Bab 5

Romance Series 19377

***Masih Flashback***

PUNYALAH PANJANG lebar Raihan bercakap, tapi tak ada satu pun yang melekat kat dalam kepala Amzar. Dia hanya suka tengok cara Raihan bercerita dari fokus pada isi cerita yang disampaikan. Dah setengah jam mereka berada di situ, tapi mata Amzar masih tak lepas dari Raihan. Kalau Raihan senyum, dia senyum juga dan kalau Raihan ketawa, dengan dia sekali akan ikut ketawa. Memang Amzar dah masuk dalam kategori angau tahap merah ni, angau dengan cintanya terhadap Raihan!

“Am…?” Raihan memanggil. Bila tak ada respon, dia bongkokkan sedikit badannya. Nak tengok wajah Amzar dengan lebih dekat.

“Am, you dengar tak apa yang I cakap?” soalnya lagi. Dia perasan yang Amzar tak banyak bersuara dari tadi. Sekadar mengangguk dan tersenyum kadang-kadang. Risau juga Raihan. Risau jika jasad Amzar saja yang berada di dalam dewan, sementara rohnya pula dah terbang ke tempat lain.

“Sorry, you cakap apa? I tak dengar sangatlah sebab bising.” Sengaja Amzar bagi alasan. Mujur ketika itu, ada meja di belakang mereka yang boleh tahan riuh-rendah juga dengan suara gelak ketawa, lalu menjadikan alasannya kedengaran munasabah.

“I cerita pasal Jue.” Mata Raihan kemudian melirik sekilas ke arah pasangan pengantin yang sedang bersanding di atas pelamin. “Jue kata lepas dah kahwin nanti, dia nak berhenti kerja. Sebab suaminya dah tak bagi Jue buat apa-apa, cuma fokus dekat rumah tangga mereka aje lepas ni.”

“Iya?” soal Amzar pura-pura berminat. Sebenarnya kalau hal itu tak ada sangkut-paut dengan Raihan, dia tak akan berminat pun nak ambil tahu. Tapi, dia tak nak rosakkan mood Raihan yang nampak semangat mahu bercerita mengenai rakan sekerjanya, yang juga merupakan salah seorang pekerja Amzar.

“Hmm. Jue pun kata yang dia nak jadi suri rumah yang berjaya dan juga ibu yang comel untuk anak-anaknya nanti,” jawab Raihan sambil tersenyum kelat. Masih terasa berat hatinya untuk lepaskan Juliana pergi. Kerana selain dari senior di tempat kerja, Raihan juga dah anggap Juliana seperti kawannya sendiri. Wanita itu selalu dijadikan sebagai tempat rujukan dan tempat curhat sekiranya dia ada masalah kerja atau pun masalah peribadi.

"Kalau you pula macam mana?" tanya Amzar tiba-tiba.

“Hah, I?” Raihan tunjuk pada dirinya sendiri.

Amzar angguk. Kemudian, dia ambil jug berisi air oren, tuangkan di dalam gelas dan hulurkan pada Raihan. Takut wanita itu dahaga. "Kalau you macam mana? Lepas dah kahwin nanti, you nak terus bekerja atau nak jadi suri rumah sepanjang masa?"

Tergamam sekejap Raihan. Otaknya tiba-tiba beku dan tak dapat berfungsi dengan baik bila dengar soalan Amzar. Lelaki itu sudah menopang dagu di atas meja, sambil matanya tak berhenti menatap wajah Raihan.

“Kalau you nak terus kerja, I takkan halang. Tapi kalau you nak jadi full-time house wife macam si Jue pun, I tak kisah. What I need you to know is I’ll always support you. Tak kisah keputusan apa pun yang you ambil, I akan sentiasa berada di belakang dan sokong. Sebab kebahagiaan you adalah segala-galanya. Ingat tu…”

Raihan tergelak. “Jauh sangat you melencong.”

"I serius, Cik Raihan. I bercakap untuk masa depan kita.”

Kelu lidah Raihan, tak membalas. Mungkin dia masih cuba lagi untuk proses apa yang telah dikatakan oleh Amzar. Sementara Amzar pula, bila tengok reaksi datar yang diberikan oleh Raihan seperti itu, nafasnya terhela perlahan. Dah lama Amzar perasan, bila setiap kali dia cuba nyatakan hasratnya atau bersikap terbuka mengenai soal perasaan, sama ada Raihan akan pura-pura tak faham atau dia sendiri yang lambat untuk pick up apa maksud Amzar. Contoh, macam sekarang…

"Raihan, jom kahwin."

Jantung Raihan mula berdegup kencang. Matanya pula langsung tak berkerdip memandang lelaki yang segak berbaju Melayu dengan warna sedondon. Biasanya wanitalah yang akan bersungguh nak pakai baju dengan warna yang sama dengan pasangan. Tapi untuk kesnya, terbalik. Amzar pula yang kelihatan beria-ia nak pakai sedondon dengannya. Malah, baju kurung moden yang dipakainya untuk majlis resepsi Juliana malam itu pun Amzar yang tolong belikan.

“Kahwin dengan siapa?” tanya Raihan selamba.

Mata Amzar terjegil luas. Kalaulah boleh sentuh Raihan, mungkin dah lama tangannya naik dan picit hidung milik perempuan itu sampai penyet. Sebab geram punya pasal. Boleh lagi dia pergi tanya kahwin dengan siapa. “Kahwin dengan I lah, sayang. Takkan kahwin dengan Jimin pulak.”

Tiba-tiba bayangan Raihan bersanding dengan lelaki lain di atas pelamin bermain-main di dalam kepala. Dadanya mendadak sakit! Macam baru lepas kena tusuk dengan pisau tajam. Amzar mengernyit, tak terima. Lelaki itu dah berusaha keras nak dapatkan cinta Raihan, jadi jangan ingat dia akan senang-senang saja bagi tempatnya dirampas oleh lelaki lain.

“Tapi… kita kan baru aje bercinta,” jawab Raihan perlahan. Sayup-sayup saja perkataan terakhir itu terdengar keluar dari bibirnya. Jujur Raihan cakap, dia masih malu dan tak biasa lagi nak sebut tentang status hubungan mereka yang baru saja berjalan tak sampai dua bulan ini. Setelah sekian lama Amzar berusaha untuk mendekati, akhirnya hati Raihan terbuka jua untuk terima kehadiran lelaki itu sebagai teman istimewa di dalam hidupnya.

“Memanglah, tapi tak salah juga kalau kita nak fikir soal tu dari sekarang,” jawab Amzar sambil merenung wajah kekasih hati dengan perasaan sayang yang menggebu-gebu.

"You memang nak kahwin dengan I ke?” tanya Raihan.

“You tahu tak? Sejak dulu lagi, I dah biasa latih diri I untuk ada matlamat. Meaning to say, I tak suka buat sesuatu tanpa hala tujuan. Begitu juga dengan you. I ajak you bercinta bukan sebab suka-suka atau sebab untuk isi masa lapang saja. Tapi, sebab I ada matlamat iaitu untuk jadikan you sebagai suri hati dalam hidup I selama-lamanya."

Tanpa pedulikan reaksi Raihan, Amzar bersuara lagi.

“I tak nak sugar-coat anything, just cukup you tahu kalau I tak pernah rasa seperti ini dengan mana-mana perempuan sebelum ini. In fact, I tak pernah ajak perempuan lain untuk kahwin dengan I. Just you, only you Raihan.”

Terus mengerjap tubuh Raihan. Memang Amzar selalu cakap yang dia serius dengan hubungan mereka, tapi Raihan tak tahu sejauh mana lelaki itu benar-benar maksudkannya. Sepanjang hubungan mereka berlangsung, baru malam ini Amzar timbulkan isu soal kahwin, jadi macam mana dia tak terkejut sampai kehilangan kata-kata.

“Kenapa diam?” Suara Amzar melembut. Risau juga dia bila tengok Raihan yang membisu secara tiba-tiba.

“Ke you tak sudi nak kahwin dengan I?” Keyakinan yang dirasakan oleh Amzar ketika bercakap mengenai perkahwinan tadi tiba-tiba lesap. Hatinya mula cemas bila fikir ada kemungkinan yang Raihan akan tolak lamaran tak rasmi darinya itu. Macam mana jika Amzar hanya bertepuk sebelah tangan? Macam mana jika dia seorang saja yang berfikiran untuk mengakhiri hubungan mereka dengan sebuah ikatan perkahwinan, sementara Raihan pula tak?

Raihan tak terus jawab. Dia diam seperti mahu memikirkan apakah jawapan sesuai yang patut dia beri. “I tak ada cakap apa-apa pun.” Akhir sekali, dia pilih jalan yang paling selamat. Tak mengatakan ya, mahupun tidak.

“Ada ketika jawapan itu tak perlu diungkap dengan kata-kata pun. Cukup sekadar dengan ekspresi wajah dan tingkah seseorang. Macam you tadi. I boleh nampak you seakan teragak-agak. Kalau betul you sudi nak kahwin dengan I, mesti you takkan fikir banyak kali tadi. Betul tak?” soal Amzar dengan nada rendah. Seolah-olah sedar diri. Kerana sebelum ini pun, hanya dia jugalah yang bersungguh-sungguh mengajak Raihan untuk bercinta dengannya.

Raihan diam. Dia tahu Amzar dah salah anggap, jadi dia perlu jelaskan perkara yang sebenar. Dia tak nak salah faham yang tercetus ini boleh merosakkan hubungan mereka nanti.

“Bukan macam tu…”

“Takpe, I faham. Mungkin sekarang ni you belum sedia lagi untuk bagi jawapan. But please bear this in mind, I’ll make you say yes. If not now, maybe later.” Sedalam apa pun cinta Amzar pada Raihan, tapi dia tak nak perempuan itu buat keputusan secara terpaksa. Biarlah Raihan setuju kerana perasaannya sendiri, bukan kerana orang lain.

Amzar rasa dia perlu bertenang seketika, lalu dialihkan perhatiannya ke arah pasangan pengantin yang sedang diarak ke sebuah meja untuk acara memotong kek. Manakala, ahli keluarga dan juga sahabat terdekat turut bangun dan menuju ke arah pengantin untuk bersama-sama meraikannya.

Suasana jadi hening seketika. Fokus Amzar masih ke depan, sementara Raihan pula sibuk perhatikan raut wajah kekasihnya. Dia tak suka tengok Amzar yang tiba-tiba mendiamkan diri seperti itu. Rasanya cukup tak selesa sekali. Disebabkan Raihan tak tahan dengan kesunyian yang tiba-tiba melanda, maka dia ambil kunci kereta Amzar lalu cuit bahu lelaki itu dengan menggunakannya.

"Are you okay?” tanya Raihan bila lelaki itu toleh.

“Okay,” jawab Amzar sebelum kembali fokus ke arah pengantin yang sekarang tengah dalam adegan suap-menyuap. Boleh nampak kegembiraan terpancar di wajah masing-masing melalui layar skrin yang terpasang di tengah dewan. Seketika, Amzar rasa cemburu bila melihatnya. Agaknya dapat ke dia dan Raihan melakukan hal yang sama?

“You marah dengan I?” tanya Raihan cukup berhati-hati.

Kepala Amzar digeleng perlahan.

“Betul ke? Hmm, macam tak percaya je. Kalau tak marah, takkan tiba-tiba you jadi diam pulak? Siap larikan muka dan tak nak pandang lagi I kat sebelah ni.”

Namun, Amzar masih juga membatukan diri. Biarkan Raihan berceloteh seorang diri di sebelahnya.

“Okay. Kalau you tak nak cakap, I pergi ajelah.”

Tak perlu tunggu sesaat pun untuk tubuh Amzar bagi respon pada kenyataan bersahaja Raihan tadi. Kepalanya tertoleh semula ke arah Raihan, takut sekiranya perempuan itu benar-benar pergi. Tengoklah. Raihan baru gertak sikit pun dah kelam-kabut lelaki itu jadinya. Dia kecilkan mata pada saat Raihan lemparkan sengihan nakal kerana dah berjaya mengenakannya tadi.

“Tak marah, I cuma kecewa sikit je. Sebab rasa macam I sorang je yang syok sendiri dalam hubungan kita ni. Tapi, salah I juga sebab bercakap soal kahwin pada masa yang tak sepatutnya. Anyway, I tak nak you rasa terbeban dengan perkara yang kita bahas tadi. Let us just proceed our relationship as usual. But in the meantime, I akan cari jalan macam mana caranya nak yakinkan Nur Raihan supaya dia dapat terima Syed Amzar sebagai satu-satunya pendamping hidup tanpa ada perasaan ragu-ragu,” balas Amzar tenang.

Raihan mula tersenyum simpul. Mungkin sekarang dia tak ada jawapan lagi untuk soalan Amzar. Tapi jika lihat dari kesungguhan Amzar untuk buat hati Raihan luluh, rasanya tak mustahil yang suatu hari nanti dia boleh beri jawapan seperti apa yang lelaki itu mahukan. Semoga saja, Raihan berdoa dalam hatinya. Jika benar dia dan Amzar berjodoh, semoga saja Allah S.W.T. permudahkan urusan mereka berdua.

==========

Blurb untuk Bab 1 - Bab 10

Berminat nak baca kisah lengkap mereka? ??
Boleh wasap saya di 011 2076 4122

Harga Asal : RM 15
Harga Promosi untuk 100 pembaca terawal : RM 13

Follow FB Page : Novelis Ashe Nini

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience