Bab 2

Romance Series 19377

"I REALLY hope that we don't see each other again in the future, my a**.” Amzar menuturkan semula kata-kata terakhir Raihan padanya, tapi dalam nada menganjing.

"Agaknya dia lupa kalau ofis dia ada kat depan mata aku ni je," bebel Amzar dengan penuh rasa tak puas hati. Matanya pula asyik merenung tajam ke arah ofis Raihan yang terletak betul-betul berhadapan dengan ofis miliknya.

Sedih, kan?

Namun apa yang lagi menyedihkan, bila partition yang memisahkan ruangan mereka adalah jenis tempered glass di mana bahagian dalamnya boleh lihat apa saja yang berlaku di luar. Jelas, terang dan nyata. Tak ada halangan langsung. Jadi nak tak nak, memang Amzar kena tengok juga muka Raihan. Malah, setiap gerak-geri wanita itu sentiasa berada di bawah pantauannya. Macam mana Amzar tak stress?

Sejak kebelakangan ini, bila Amzar ada peluang untuk meeting kat luar atau site inspection, memang dia akan sengaja berlama-lama di sana. Tak bergegas nak balik ke ofis sebab tahu kalau dia balik awal sekali pun, masih muka Raihan juga yang dia kena hadap. Lebih-lebih lagi bila salah satu projek di bawah seliaan Raihan telah selesai, jadi makin banyaklah masa wanita itu bakal dihabiskan di pejabat.

Amzar mengaku yang dia bukan seorang bos yang baik, tapi dia juga taklah kejam sangat. Namun sejak akhir-akhir ini atau lebih tepat, sejak hubungannya dengan Raihan bermasalah, Amzar mula jadi bossy dan cerewet. Serba-serbi dia akan rasa tak kena, tak kisah pasal kerja atau hal-hal yang langsung tak ada kaitan dengannya. Salah sikit saja pun dah boleh buat Amzar naik angin satu badan. Selalunya yang jadi mangsa kena tempias angin tak baik Amzar tu, tak lain dan tak bukan, adalah setiausahanya sendiri iaitu Jimin.

Banyak jasa Jimin. Kerana selain dari buat kerja-kerja yang berkaitan dengan jawatannya, Jimin juga terpaksa buat ‘kerja lebih’ untuk Amzar. Kalau dia nak senarai satu-satu, memang panjang. Takut tak cukup pula nak tulis semuanya dalam satu helaian kertas bersaiz A1. Tapi, tak apa. Jimin akan cerita setakat mana yang boleh.

Jadi sejak akhir-akhir ini, tugas Jimin yang paling ketara ialah apabila dia terpaksa jadi tempat untuk Amzar lempiaskan perasaan amarahnya. Dulu memang Amzar garang, tapi dia bukan jenis yang panas baran juga sampai boleh mengamuk sakan dekat ofis. Tapi sekarang, entahlah. Bila setiap kali Amzar marah-marah, memang dialah yang terpaksa menanggung akibatnya. Sampai ke satu tahap, Jimin dah redha dengan nasib yang dia hadapi itu.

Tapi jika disuruh untuk menilai Amzar dari segi mutu kerja, Jimin tak ada benda nak komplen. Sebab Amzar memang seorang bos yang cukup berkaliber, tegas dan juga bertanggungjawab. Kemampuan Amzar untuk menggalas jawatan kedua tertinggi di dalam syarikat itu pun tak boleh nak dipertikai lagi kerana orang dah nampak hasil kerjanya. Mereka tak akan berani kata yang Amzar dapat jawatannya itu hanya kerana dia anak seorang MD. Urgh, sorry…!

Jadi, apa yang Jimin nak tegaskan dekat sini adalah Amzar betul-betul layak untuk jadi seorang ketua. Cuma bila tang Raihan saja, bosnya itu kerap hilang pertimbangan.

Contoh, macam sekarang…

"Jimin, kau pergi berdiri kat situ. Tutup perempuan tu dari pandangan aku. Sakit pulak mata aku ni bila asyik kena tengok muka dia je."

Ternganga sekejap mulut Jimin. Tak percaya dia yang bosnya boleh keluarkan arahan sedemikian. Terlalu absurd dan childish, menurutnya. Tapi disebabkan Jimin adalah seorang pekerja yang baik, cemerlang dan juga berdedikasi dalam menjalankan apa jua tugas, maka dia turutkan sajalah perintah dari bosnya itu tanpa ‘eh’ dan tanpa ‘uh’!

Namun, selang beberapa minit kemudian...

"Jimin,” panggil Amzar. Kemudian, dia gerakkan tangannya sedikit ke kiri tanpa bersuara. Jadi, maksudnya apa ya, tuan tuan dan puan puan? Maksudnya, dia nak suruh Jimin ikut ke mana saja arah tangannya itu pergi. Sebentar kemudian, disuruhnya pula Jimin ke kanan dan benda itu berterusan untuk beberapa kali. Kalau boleh setiap kali Raihan bergerak, maka setiap kali itu jugalah Amzar nak Jimin pun bergerak sama. Tiba-tiba Jimin rasa yang dia ni macam bola, yang boleh Amzar tendang ke sana ke mari.

‘Itulah, siapa suruh yang dulu gatal sangat pergi mengorat pekerja sendiri? Sekarang bila dah bergaduh, habis susah segala orang!’ rungutnya dalam hati.

Apa-apa pun, Jimin masih manusia biasa, yang punya hati dan juga perasaan. Bila asyik disuruh untuk buat sesuatu tugas yang tak masuk akal seperti ini, jadi dah tentulah akan terlepas jua keluhan dan rungutan. Tapi semua itu, Jimin pendamkan saja dalam hati. Tak berani dia nak bagitahu depan Amzar sebab takut silap-silap haribulan, kepalanya pula yang kena pancung. Nauzubillah.

Dah lama Jimin kerja dengan Amzar, bukan baru sehari dua. Jadi, dia tahu macam mana perjalanan kisah Amzar dan Raihan. Bukan Jimin yang kepoh nak ambil tahu, tapi sebab dia pun terlibat sama. Ya, sejak hari pertama Amzar jatuh cinta dengan Raihan lagi, dia telah dikerahkan untuk buat itu ini. Semata-mata nak tackle Raihan, sanggup Amzar kejutkan dia dari tidur seawal pukul 3 pagi. Sebabnya nak suruh Jimin siapkan senarai restoran terbaik untuk dia bawa Raihan ke candle light dinner. Kemudian, dia suruh pula Jimin hantar e-mail padanya sebelum Subuh.

Reaksi Jimin ketika itu be like, what the...?

Memang nak marah jugalah Jimin malam tu, tapi dia sedar statusnya dekat mana. Dia hanya seorang pekerja yang makan gaji, jadi mana boleh lawan cakap taukeh.

Sebagai seorang insan yang berhati nurani juga, Jimin cuba fahamkan posisi Amzar yang katanya tak pernah jatuh cinta dengan mana-mana perempuan sebelum ini. Jadi, dia fikir apa salahnya kalau dia buat amal jariah sikit. Siapa tahu dengan tolong Amzar, bosnya itu akan berjaya juga pikat Raihan suatu hari nanti. Ketika itu, Jimin tak ada pilihan, selain dari bersikap optimistik dan juga berfikiran jauh.

Kalau Amzar dan Raihan bercinta, maka dah tentulah lelaki itu akan bahagia dan siapa tahu, kut-kut Amzar akan bermurah hati pula nak bagi bonus padanya lepas ni sebab dah banyak berjasa. Berbekalkan semangat dan angan-angan seperti itulah, maka Jimin gagahkan juga dirinya untuk keluar dari selimut tebal dan usung iPad ke ruang tamu. Bersedia untuk buat OT di kala orang lain masih lagi lena diulit mimpi.

Sebenarnya banyak lagi cerita lain, tapi Jimin malas nak ungkit. Sebab kalau Jimin cakap lebih-lebih, takut nanti Amzar kata dia tak ikhlas dan berkira pula. Jadi begitulah rutin kerja Jimin, dari hari ke hari, bulan ke bulan dan sehinggalah akhirnya, impian Amzar menjadi kenyataan. Dia dengan Raihan bercinta juga, tapi tak lama. Mereka hanya sempat bercinta selama beberapa bulan saja dan kemudian, Amzar terus ajak Raihan kahwin.

Jimin masih ingat lagi, dia adalah antara orang yang gembira sebaik saja Amzar umumkan yang dia akan berkahwin dengan Raihan. Sebab Jimin fikir bebannya telah selesai. Memandangkan Amzar dah bersatu dengan pilihan hatinya, maka tak ada apa lagi benda yang boleh dia tolong.

Jimin boleh tumpukan semula perhatiannya pada kerja-kerja di pejabat. Dia boleh datang kerja tepat pukul 8 pagi dan balik pukul 5 petang. Pada belah malam pula, dia boleh keluar lepak dengan member tanpa risau yang Amzar akan tiba-tiba telefon dan menyuruhnya untuk buat OT. Maksud OT di sini, ialah tolong Amzar cari jalan untuk pikat Raihan.

Jimin ingatkan panas ini akan berlarutan hingga ke petang, namun tiba-tiba turun pula hujan di tengah hari. Tak ada siapa sangka yang perkahwinan Amzar dan Raihan hanya mampu bertahan selama setahun saja. Jimin sendiri pun terkejut. Memang dia tahu yang rumah tangga Amzar dan Raihan sedang bergolak, tapi dia tak sangka yang akhirnya jalan penceraian juga yang dipilih oleh mereka.

"Jimin, aku nak tanya. Pada perkiraan kaulah, boleh tak kita pindahkan perempuan tu ke cawangan lain?"

Berkerut dahi Jimin. "Maksud bos, ke Pulau Pinang?"

Amzar segera mengangguk. Memang sekarang belum ada cawangan lain lagi yang bernaung di bawah syarikat AR Constructions Sdn. Bhd., kecuali cawangan di Pulau Pinang yang lebih fokus pada kerja-kerja civil.

"Mungkin bos lupa kalau Puan Raihan… eh, silap!"

Jimin berdecit halus, boleh pula dia tersasul dalam keadaan macam ni. Sekarang bosnya dah bagi tatapan membunuh, seperti dia dah buat kesalahan yang besar saja tadi. Lepas ini, Jimin kena lebih berhati-hati. Dia kena cepat biasakan semula dirinya untuk panggil Raihan dengan status Cik di depan kalau tak nak dimarahi oleh Amzar.

“Err… bos lupa ke yang Cik Raihan sekarang tengah manage projek bangunan baru milik DBKL? Memandangkan projek tersebut tengah berjalan, jadi saya rasa susah kita nak gantikan tempat Cik Raihan dengan orang lain. Lagipun, saya tak rasa juga yang Dato’ Arshad akan setuju kerana Cik Raihan antara pekerja kepercayaan beliau di sini.”

Amzar mendengus geram. Bukannya dia tak tahu tentang fakta yang Jimin sebutkan itu. Tapi, jauh di sudut hatinya masih berharap akan ada satu keajaiban yang boleh buat Raihan lenyap terus dari hidupnya.

"Kalau macam tu, aku nak kau ubah ofis aku.”

Jimin tengok sekilas ofis Amzar yang banyak bermain dengan gabungan tiga warna basic iaitu hitam, kelabu dan juga putih. Design moden, dilengkapi dengan beberapa perabot dan juga sedikit aksesori seperti dua tiga lukisan mahal yang tergantung di dinding. Walaupun simple, tapi layout ofis Amzar dah cukup menarik pada pandangan matanya. Tak ada apa yang perlu diubah lagi, melainkan Amzar betul-betul rasa bosan dan mahukan suasana baru.

"Ubah? Maksud bos, nak renovate ke?" soal Jimin inginkan kepastian. Dia bukannya mahir sangat pasal interior design. Kalau setakat nak touch up sikit-sikit tu, bolehlah. Tapi kalau nak fully renovate, rasanya better Amzar upah saja designer yang lebih berkemahiran dalam bidang ini. Barulah boleh dapat hasil yang memuaskan hati.

“Tskk…! Tak kisahlah kau nak renovate ke, nak alihkan perabot ke atau nak ubah kedudukan dinding sekali pun! Janji esok aku dah tak perlu tengok mukanya lagi!” Tegas suara Amzar mengarah. Menyebabkan sepasang mata Jimin terus membulat. ‘Esok’ dia bagi dateline? Kejam betul, perangai sebijik macam Hitler! Terpaksalah Jimin perah otaknya seharian untuk berfikir.

Lalu untuk dipendekkan cerita, pada keesokan harinya...

"Jimin! Aku bayar gaji kau mahal-mahal, tapi setakat ni aje ke daya kemampuan kau berfikir?! Macam budak tadika! Aku rasa budak tadika pun lagi cerdik dari kau!!" bentak Amzar geram. Matanya dah menyorot tajam ke arah Jimin, seperti mengira detik berapa lama lagi lelaki itu boleh berdiri dengan dua kakinya seperti manusia normal.

"Kenapa bos?" tanya Jimin tanpa rasa bersalah.

"Kau boleh lagi tanya aku kenapa?! Sekarang aku nak tanya kau balik. Sebelum ini kau pernah ke nampak meja seorang Executive Director menghadap dinding? Atau kau memang nak aku bercakap sorang-sorang dengan batu?!"

Terangkat naik kening Jimin. Sebenarnya siapa yang tak cerdik, dia ke Amzar? “Aik, semalam bukan bos sendiri ke yang cakap dah tak nak tengok muka Cik Raihan. Jadi, apa kata sekarang bos tengok dinding ni pulak. Mungkin bos akan rasa lebih tenang lepas ni.”

Tak tahulah jawapan Jimin itu betul-betul polos atau dia memang sengaja nak sindir Amzar. Namun yang pasti, rahang Amzar dah mengeras. Dadanya pula dah turun naik turun naik, menandakan perasaan amarahnya sudah berada di paras tertinggi. Tapi, Amzar masih lagi cuba untuk bersabar kerana tak nak marahnya meletus di pagi hari. Apalagi hanya kerana seketul Jimin.

"Kenapa? Bos tak suka ke?" tanya Jimin bagai mahu menjemput nahas. Padahal, bukan dia tak nampak muka Amzar yang merah menyala sekarang. Seperti gunung berapi yang hanya tunggu masa saja lagi untuk meletus.

"Jimin, kau berambus sekarang dari ofis aku! Dan jangan kau berani datang tunjuk muka kat depan aku selagi mana aku tak panggil, faham!!”

==========

Blurb untuk Bab 1 - Bab 10
Berminat nak baca kisah mereka selanjutnya? ??
Boleh wasap saya di 011 2076 4122

Harga Promosi untuk 100 Pembaca Terawal : RM 13
Harga Asal : RM 15

Fac Page : Novelis Ashe Nini

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience