"ENCIK AMZAR sekarang suka mengamuk tak tentu pasal dan yang selalu jadi mangsanya, si Jimin lah. Kesian pulak aku tengok sebab hari-hari asyik kena marah aje dia dengan Encik Amzar tu. Kadang-kadang salah orang lain pun, tapi dia jugak yang kena.” Sedang Raihan ralit meneliti dokumen yang perlu ditandatangan, dia dengar Gia iaitu rakan sekerjanya sedang bercakap mengenai Amzar.
Berkerut dahi Raihan. Fokusnya sedikit terganggu bila dengar apa yang dikatakan oleh Gia. Kemudian, matanya melirik ke arah dinding kaca untuk tengok apa yang berlaku di luar sana. Kelihatan Jimin yang sedang berdiri di luar ofis Amzar dalam keadaan terpinga-pinga, sepertinya dia masih belum tahu atas alasan apa pula kali ini dia diusir keluar oleh sang bos. Raihan agak mesti ia ada kena mengena dengan kejadian yang dia nampak pagi tadi.
Sebelum nak masuk ke ofisnya, Raihan ternampak Jimin serta beberapa orang lagi pekerja tengah bertungkus-lumus ubah kedudukan meja dan perabot-perabot lain di dalam ofis Amzar. Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Raihan ketika itu, mesti Amzar yang suruh. Sebab Jimin takkan berani buat sesuatu tanpa arahan dari bosnya.
Gia ketuk meja perlahan, mahu hentikan lamunan Raihan. "Kau tak ada nak cakap apa-apa ke?"
“Nak cakap apa?”
“Berkenaan dengan perangai Encik Amzar.”
“Entah, lantak dialah nak buat apa. Bukan urusan aku lagi dah,” balas Raihan tenang. Tak ada apa lagi yang perlu dirahsiakan mengenai status hubungannya dengan Amzar kerana berita penceraian mereka telah pun tersebar dengan meluas dalam kalangan pekerja syarikat. Kelakarnya, mereka tak nampak terkejut sikit pun bila dengar berita tersebut.
Mungkin sebab mereka dah boleh jangka jika itulah kesudahan bagi kisah Raihan dan Amzar setelah tengok macam mana hebatnya bekas pasangan suami isteri itu bertengkar di pejabat. Raihan dan Amzar memang bagi contoh yang tak baik pada pekerja-pekerja lain kerana selalu campur-adukkan urusan peribadi dengan kerja.
“Kenapa Amzar selalu nampak tak puas hati dengan kau, ya? I gunuinely curious since both of you’ve already divorced. So basically, korang berdua dah boleh tutup buku lama dan buka buku baru.”
Kalaulah semudah itu…
“Dia nak rasa tak puas hati dengan aku sampai bila-bila pun, aku tak kisah. Asalkan dia dah tak ganggu hidup aku lagi lepas ni,” balas Raihan sambil serahkan semula dokumen kepada Gia. Memang niat rakan sekerjanya itu datang ke mari hanya untuk ambil tandatangan saja. Jadi bila dah selesai, Raihan fikir Gia akan terus beredar – tapi rupanya wanita kacukan Melayu dan India itu lebih memilih untuk duduk di situ sambil menatapnya hairan.
“Boleh aku tanya sesuatu?”
Raihan angkat kening. “Tanyalah.”
“Sebenarnya, Raihan. Aku… actually bukan setakat aku ajelah, tapi semua pekerja kat sini masih lagi tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang berlaku? Mana perginya Raihan dan Amzar yang dulu begitu sweet sampai pernah dapat julukan pasangan yang paling romantik di dalam syarikat kita? Sekarang apa yang aku nampak korang dah jadi macam musuh. Macam anjing dengan kucing pulak sebab asyik bergaduh aje memanjang. Entah-entah diorang pun kalah sebab kau dan Amzar dah ambik tempat diorang.”
Tergelak Raihan bila dengar perumpaan yang diberikan oleh rakannya itu. “Ish, teruk sangat ke kitorang gaduh?”
Laju pula Gia angguk, mengiyakan.
“Kau tak perlu risau, mungkin lepas ni scene gaduh laki bini dekat ofis akan mula berkurangan. Sebab aku dah pun isytihar gencatan senjata dan angkat bendera putih. Kalau misal kata, kitorang bergaduh jugak, itu maksudnya Amzar dululah yang mulakan. Bukan aku,” jawab Raihan dalam nada bergurau. Cuba tutup kegusaran yang mengganjal di hatinya lepas dengar pertanyaan Gia tadi.
Kalau Gia sebagai orang luar pun tertanya-tanya, maka dia lebih lagi. Raihan sendiri pun nak tahu apa sebenarnya yang berlaku? Apakah alasan yang menyebabkan hubungannya dengan Amzar tiba-tiba menjadi keruh, seterusnya membusuk hingga tak dapat nak diselamatkan lagi? Percayalah, persoalan yang sama sering bermain di benak fikiran Raihan kerana hingga ke hari ini pun dia masih belum dapat jawapan yang pasti.
*** Flashback ***
Raihan mengeluh. Hari pertama setelah melaporkan diri di tempat kerja baru, dia dah kena turun pergi melawat site. Raihan tak kisah pun pasal tu sebab ia dah termasuk dalam salah satu tugasnya. Hanya yang jadi masalah bila Raihan terpaksa tunggu driver syarikat untuk bawanya ke sana dan sekarang dia dah menunggu hampir setengah jam, namun kelibat driver yang dikatakan masih juga belum muncul.
“Boleh tak saya pergi sendiri aje ke sana? Sebab saya pun ada bawa kereta,” kata Raihan.
"Tak boleh, cik. Ini adalah arahan dari Dato’ Arshad. Memang sejak dulu lagi, tiada siapa yang dibenarkan ke site sendiri pada hari pertama mereka bekerja."
Raihan tak pernah dengar pun arahan sebegitu dari mana-mana syarikat yang dia pernah bekerja sebelum ini. Tetapi memandangkan setiap syarikat mempunyai polisi dan peraturan yang berbeza, jadi terpaksalah dia akur jua. Sementelah, dia juga masih baru lagi dekat sini. Jadi, dia kenalah tunjuk perilaku yang baik.
"Cik Raihan, driver dah on the way turun tu. Sekejap lagi dia sampai. Cik boleh aje tunggu dia dekat lobi, okay?” maklum kak Siti iaitu salah seorang clerk syarikat. Jadi dengan dialah, Raihan berurusan dari tadi.
"Okay, baik." Lepas simpan telefon bimbitnya ke dalam beg, Raihan terus berjalan ke arah lif. Kesemuanya ada empat, tapi hanya dua saja lif yang digunakan oleh pekerja. Sementara, satu lif lagi untuk kecemasan dan satu pula lif khusus yang hanya digunakan oleh pihak atasan.
Raihan berdiri betul-betul di depan lif yang kebetulannya tengah turun dari tingkat di mana syarikatnya itu berada. Iaitu, tingkat 16. Jadi, Raihan terus bersiap sedia untuk sambut gerangan yang ditunggu-tunggunya sejak tadi dan sebaik saja pintu lif itu terbuka, dia terus menjerit.
“Akhirnya, sampai pun awak!"
Terkejut lelaki yang berada di dalam lif ketika itu. Kerana tak ada angin dan tak ada ribut, tiba-tiba dia disergah oleh seseorang. Kemudian, lelaki itu toleh ke kiri dan ke kanan cuba untuk pastikan keadaan di sekelilingnya. Tepat seperti apa yang diduga, memang tak ada orang lain lagi selainnya yang berada di dalam lif tersebut. Lelaki itu berkerut sambil jari telunjuk dihalakan ke arah diri sendiri.
“Sorry, tapi you tengah bercakap dengan I ke?”
Giliran Raihan pula yang terkedu bila ditanya semula. Kemudian, matanya memerhati sekilas penampilan lelaki yang cukup segak dengan sepasang sut berjenama. Sebelum Raihan submit resume, dia dah gali dulu serba sikit maklumat tentang syarikat. Jadi, dia tahu syarikat ini adalah sebuah syarikat kontraktor gred G7 yang hanya menjalankan projek-projek pembangunan mega. Memang expectation dia terhadap syarikat ini tinggi, begitu juga dengan para pekerja di dalamnya. Namun tak adalah pula yang Raihan sangka kalau driver syarikat pun sangatlah ber’kelas’ seperti ini.
“Ya, I bercakap dengan you.” Raihan pun bersuara mengikut gaya lelaki itu. “Kenapa lambat? I tunggu you dekat lobi dari tadi tau.”
Baru saja lelaki itu nak buka mulut, tapi tangan Raihan dah terangkat dulu. Tak nak bagi peluang untuk lelaki itu bercakap. “It’s okay, you tak payah jawab. Sebab kita ada benda yang lagi penting nak buat sekarang. Jam dah pukul 10 pagi dan kita kena gerak. Kalau tak, memang lambat kita sampai kat sana nanti. Dan of course, I tak nak you pecut kereta macam kita tengah race dalam Formula One. Okay?”
Punyalah Raihan bercakap dengan panjang lebar, tapi lelaki itu masih lagi pamer muka berkerut dan juga belum nampak ada tanda-tanda yang dia mahu segera keluar dari perut lif. Aduh, penatlah Raihan macam ni! Sebab tangannya lah yang terpaksa tekan butang lif supaya pintu tak tertutup dari tadi. Raihan pun satu, sepatutnya dari awal lagi dia dah ajak lelaki itu untuk bercakap di luar.
“I boleh aje pergi sendiri,” jelas Raihan tak mahu lelaki itu salah faham. “Tapi kak Siti kata untuk hari pertama bekerja, I kena pergi ke site dengan driver syarikat dulu. Ia peraturan syarikat, jadi I memang kena follow rules and regulations yang ada.”
“Syarikat mana?” Boleh pula lelaki itu bertanya.
“AR Constructions lah, ke you ada kerja dengan syarikat lain juga?” tanya Raihan balik.
“Oh.” Lelaki itu mengangguk beberapa kali. Mungkin dia dah faham apa sebenarnya yang berlaku. “Jadi, you pekerja baru kat sini?”
“Ya, I baru start kerja hari ini. So, that’s why. I minta tolong sangat-sangat. Tolong jangan lengahkan lagi masa kita kat sini. Please, I tak nak ada rekod buruk pada hari pertama I bekerja.”
Lelaki itu kembali diam. Langsung tak kata apa-apa. Hanya matanya saja yang bergerak, meneliti Raihan dari atas ke bawah. Kalau dia boleh guna satu perkataan untuk gambarkan penampilan perempuan yang berada di depannya ketika itu… hmm – agaknya apa, ya? Mungkin outdated? Ya, outdated. Ketinggalan zaman.
Walaupun lelaki itu tak mengikuti sangat perkembangan fesyen pakaian wanita yang terkini, tapi dia tahu apa yang dipakai oleh perempuan itu agak outdated. Sebab rata-rata wanita yang dia jumpa sekarang selalunya akan pakai shawl lilit yang menampakkan dada, sut lengkap mengikut lekuk tubuh atau pun kemeja ketat dan seluar slack di paras buku lali. Tipikal wanita moden yang bekerjaya pada masa kini.
Sementara perempuan itu pula hanya pakai tudung bawal saja, lepas itu diikat centung di bahagian bawahnya. Betul persis fesyen makcik-makcik dekat kampung. Kalau dari segi pakaian pula, blouse longgar dan labuh serta seluar palazo hitam – hmm, bolehlah. Dia masih boleh terima sebab nak pergi ke site, kan? Jadi, kena pakai pakaian yang sesuai. Walaupun ia memang nampak agak countrified juga.
Proses penelitian tak berhenti di situ kerana matanya naik ke atas semula dan berhenti tepat di wajah perempuan itu. Kalau tengok dari muka dan bibirnya yang pucat, dia rasa perempuan itu tak pakai apa-apa make up pun. Mungkin dia hanya pakai sunblock dan juga tepek baby powder. Selebihnya, tak ada. Jadi, apa yang lelaki itu boleh simpulkan bahawa penampilan perempuan itu cukup sederhana. Macam budah sekolah. Tapi zaman sekarang, budak sekolah pun lagi pandai melaram dari perempuan yang ada di depannya ini.
Raihan betul-betul rasa tak selesa bila diperhatikan sedemikian rupa. Dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran lelaki itu. Bukan dia nak kata semua, tapi memang kebanyakan lelaki yang dia jumpa jenis macam itu. Jenis yang akan selalu perhatikan penampilan perempuan dan kemudian, mulalah judge yang bukan-bukan kat dalam kepala. Bila Raihan berdeham keras untuk tunjukkan rasa tak selesanya, barulah lelaki itu mula kalut sendiri.
"Bagi I call kak Siti kejap,” kata lelaki itu sambil berjalan keluar dari lif. Lalu diambilnya telefon bimbit dari dalam poket seluar.
“Tak payah. Kan I dah cakap dengan kak Siti tadi,” protes Raihan. Mereka dah lambat, jadi kenapa nak lambatkan lagi keadaan?
"Tapi, I kena call dulu sebab nak tanya…”
Raihan geleng kepala. Geram pula kerana lelaki itu masih berdegil. Kemudian, dia tak sengaja nampak sesuatu yang dipegang oleh lelaki itu. Kunci kereta! Raihan memang tak fikir dua kali untuk rampas kunci kereta lalu bergerak pergi. Semuanya berlaku dengan cukup pantas sekali sampaikan lelaki itu pun tak sempat nak buat apa-apa. Malah, dia terlalu kelu berdiri di tempatnya.
"Cepat, kita dah lambat!" gesa Raihan yang menoleh sekilas ke belakang. Kemudian, dia berjalan lagi dengan langkah-langkah terburu. Sebenarnya Raihan tak tahu pun di mana letaknya kereta syarikat, tapi dia main redah saja.
Tercengang Amzar. Niatnya untuk turun sekejap sebab nak ambil barang yang tertinggal di dalam kereta, tapi siapa sangka yang dia akan berdepan dengan situasi di luar jangkaan dan rasanya terlalu menarik untuk dia abaikan begitu saja.
"Ehhh, ke mana pulak dia pergi?”
Amzar melirik ke arah Raju, driver syarikat ‘sebenar’ yang baru saja turun dari lif di arah bertentangan. Matanya pula kelihatan sedang mencari-cari kelibat seseorang, mungkin mahu mencari perempuan tadi.
"Raju, you naik atas. Tak payah pergi site."
Raju terkejut. Masa mula-mula turun dari lif tadi, dia tak perasan pula ada bosnya yang berdiri di kawasan berhampiran. "Tapi pagi ni saya kena hantar pekerja baru, bos. Namanya Cik Raihan. Dia kena pergi ke Alam Damai.”
"Ya, aku tahu. Aku yang akan pergi dengan dia."
Raju jadi makin terkejut, tapi siapalah dia untuk membantah arahan dari majikan. Jadi nak tak nak, terpaksalah Raju berpatah balik semula untuk naik ke atas dan biarkan bosnya saja yang pergi dengan pekerja baru.
Amzar pula dah berjalan keluar. Nak pergi dapatkan semula perempuan yang bertindak semborono saja tadi. Sungguh, dia tak pernah rasa tertarik pun dengan mana-mana perempuan sebelum ini. Amzar akui yang hidupnya sering saja dikelilingi dengan ramai perempuan cantik. Selebriti, model, pramaguri atau influencer yang baru nak meningkat naik, sebut saja siapa. Namun, tak pernah sekali pun hatinya tersangkut.
Pernah juga Amzar terfikir, betul ke dia lelaki tulen? Kalau betul, kenapa susah sangat dia nak jatuh cinta dengan perempuan? Namun sekarang, barulah persoalan Amzar itu terjawab. Bukan masalah dia tulen ke tak, tapi masalahnya dia masih belum jumpa perempuan yang tepat untuknya.
Amzar ketawa sambil geleng kepala, tak faham dengan tingkahnya sendiri. Sebenarnya apa yang menarik sangat pasal perempuan tadi? Sampai dia sanggup tinggalkan kerja semata-mata untuk menghantarnya ke site. Padahal, mereka baru juga jumpa. Buat pertama kali dalam hidupnya, Amzar rasa dia tak nak fikir sangat sebelum buat sesuatu tindakan. Dia hanya nak ikut saja apa kata hatinya pada ketika itu.
“Jadi, nama you Raihan?” Amzar mula tersenyum sendiri.
==========
Blurb untuk Bab 1 - Bab 10
Berminat nak baca kisah lengkap mereka? ??
Boleh wasap saya di 011 2076 4122
Harga Asal : RM 15
Harga Promosi untuk 100 pembaca terawal : RM 13
Follow FB Page : Novelis Ashe Nini
Share this novel