entah bagaimanalah keputusannya nanti. Aku sudah cuba semampuku. Walaupun hubunganku dengan emak tidak baik, dia tidak lagi menyindir atau menuduh aku seperti dulu. Aku tahu, dia bimbang aku tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaranku. Terima kasih, mak. Jea hanya inginkan doa dan restu daripada mak.

Aku tersentak saat terdengar pintu bilik kak long diketuk. Siapa pula yang bangun pada jam begini dan pergi ke bilik kak long? Aku hanya mendiamkan diri di kamarku.

“Kenapa mak?” Terdengar suara kak long. Emak? Kenapa emak menemui Kak Long pada waktu begini? Kalau ada hal penting kenapa tidak menunggu esok sahaja?

“Kak long…” lirih suara emak menyeru sudah mampu membuatkan mataku berkaca.

“Mak tak kuat nak lalui semua ni. Mak tak kuat, kak long. Mak dah suruh ayah lepaskan mak, tapi dia tak nak. Hati mak terseksa sangat.” Ya tuhan. Mak minta ayah ceraikan mak? Andai mak dan ayah berpisah, bagaimana dengan kami adik beradik? Tapi, aku juga tak mahu hati mak terus terseksa dengan sikap ayah. Aku benci ayah!

“Kak long, janji dengan mak ya. Kalau jadi apa-apa pada mak, kak long jaga adik-adik. Mak sayang kak long, mak sayang kamu semua…” suara mak terhenti di situ. Air mataku merembes lagi. Aku mengerti perasaan emak. Emak benar-benar sudah tidak kuat untuk menanggung semua ini. Mak… Jea pun sayang mak.

Aku membuka pintu perlahan-lahan dan mengintai mereka yang sedang esak dalam tangisan. Mak, Jea teringin nak mak peluk Jea macam mak peluk kak long. Jea cemburu tengok mak dengan kak long. Mak… Tangisanku semakin menjadi-jadi.

Tiba-tiba mataku terlihat sesuatu yang dipegang oleh emak pada tangan kirinya yang disembunyikan di belakangnya. Aku cuba mengamati benda itu dalam suram cahaya. Tiba-tiba emak meleraikan pelukannya dan menjarakkan dirinya daripada kak long. Objek di tangan emak masih tidak jelas pada pandangan mataku.

“Ingat pesan mak, kak long. Jaga adik-adik…” Aku tersentak saat mataku ternampak kilauan saat emak menggerakkan tangan kirinya. Pisau!

“Mak!” jeritku lantas menerpa ke arah emak. Emak meneruskan hajatnya dan cuba menikam dirinya. Aku pantas merampas pisau tersebut sebelum sempat pisau itu mendarat di perut emak lantas kulempar jauh. Emak mula meraung seperti terkena histeria manakala kak long hanya kaku selepas melihat keadaan yang tidak terduga tadi. Aku cuba menyabarkan emak.

“Kenapa kau halang aku? Biar aku pergi. Aku dah tak sanggup lagi. Biarkan aku mati. Aku benci kau. Aku benci ayah kau!” Jerit emak lantas menolak tubuhku sehingga terduduk.

Ya Allah, kenapa sampai begini selali tingkah emak? Ya Allah, sedarkanlah ibuku semula. Aku tak mahu dia terus begini.

“Kenapa ni? Sabar Jue, sabar.” Ayah memegang emak dan cuba menenangkannya. Kak ngah dan adik juga turut bergegas keluar tatkala mendengar suara emak yang meninggi itu.

“Aku benci Jea. Aku benci kau!” Jerit emak lagi. Semakin lebat hujan air mataku mendengarkan kata-kata yang keluar daripada bibir insan yang melahirkan aku. Mak…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience