Bab 10

Romance Series 19377

Selesai bersarapan, Raihan dan Dato’ Arshad balik semula ke pejabat. Namun ketika berada di lobi, Dato’ Arshad didatangi oleh Encik Zawawi iaitu pengurus bahagian HR. Sepertinya mereka ada perkara penting yang hendak dibincangkan bersama, jadi Raihan minta diri untuk naik ke atas terlebih dahulu. Dia juga masih ada kerja yang perlu diselesaikan.

“Puan, eh.. Cik Raihan!” tegur Jimin ketika mereka berdua tersempak di depan lif.

Raihan senyum. Apa saja yang berlaku antaranya dengan Amzar, takkan jejaskan hubungannya dengan orang-orang sekeliling, begitu juga dengan keluarga Amzar dan orang kanannya sendiri, iaitu Jimin. Kerana bukan mereka yang selalu buat masalah dan cari pasal dengannya, tapi Amzar. Hanya lelaki itu sajalah yang nekad mahu membenci Raihan. Sedangkan yang lain pula masih tetap melayannya dengan baik, jadi tak ada sebab untuk Raihan menjauh.

“Nak pergi mana?” soal Raihan bila tengok Jimin yang langsung tak berganjak. Padahal, lif itu kosong saja lepas Raihan keluar, tapi Jimin lebih memilih untuk terus berdiri di depannya. Lelaki itu kelihatan serba salah, seperti ada perkara yang hendak dibagitahu.

“Saya nak keluar kejap, nak pergi beli ubat.”

“Oh,” gumam Raihan seadanya. “Awak sakit ke?”

“Bukan saya, tapi bos.”

Wajah Raihan sedikit berubah bila dengar jawapan Jimin. Amzar sakit? Memang dah tak ada benda lain yang terlintas di fikirannya ketika itu, kecuali satu.

“Amzar kena migrain lagi?”

“Ya, Cik Raihan.” Angguk Jimin laju. Mukanya juga sudah seperti mahu mengadu. “Kalau Cik Raihan nak tahu, lately bos kerap stay dekat ofis sampai lewat malam. Mungkin sebab tak cukup tidur dan ditambah pula dengan stress pasal kerja, jadi migrain bos pun datang balik.”

Raihan diam sebentar. “Amzar dekat mana sekarang?”

“Dekat ofis. Tengah rehat.”

“Kenapa tak suruh aje dia balik rehat dekat rumah?”

Jimin geleng kepalanya perlahan. “Macam biasa, dia mana nak dengar cakap saya Cik Raihan.”

Ish…! Sakit-sakit pun, masih nak juga keras kepala! Geram pula Raihan dengan perangai Amzar. Dah tua bangka, tapi perangai masih macam budak-budak. Padahal, bukannya Amzar tak tahu kalau sakit migrain yang dia kena tu bukannya boleh hilang dalam waktu sekejap. Paling kurang, seharian Amzar kena berehat tanpa perlu berbuat apa-apa.

“Panadol yang Cik Raihan selalu sediakan untuk bos itu pun dah habis. Jadi, saya nak keluar nak pergi tambah bekalan,” maklum Jimin kemudian.

Raihan sedikit tersentak bila Jimin ingatkan semula tugasnya sebelum dia dan Amzar berpisah. Raihan tahu dia bukanlah isteri yang terbaik untuk Amzar, tapi sekurang-kurangnya dia cuba. Dia cuba untuk jalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan sebaik mungkin. Walaupun pada akhirnya, usaha yang dia buat adalah sia-sia.

“Kalau Amzar rasa tak tahan sangat, baru awak bagi dia makan ubat. Tapi sebenarnya, apa yang Amzar lagi perlukan sekarang adalah rehat yang cukup,” kata Raihan.

Ketika mereka bersama dulu, memang dialah yang paling cemas bila Amzar kena migrain sampai terpaksa ambil cuti separuh hari untuk menjaganya. Kerana selain dari sakit kepala, lelaki itu juga kadang-kala akan rasa loya dan muntah-muntah. Jadi, Raihan akan cuba jaga Amzar dengan sebaik mungkin. Selagi sakit Amzar tak hilang, maka selagi itulah dia akan jadi tak senang duduk dan hatinya pun takkan tenang.

“Baik, Cik Raihan. Tapi maaf, saya terpaksa gerak dulu. Sebab takut kalau saya lambat balik nanti, bos mengamuk pulak. Cik Raihan sendiri pun tahu kan, angin bos sangat-sangat tak menentu sekarang. Macam bom jangka, bila-bila masa saja api kemarahannya boleh meletus…” seloroh Jimin, tapi Raihan dah tak ada hati nak ketawa. Dia hanya angguk saja kepala, menanggapi kata-kata Jimin sebentar tadi.

“Okay, awak pergilah cepat. Tapi, hati-hati.”

Jimin angkat ibu jarinya, tanda menerima arahan.

Sebaik saja masuk ke dalam ofis, Raihan terus duduk dan buka komputer di atas meja. Sambil tunggu komputer untuk loading, matanya sempat melirik ke arah ofis Amzar. Dia nampak lelaki itu sedang berteleku di meja dengan kedua-dua tangannya digunakan untuk menongkat kepala.

Mata Raihan sedikit mengecil. Walaupun sekadar melihat dari jauh, tapi dia tahu Amzar tengah cuba menahan kesakitan yang dirasakan pada ketika itu. Hatinya berdenyut nyeri, seolah-olah dia pun turut merasai kesakitan yang sama.

***Flashback***

“Raihan tak tahu ke?” tanya Dato’ Arshad.

Pantas saja Raihan menggeleng.

“Amzar dah setelkan kes Datuk Azman ni.”

Deg!

Hati Raihan tersentak. “Ma-maksud papa?”

“Amzar ada datang jumpa papa dan ceritakan perihal Datuk Azman yang datang buat masalah dekat ofis. Kemudian, Amzar cakap dia nak cari tahu punca masalah berkenaan. So, papa just let him dan selang beberapa hari lepas itu, dia kata semuanya dah selesai. Papa tak tahu apa sebenarnya yang dia dah buat. But you must know Amzar already, right? When he starts to dig into something, he must really into it.” Dato’ Arshad ketawa kecil.

“Sebenarnya Datuk Azman nak jumpa Raihan juga untuk minta maaf. Tapi, Amzar dah bagi warning awal-awal untuk tak libatkan Raihan lagi,” sambung bekas bapa mentuanya itu kembali. Sementara Raihan pula, dia tak tahu respon seperti apakah yang patut diberikan pada ketika itu. Kerana dia masih belum pulih dari rasa terkejutnya.

***End flashback***

‘Jadi, you stay back berhari-hari dekat ofis sebab ni ke Am?’ soal hati kecil Raihan. Kemudian, matanya sekali lagi mencari kelibat Amzar. Lelaki itu sekarang dilihatnya sudah pun berbaring di atas kerusi sofa sambil lengan diletakkan di atas dahi. Amzar bagaikan mahu memaksa dirinya untuk lena.

Raihan berdecit halus. Dia cuba ingatkan diri sendiri kalau urusan Amzar bukan lagi urusannya. Lepas bercerai, mereka perlu bawa haluan masing-masing. Amzar dengan hidupnya, dan Raihan pula dengan hidup sendiri. Sepatutnya begitulah. Walaupun Amzar seringkali mengganggu hidup Raihan, tapi itu tak bermaksud yang Raihan pun boleh buat benda yang sama.

Then, you should stop minding about him lah!

Raihan larikan matanya, cuba tumpu perhatian pada skrin komputer. Dibuka folder projek terkini kerana dia mahu teliti progress yang dilakukan di tapak sebelum buat report. Tapi masalahnya, semakin Raihan cuba untuk fokus dengan kerja, semakin itulah hatinya jadi tak keruan. Dinding kaca yang memisahkan ruangannya dengan ruangan Amzar pula langsung tak membantu. Kerana ia adalah salah satu penyebab kenapa mata Raihan jadi asyik nak berlabuh ke arah sana.

Nafasnya terhela berat. Walau sekeras apapun Raihan cuba untuk melawan, tapi hatinya tetap kalah. Dia tak boleh nafikan yang dia masih peduli dengan Amzar dan tak sampai hati nak terus biarkan bekas suaminya dalam keadaan seperti itu. Lalu tanpa berfikir panjang, Raihan bangun dan melangkah masuk ke dalam ofis Amzar.

Sejenak hening, dengan Raihan berdiri tepat di depan Amzar dan lelaki itu pula langsung tak berkutik. Amzar kelihatan benar-benar lena, sampai tak sedar dengan kehadirannya. Raihan tarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tak mengganggu rehat Amzar. Setelah yakin yang keadaan mula selamat, barulah Raihan berani duduk di sebelah kerusi sofa, tempat di mana Amzar sedang berbaring. Jam terus berdetak, dan dia masih setia berada di situ.

“Dah puas you tenung I, Raihan?”

Rasa nak luruh jantung Raihan bila dengar Amzar bersuara. Wajahnya pula dah berubah pucat. Macam mana Amzar boleh tahu yang dia ada dekat situ, sedangkan matanya terpejam rapat. Tak sekalipun Raihan alihkan pandangan, jadi dia yakin Amzar memang lena sejak tadi. Melainkan…

Mata Raihan terus membulat.

“You langsung tak tidur ke, Am?!”

Tiada jawapan yang diberi, kecuali helaan nafas saja. Kemudian, Amzar mula jatuhkan lengan dan matanya terus menatap Raihan. Sejak bercerai, hanya tatapan dingin dan tajamlah yang sentiasa diberikan oleh lelaki itu kepada Raihan. Namun, kenapa kali ini rasanya berbeza?

Gugup. Itulah yang dirasakan oleh Raihan bila dia ditatap sedemikian rupa. Rasa seperti dia kembali berdepan dengan Amzar yang dulu, yang pernah berjanji untuk mencintainya hingga ke akhir hayat. Raihan tak selesa, jadi dia putuskan untuk bangun dan mahu segera pergi dari situ.

“Jangan pergi ke mana-mana!” Keras suara Amzar melarang buat Raihan tersentak dan terus tak jadi untuk melangkah.

“Jangan buat sesuka hati, Raihan! Jangan fikir yang you boleh masuk dan keluar dengan sesuka hati!”

Terpejam mata Raihan untuk sesaat, sedar akan silapnya di mana. “I tak bermaksud nak ceroboh…”

“Duduk..!” bentak Amzar, tak nak dengar alasan Raihan. Lelaki itu kemudian, kembali melentokkan kepalanya di atas kerusi. Matanya mengernyit pada saat dia rasakan nyeri di bahagian kepala.

“Seriously, I tak nak ganggu you rehat...”

“You nak tunggu I paksa you dulu ke baru you nak dengar kata?!” gertak Amzar dengan kasar. Raihan pula sudah gigit bibirnya, tak keruan. Tak faham dia dengan tingkah Amzar. Dia faham dia salah. Dia tahu yang Amzar tak sukanya berada di situ. Tapi kenapa bila Raihan nak pergi, lelaki itu pula berkeras menahan?

Namun, ini bukanlah masa yang sesuai untuk berdebat. Amzar tengah sakit, dan Raihan tak mahu buat lelaki itu jadi bertambah sakit. Lagipun, Raihan perlu bertanggungjawab kerana dia yang cari masalah dulu. Tak sepatutnya dia melewati batas dengan masuk ke dalam ofis Amzar ketika Amzar tengah berehat.

Dengan berat hati, Raihan kembali duduk di tempatnya tadi. “Sorry, Am. I tak bermaksud pun nak ceroboh masuk. Cuma tadi I nampak you baring kat atas kerusi dan…”

“… you risau?” celah Amzar sambil matanya kembali menatap Raihan. Manakala Raihan pula, telan liurnya payah. Tak suka bila soalan Amzar adalah jawapan yang tepat kenapa dia datang ke mari. Ya, dia risau. Tapi, dia tak boleh sewenang-wenangnya mengaku di depan Amzar.

“Jimin cakap you kena migrain lagi.”

Amzar sekadar diam, langsung tak respon apa-apa.

“Balik rehat dekat rumah ajelah, Am. Kalau you terus stay dekat ofis pun, tak guna juga. Sebab bukannya you boleh buat kerja dalam keadaan macam ni.”

“No need to pretend like you care,” balas Amzar sinis.

Kepala Raihan tergeleng kecil. Geram, tapi tak sampai hati. Begitulah perasaannya sekarang. Dek kerana tak sampai hatinya itu jugalah, Raihan cuba abaikan saja sindiran Amzar lalu bergerak ke arah tingkap. Diturunkan blinds supaya cahaya matahari tak dapat masuk ke dalam ofis. Kerana Raihan tahu setiap kali Amzar diserang migrain, dia lebih selesa untuk rehat dalam bilik atau pun tempat yang gelap.

Bila Raihan pusing, dia tengok Amzar dah pun lelapkan matanya semula. Hatinya luluh, lalu dia kembali mendekati Amzar. Niatnya sekadar mahu membetulkan posisi Amzar. Kerana rasanya akan lebih selesa kalau lelaki itu rehat dalam keadaan berbaring dari duduk.

Baru saja tangan Raihan terangkat untuk sentuh bahu Amzar, tapi kelopak mata lelaki itu dah pun terbuka terlebih dahulu. Serta-merta Raihan bungkam. Namun yang lebih buat Raihan terkejut, bila dengan selamba Amzar pegang tangan Raihan dan menarik tubuhnya untuk mendekat.

“A-Am…!” Terjerit Raihan. Kalau tak ditahan tangannya pada dada Amzar, mungkin dah lama dia terjatuh ke dalam pelukan lelaki itu. Raihan yang dah panik itu pun cuba untuk tarik semula tangannya. Tapi makin ditarik, makin kemas pula pegangan Amzar. Wajahnya beriak datar, bagai tak ada perasaan bila tengok Raihan yang dah terkial-kial mahu melepaskan diri.

“Am, lepas!” rayu Raihan sambil meringis kesakitan.

Tapi, Amzar buat tak tahu saja. Matanya pula langsung tak berhenti dari mengamati wajah Raihan. Dari mata, turun ke hidung dan seterusnya ke bibir. Entah apa yang difikirkan oleh Amzar, tapi Raihan betul-betul dah tak keruan. Bau dan wangian kegemaran Amzar iaitu Myrrh & Tonka by Jo Malone yang begitu tajam menusuk hidung Raihan, buat dia sedar kalau dah lama sebenarnya mereka tak sedekat itu.

“Lepaskan tangan I sekarang, Am!” tegas Raihan.

“And why should I?” tanya Amzar seakan mencabar.

“Sebab I tak selesa…!!” balas Raihan dengan nada tinggi. Sudah tentulah dia tak selesa. Pertama, sebab mereka dah bercerai. Walaupun sekarang Raihan masih dalam tempoh iddah, tapi itu tak bermaksud yang Amzar boleh sentuhnya dengan sesuka hati. Dan yang kedua, sebab Raihan tak boleh terima kalau Amzar masih berikan rasa dan kesan yang sama.

Jadi, setelah dari semua yang berlaku, setelah lelaki itu mencemuh dan membencinya dengan sepenuh hati, tapi perasaan Raihan terhadap bekas suaminya itu langsung tak berubah? Ia tak masuk akal, bentak hati Raihan. Takkan sedikit pun rasa sayangnya pada Amzar tak berkurang? Ketika Raihan masih sibuk berperang dengan perasaan sendiri, raut wajah Amzar pula dah berubah tegang.

“Kalau tak selesa, then janganlah datang ke sini! I never invite you, nor I want you to worry about me. Simpan saja simpati you sebab I langsung tak perlukan! Now, get out! I dah tak nak tengok lagi muka you kat sini.” Tangan Raihan ditepis dengan kasar sebelum dia dihalau keluar.

Sepatutnya Raihan dah terbiasa dengan sikap dan layanan dingin Amzar, tapi kenapa hatinya masih perlu rasa terguris pada saat lelaki itu dengan tanpa perasaan mengusirnya keluar? Sabar. Raihan cuba pujuk hati sendiri.

“I akan keluar, tapi sebelum tu I nak tanya satu soalan. Papa bagitahu I yang you dah setelkan kes Datuk Azman, jadi I nak tanya kenapa? Kenapa you perlu libatkan diri dalam masalah I?” soal Raihan dengan penuh berhati-hati.

Wajah Amzar mula menyeringai sinis. “Don’t worry, Raihan. I did that only for the company, not you! I tak nak masalah itu dibiarkan lama-lama dan seterusnya, bagi ruang dekat pakcik tua itu untuk jaja cerita yang bukan-bukan pasal syarikat! Jadi, you tak perlulah nak berfikir di luar kotak.”

Kali ini, giliran Raihan pula yang tersengih. Tapi, sengihnya sumbing sekali. Tak payah tunggu jawapan dari Amzar pun dia dah boleh agak, kalau alasan di sebalik tindakan lelaki itu hanya sebab syarikat, bukan sebab lain.

“Lega dengar. At least, I tak perlu rasa terhutang budi. Since you buat semua ni pun untuk syarikat, kan Encik Syed Amzar?” balas Raihan sambil paksa dirinya untuk senyum. Mahu sembunyikan perasaan sebenar.

Lelaki itu pula sekadar menjeling tajam sebelum matanya kembali terpejam. Buat Raihan sedar yang kehadirannya sangat-sangat tak diperlukan di situ. Nafasnya terhela berat. Baiklah, dia perlu keluar sebelum dirinya diusir sekali lagi.
Namun baru saja Raihan nak melangkah, tiba-tiba telefon bimbit Amzar berdering. Terus saja kepalanya menoleh ke arah Amzar yang dilihat seperti terganggu dengan bunyi deringan dari telefon bimbitnya sendiri. Tapi, lelaki itu nampak tak berniat pun untuk buka mata dan bangun.

Telefon Amzar terus berdering untuk kali kedua, kali ketiga, dan… ! Okay, ini adalah kali terakhir dia akan tolong!

Akhirnya, Raihan pergi ke arah meja kerja Amzar, nak ambil telefon bimbit dan serahkan pada lelaki itu. Seterusnya, terpulang kepada Amzar sama ada untuk jawab atau tidak panggilannya. Tapi, tak sengaja mata Raihan terbaca nama yang tertera sebagai pemanggil.

‘Tengku Imani is calling…’

Dahi Raihan terus mengernyit hairan. Siapa Tengku Imani? Rasanya dia tak pernah dengar pun nama Tengku Imani sebelum ini. Takkan client kut? Sebab ini adalah nombor telefon personal Amzar. Apa yang Raihan tahu, tak sesekali Amzar bagi nombor telefonnya ini pada orang luar.

Pelbagai soalan yang datang, tapi Raihan cuba hiraukan kerana tak mahu dituduh mahu mencampuri urusan lelaki itu lagi. Lalu Raihan terus letakkan telefon bimbit Amzar di sebelahnya. Tapi, lelaki itu terlihat seperti biasa saja. Langsung tak tergesa-gesa untuk tengok telefonnya.

“I keluar…” kata Raihan sekadar untuk maklum dan malas lagi nak ambil tahu pasal lelaki itu.

==========

Teruslah menafikan ??

Follow FB Page Novelis Ashe Nini

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience