SESI MAKAN malam Raihan bersama keluarga Amzar di rumah mereka berjalan dengan cukup baik. Meskipun sekarang Raihan dah tak ada apa-apa hubungan lagi dengan Amzar, tapi layanan yang diberikan oleh bekas keluarga mentuanya masih sama seperti dulu juga. Raihan rasa bersyukur untuk hal yang satu itu. Sekurang-kurangnya hubungan silaturrahim yang pernah terjalin antara mereka dulu tak terlerai walaupun dia dan Amzar dah berpisah.
"Kenapa dia pun ada sekali?" Sebaik saja Amzar muncul, dia terus pamer muka tak puas hati. Sebab apa lagi, kalau bukan sebab Raihan. Masa Amzar tengok kereta Raihan kat luar rumah tadi pun, darahnya dah menggelegak panas sebab nak marah. Inikan pula nak tengok Raihan yang tengah seronok bergelak ketawa dengan ahli keluarganya. Amzar tak tahu kenapa, tapi dia betul-betul muak tengok Raihan bertingkah seperti tak ada apa yang pernah berlaku di antara mereka dulu.
"Am…!” panggil Datin Khadijah, perasaannya ketika itu bercampur antara terkejut dan gembira. “Mama ingatkan Am tak sudi lagi nak datang ke rumah malam ni,” katanya berbaur sedih. Mengenangkan jemputan makan malam bersama-sama selalu Amzar tolak dengan pelbagai alasan.
Wajah Amzar yang tadi tegang terus melembut saat matanya terpandang Datin Khadijah. Timbul rasa bersalah dalam hatinya kerana sejak kebelakangan ini, dia jarang pulang ke rumah. Entah kerana kesibukan kerja atau kecelaruan hidup, hingga Amzar terlupa sekiranya dia masih lagi ada orang tua yang perlu diberikan perhatian.
“Maaf, ma. Bukan tak nak datang, cuma tak sempat saja.” Sengaja Amzar beralasan. Setelah selesai bersalaman dengan kedua ibu bapanya, dia terus pergi duduk di hujung meja makan. Jauh dari semua orang dan lebih penting, jauh dari Raihan. Itu motif utama Amzar. Tak sudi dia nak duduk di situ sambil menghadap bekas isterinya.
“Jadi, tak ada siapa jawab lagi soalan Am tadi. Kenapa dia pun boleh ada kat sini? Siapa yang ajak dia datang? Ke dia sendiri yang memandai datang walaupun tak dijemput?” Bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Amzar sambil matanya mencerlung tajam ke arah Raihan.
“Am. Tak baik cakap macam tu,” tegur Datin Khadijah lembut. Cuba melarang anaknya dari bersikap yang bukan-bukan di meja makan. Datin Khadijah tahu yang hubungan anak dan bekas menantunya itu sedang keruh. Malah, menurut dari cerita suaminya, Amzar dan Raihan sudah begitu saling membenci antara satu sama lain hinggakan dia tak nampak ada ruang atau kemungkinan untuk mereka berbaik semula. Walau hanya sebagai kawan sekali pun.
“Apa salahnya kalau Raihan ada sekali? Dia pun ahli keluarga kita juga.” Selamba Dato’ Arshad mencelah, tak peduli bagaimana terkejutnya Amzar dengan kenyataannya tadi. Lalu dia kembali menyuap makanan ke dalam mulut.
“Papa lupa ke yang kami dah bercerai? Sebaik saja Am lafazkan cerai dengan talak satu di depan hakim, maka dia pun dah tak ada kena-mengena lagi dengan kita semua.”
“Siapa cakap?” potong Datin Khadijah cepat. “Walau apapun yang terjadi, kami masih lagi anggap Raihan sebagai menantu di dalam rumah ini.” Sekali gus, menegaskan jika status Raihan di dalam keluarganya masih tak berubah.
“Seriously, ma?” tanya Amzar tak percaya.
“Yes, I’m serious. Afterall, you’ve to remember this one thing. Hubungan yang putus itu hanya Am dengan Raihan. Namun, ia sama sekali tak berlaku dengan hubungan kami semua. Betul tak?” tanya Datin Khadijah sambil menyentuh lembut bahu Raihan yang duduk di sebelah. Raihan pula senyum saja, membalas.
"Betul cakap mama tu, Am. Jangan disebabkan apa yang berlaku antara you dengan Raihan, you nak sekat hubungan kami dengan dia pulak.” Kali ini, giliran Nadia pula yang melontarkan pendapat. Sebagai satu-satunya kakak kepada Amzar, dia tak boleh berdiam diri saja bila tengok adiknya berkelakuan seperti itu. Amzar tak boleh sembarangan guna tiket kisah silam mereka yang pahit untuk terus bersikap kurang ajar dengan Raihan.
Tertegun Amzar dengan apa yang berlaku pada saat itu. Kerana bukan setakat orang tuanya saja, malah dengan kakaknya sekali pun ikut menyebelahi Raihan. Amzar jadi tertanya-tanya, helah apa yang wanita itu gunakan sampai dia boleh dapat perhatian dari keluarganya sebegitu rupa.
"Kak Nad tak payah nak menangkan sangatlah Raihan, because at the end of the day, she’s still a stranger in our family. While me, will be your brother no matter what!”
"Ya Allah, kak Nad tak ada nak menangkan sesiapa pun lah!” Laju Nadia buat penafian atas tuduhan Amzar tadi. “Sebab baik you mahupun Raihan, kedua-duanya kak Nad sayang dan peduli. Faham? Lagipun, bak kata papa mama tadi, Raihan bukan orang luar. Dia dah jadi sebahagian dari keluarga kita, despite of what happened.”
“Meskipun, Am dah ‘buang’ dia dari hidup Am?” Semua terkedu bila dengar pertanyaan Amzar yang mereka sifatkan sebagai cukup kasar. Kemudian, lelaki itu terus bersuara. “Am tak faham kenapa dia masih ganggu hidup Am. Tak cukup dekat ofis, sekarang dia datang pulak ganggu Am dekat sini. Kalau macamni, baik tak payah bercerai. Sebab asyik muka dia jugak yang Am terpaksa hadap!”
Nadia geleng kepala dengan kelakuan Amzar yang sejak tadi asyik ‘menyerang’ Raihan di meja makan. Mujur bekas adik iparnya itu tak melawan. Kalau tak, Nadia tak tahulah apa yang akan jadi. Padahal makan malam ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga, bukan berlaku yang sebaliknya.
“Sebenarnya kenapa you tak puas hati sangat dengan Raihan? Dia ada buat salah apa sampaikan you benci betul dekat dia? Padahal dulu you juga yang tergila-gilakan dia, tapi sekarang?” Nadia toleh sekejap melihat ke arah Raihan. Timbul rasa kesian di benak hatinya bila tengok wanita itu yang langsung tak bersuara walaupun Amzar dah kata macam-macam. “Even nampak dia kat sini pun dah buat you jadi panas punggung. Kenapa? Mesti ada sebab, betul tak?”
"Kak Nad tak tahu apa-apa," jawab Amzar singkat.
"Sebab kak Nad tak tahulah yang you kena bagitahu. Jelaskan perkara sebenar supaya kami semua faham apa masalah sebenar yang membelenggu hubungan you dengan Raihan. Do you actually get my point here, Syed Amzar?”
Amzar terus membisu. Setiap kali keluarganya mengasak dengan soalan begitu, dia akan pilih untuk mendiamkan diri saja. Jadi, tak ada siapa yang tahu apa yang benar-benar berlaku di dalam rumah tangganya dengan Raihan. Mereka hanya nampak yang Amzar dan Raihan dah tak serasi untuk hidup bersama, tapi ada masalah lain lagi sebenarnya. Hanya Amzar yang berahsia. Dia tak ceritakan masalahnya pada sesiapa, hatta pada keluarganya sendiri.
“Am, can you just answer my question?” desak Nadia.
“Kenapa kak Nad tak tanya dia sendiri?” soal Amzar menatap Raihan dengan pandangan yang begitu sulit untuk ditafsirkan. Entah apa yang sedang bermain di fikirannya ketika itu. “Sebab yang melayari bahtera perkahwinan ini bukan hanya Am seorang, tapi dia juga. Jadi, Am yakin dia pun boleh jawab soalan kak Nad tadi.”
Sekarang Dato’ Arshad, Datin Khadijah, Nadia dan suaminya yang turut ada di meja makan sejak awal, mula melihat ke arah Raihan dengan pandangan penuh persoalan. Kalau betul apa yang Amzar katakan, jadi…
“Raihan tahu ke kenapa?” soal Datin Khadijah cukup berhati-hati. Tak mahu bekas menantunya itu rasa tersinggung bila ditanya begitu, tapi pada masa yang sama, dia tak mampu lagi tahan rasa ingin tahunya. Alangkah baiknya kalau segala misteri tentang hubungan Amzar dan Raihan dapat dirungkai pada malam itu.
“Maaf, ma. Tapi, Raihan juga tak tahu.” Raihan hanya jawab seadanya, tapi siapa sangka jika jawapannya itu boleh mengundang tawa sinis yang cukup kuat dari Amzar.
“Hebat betul you, Raihan! I harus puji yang tahap lakonan you untuk ‘watak innocent’ memang terbaik. You pernah terfikir ke untuk terima tawaran berlakon? Sebab kalau ada, I boleh recommend you dekat one of my friends. He’s a producer, so surely he can help you becoming a star.”
“Syed Amzar, cukuplah!” arah Dato’ Arshad tegas. Dia merasakan yang anak lelakinya itu dah pun keterlaluan.
Selama ini, Amzar seorang anak yang baik. Walau keras kepala macam mana sekali pun, namun dia tetap akan cuba untuk tidak melawan kata-kata orang tuanya. Tapi kali ini, Amzar tak boleh bekerjasama dengan arahan dari ayahnya. Kerana dia tak boleh pendam perasaan bencinya terhadap Raihan begitu saja. “Seriously, I’m so sick lah of your acting!”
Kemudian, Amzar tolak kerusinya kasar dan bangun. Sepertinya dia tak boleh lagi duduk di situ. Kalau diteruskan juga pun, dia tak rasa yang dia boleh menikmati suasana makan malam bersama ahli keluarganya yang lain. Maksud Amzar, betul-betul ahli keluarga. Bukan ahli keluarga ‘jadian’ seperti Raihan.
“Maaf, tapi Am dah takde selera lagi nak makan. Korang sambung ajelah makan malam ni, ya. Am nak balik dulu.”
Mereka yang lain, apalagi. Terkejutlah. Lebih-lebih lagi Datin Khadijah. Dia pun bangun juga kerana tak nak biarkan anak lelakinya itu pergi begitu saja. “Jangan macamtu, Am. At least makanlah dulu. Mama yang masak, tau.”
“Kenapa nak pergi cepat sangat, Am? Padahal kita tak sempat borak pasal hal negara pun lagi.” Johan, iaitu suami kepada Nadia cuba berseloroh. Sedari tadi, dia hanya diam saja dan tak ikut perbualan kerana tahu posisinya di situ hanya sebagai menantu. Namun jauh di sudut hatinya, dia rasa kesian apabila semua seakan-akan mahu menyalahkan Amzar. Sedangkan mereka sendiri pun masih juga belum tahu apa sebetulnya yang berlaku.
“Am, please. Jangan ambil hati dengan soalan kak Nad tadi. I’m just curious, nothing’s more,” ujar Nadia yang rasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Bila tengok seorang demi seorang cuba menghalang Amzar pergi, manakala lelaki itu pula langsung tak bagi apa-apa reaksi, buat Raihan rasa bersalah. Dia perlu buat sesuatu untuk redakan keadaan.
“I tahu you tak selesa sebab I ada dekat sini. So, biar I yang pergi,” putus Raihan akhirnya. Dia dah nak angkat punggung bila Amzar separuh memekik di meja makan.
“Tak payah! I masih belum jahat lagi nak usir ‘tetamu’ pergi ketika dia tengah makan,” tempelak Amzar kasar. Kemudian, dia tengok Datin Khadijah yang masih berdiri sambil menunggu jawapannya. Begitu juga yang lain. Tak sampai hati pula dia rasa nak hampakan permintaan mereka. “Hmm, baiklah. Tapi, Am akan makan kat dapur je.”
Lepas Amzar pergi, suasana di meja makan terus mendadak suram. Tidak seceria tadi. Raihan semakin diserang rasa bersalah kerana merasakan dialah punca kenapa hal itu terjadi. Walaupun bekas mentuanya tak ada kata apa, tapi dia tahu mereka sedih. Lebih-lebih lagi ibu mentuanya yang dah lama tak jumpa dengan Amzar. Jadi, Raihan nekad lepas saja makan, dia takkan berlama lagi di situ. Dia akan terus balik dan bagi ruang untuk Amzar rasa selesa di rumah orang tuanya sendiri.
“Puas hati you?” soal Amzar bila nampak Raihan yang masuk ke dapur untuk hantar pinggan kotor. Salah satu kebiasaan yang sering dilakukan lepas makan malam, iaitu dia akan turut mengemas apa yang patut. Padahal dekat rumah bekas mentuanya itu dah ada pembantu, tapi dia tetap rasa tak selesa nak tinggalkan meja makan begitu saja.
Raihan pura-pura tak dengar soalan Amzar. Sebab usai saja menolong, Raihan akan terus pulang. Jadi, tak guna jika dia biarkan emosinya terpancing dengan pertanyaan Amzar. Dah cukup dengan apa yang berlaku di meja makan, jadi dia tak nak timbulkan keributan lain pula di dapur.
“Mungkin you boleh datang ke rumah ni bila-bila masa yang you nak, tapi hanya sebagai tetamu. Itulah kedudukan you sekarang. Do not cross the boundary!” gertak Amzar separuh berbisik bila Raihan lalu di depannya.
‘Yes, I know.’ Raihan hanya mampu tersenyum kelat.
==========
Blurb untuk Bab 1 - Bab 10
Berminat nak baca kisah mereka selanjutnya? ??
Boleh wasap saya di wasap.my//kytRM13 untuk grab Harga Promosi. Ada 30++ naskah lagi, cepat2 ??
Share this novel