LEPAS HABIS waktu kerja, Raihan tak singgah kat mana-mana dan terus pulang ke rumah. Disebabkan Raihan pun tak bercadang nak masak, maka tenang saja dia memandu keretanya di atas jalan raya. Lagipun, Raihan memang jenis yang suka bawa kereta dalam kelajuan sederhana dan dalam keadaan berhemah. Jika nampak ada kereta yang laju yang cuba memotong, dia akan bagi saja laluan. Lebih baik macam tu, daripada membahayakan nyawa.
Ketika tengah tunggu lampu hijau untuk bertukar, sempat lagi otak Raihan menerawang. Fikirkan menu untuk makan malamnya nanti. Ada dua pilihan, sama ada dia nak pesan makanan dari luar atau panaskan saja lauk yang tak habis yang dibelinya kat kedai makan semalam.
Jadi, beginilah rutin harian Raihan sejak kembali hidup menyendiri. Nak masak pun, Raihan terpaksa fikir dua kali. Kerana rasa tak berbaloi pula nak bersilat di dapur untuk siapkan satu dua jenis lauk sebab yang makan pun cuma dia seorang saja. Bukan berdua lagi seperti dulu. Jadi sekarang ini, Raihan lebih banyak beli makanan di luar. Kalau tak habis, dia akan simpan dulu kat dalam peti ais dan panaskan semula bila nak makan pada keesokan harinya.
Lagipun, Raihan bukan jenis yang cerewet sebab dia memang akan makan apa saja yang terhidang kat atas meja. Tak macam Amzar. Masa mereka hidup berdua dulu, Amzar selalu minta Raihan yang masakkan. Dia tak sudi nak makan makanan yang perempuan itu beli di luar, lagi-lagi dari kedai makan kat tepi jalan. Macam-macam alasan. Katanya, tak hygeine lah, lauk tak cukup masak lah. Kalau bukan makanan yang dimasak sendiri di rumah, perut Amzar hanya boleh terima makanan dari restoran mahal atau pun hotel-hotel 5 bintang yang biasa lelaki itu kunjungi.
Raihan geleng kepala. Tak suka bila dirinya teringat lagi tentang bekas suaminya itu. Dah cukup dia bernostalgia di depan Gia ketika mereka tak sengaja bercakap mengenai Amzar petang tadi. Dia tak mahu rosakkan lagi suasana hatinya dengan terus ingat pasal lelaki itu.
Namun apa yang berlaku seterusnya, sangat bertentangan dengan harapan Raihan. Kerana sebaik saja tiba di halaman rumah, dia terus nampak kereta Audi hitam milik Amzar yang tersadai di tepi jalan. Satu pemandangan yang luar biasa kerana sejak Amzar keluar setelah mereka bercerai, lelaki itu memang tak pernah datang semula. Jadi, kenapa hari itu Amzar tiba-tiba muncul? Raihan yang mula rasa tak sedap hati pun terus meluru masuk.
"Am, you buat apa ni?!” soal Raihan terkejut. Macam mana dia tak terkejut bila tengok Amzar ada di dalam bilik tidur utama dan lelaki itu tengah sibuk keluarkan satu-persatu barang yang ada di rak. Seperti sedang mencari sesuatu. Kalau Raihan tak kenal sosok Amzar tadi, mesti dia dah ingat perompak yang tengah buat kerjanya di siang hari.
Kegiatan Amzar terhenti seketika, lalu dia menoleh ke arah Raihan. Tapi sekejap saja, sebelum dia kembalikan semula fokusnya kepada kegiatannya tadi. Wajahnya kelihatan biasa, langsung tak nampak rasa bersalah sikit pun sebab dah ‘menceroboh’ masuk ke dalam rumah itu.
Raihan ketap bibirnya geram bila tengok reaksi selamba Amzar. Padahal soalannya tadi taklah susah pun. Dia cuma tanya apa yang Amzar buat dekat rumah itu, tapi bekas suaminya macam sengaja nak cari pasal. Sengaja nak buat keadaan jadi panas dengan sikapnya yang acuh tak acuh itu. Raihan yang masih berdiri di depan pintu, mula bercekak pinggang sambil perhatikan setiap pergerakan Amzar.
“I tanya you buat apa kat sini, dengar ke tak?”
Namun, Amzar masih juga diam.
“Ya Allah, Am! Kenapa susah sangat you nak jawab soalan I ni. I tanya baik-baik, kan?”
“Enough, Raihan! Rumah ni rumah I, so I berhak datang ke sini pada bila-bila masa je I nak! You tak boleh halang..!” Suara Amzar dah meninggi, manakala matanya pula dah terjegil luas ke arah Raihan. Mungkin nak marah sebab Raihan asyik mengasaknya dengan soalan seperti tadi.
Terus terdiam Raihan. Tak boleh nak bantah sebab memang betul apa yang dikatakan oleh Amzar. Rumah yang didiaminya ketika itu adalah hak milik Amzar dan dia pula hanya menumpang saja. Tapi, itu pun bukan atas kehendak Raihan juga. Ia adalah arahan dari pihak makhamah. Dia terpaksa tinggal di situ sepanjang tempoh iddah berjalan, sementara Amzar pula kena keluar untuk mengelak dari terjadinya perkara yang bukan-bukan. Sebab mengikut hukum, dia dan Amzar bukan lagi suami isteri.
“I faham, tapi still kita kena ikut peraturannya. Masih ingat lagi, kan? You tak boleh nak sesuka hati datang selagi I masih tinggal dekat sini.” Raihan cuba belajar dari pengalaman sebelum ini. Di mana satu kesepakatan tak pernah dapat dicapai bila dia dan Amzar sama-sama naik angin. Jadi, Raihan cuba untuk bercakap baik-baik dengan bekas suaminya supaya keadaan tak jadi bertambah tegang.
“You don’t have to remind me about the rule because I still can remember it clearly! Lagipun, I takkan suka-suka datang ke sini kalau memang tak ada benda penting yang I kena cari. Faham?!” Tidak seperti Raihan yang cuba sedikit untuk bertoleransi, tapi Amzar masih dengan barannya.
Raihan mengeluh panjang. Bertekak dengan Amzar hanya buat perabis air liurnya saja. Tapi, Raihan nak protes lebih-lebih pun tak boleh sebab ini rumah Amzar. Jadi, dah tentulah barang-barang lelaki itu ada di sana. Masa nak keluar dari rumah hari itu pun, Amzar cuma bawa 1 luggage saja bersamanya. Jadi, tak peliklah jika ada barang yang diperlukannya ada di rumah ini. Termasuk dengan beberapa dokumen penting yang selalu Amzar simpan di rak yang sememangnya menjadi tumpuan lelaki itu sejak tadi.
“Tapi, I masih kena jaga privasi I jugak. Mungkin untuk sementara waktu ini, I akan tukar dulu security password supaya you tak boleh nak masuk ke rumah ni dengan sesuka hati. Kalau you ada nak cari barang ke apa, just maklum dekat I dulu. So that, I can prepare before you come here.”
“Tak payah. Kan I dah cakap, I sendiri pun tak ingin nak datang kalau tak ada keperluan mendesak. Today is an exception. Tanpa arahan dari you pun, I akan pastikan untuk tidak jejakkan lagi ke rumah ini. Sebab I betul-betul dah muak tengok muka you!” balas Amzar tanpa ada sekelumit risau sekiranya kata-katanya tadi boleh mengguris hati dan perasaan bekas isterinya.
“Sebenarnya you tengah cari apa, Am?” Raihan cuba bersikap seperti biasa. Meskipun keadaan hatinya memang tidak berada dalam keadaan baik-baik saja, tapi dia perlu pandai kawal perasaannya. Sungguh, Raihan tak nak terlihat terlalu rapuh di depan lelaki itu. “Kalau you cakap you cari apa, mungkin I boleh tolong.”
“Tolong jangan menyemak dekat sini, boleh tak?! I tengah serabut sekarang ni. Jadi, tolong jangan serabutkan lagi fikiran I dengan kehadiran you!” Bukannya nak terima pertolongan dari Raihan, malah dengan sombongnya Amzar mengusir Raihan pergi dari situ.
"Okay, fine! Suit yourself...!" Raihan dah malas nak peduli pasal Amzar lagi. Ingat dia nak tolong sangat ke? Dia cuma rimas bila tengok Amzar yang asyik sepahkan barang dengan sesuka hati. Siapa pula yang akan kemas nanti, kalau bukan dia? Hmphh…!
Sudahnya Raihan buat keputusan untuk keluar saja dari bilik dan turun ke tingkat bawah. Kemudian, dia pergi ke ruang tamu, duduk di sofa dan buka TV. Sambil tunggu Amzar selesaikan ‘kerja’nya di atas, lebih baik dia layan cerita. Ada juga faedahnya.
Tapi, boleh tahan lama juga Amzar ambil masa sampai Raihan tepaksa menguap beberapa kali kerana rasa kantuk yang menyerang. Sepatutnya lepas balik kerja tadi, dia dah boleh terus mandi dan kemudian, rehat sekejap sambil tunggu waktu Maghrib. Namun disebabkan Amzar yang tiba-tiba saja datang ke rumah tanpa diundang, maka segala jadualnya habis tertunda.
Bunyi derap kaki Amzar yang tengah menuruni anak tangga buat mata Raihan jadi segar semula. Dia terus perhatikan setiap langkah lelaki itu hingga ke anak tangga yang terakhir. Namun ketika Raihan ingat yang Amzar akan terus ke arah pintu dan keluar, tapi sangkaannya meleset sama sekali. Kerana bukannya pergi, alih-alih bekas suaminya itu datang dan berhenti tepat di depan Raihan yang sedang berehat di atas sofa.
‘Salah apa pula yang aku buat kali ini?’ gerutu hati Raihan bila tengok muka Amzar yang tegang semacam. Padahal dia dah tak buat apa-apa pun. Dia dah tak ganggu Amzar dan cuma duduk diam saja di ruang tamu sambil tengok TV. Jadi, rasanya cukup tak adil jika Amzar masih lagi nak memarahi Raihan untuk perkara yang dia tak buat.
“Kenapa benda ni masih ada kat dalam bilik?”
Mata Raihan langsung tertuju pada bingkai gambar yang sedang dipegang oleh Amzar, iaitu gambar mereka berdua ketika bersanding di atas pelamin setahun yang lalu.
"Kenapa tak buang?" tanya Amzar lagi. Kali ini, lantunan suaranya agak keras menandakan ada sesuatu yang buat dia tak puas hati.
“Kenapa? Ia satu masalah ke pada you?” soal Raihan.
“Ya, masalah! Sebab antara kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi, Raihan – jadi I tak nak you buat perkara yang merepek macam ni. I tak suka you masih simpan lagi semua barang yang berkaitan dengan kisah lalu kita!” Marah betul Amzar, sampai boleh terlihat jelas urat-urat tegang yang muncul di wajahnya.
“Astaghfirullah, Am!” Raihan mengucap panjang. “Ia hanya sekadar gambar! Kenapa you nak marah sampai macam ni sekali? Lagipun, I tak buang bukan sebab I sayang ke apa, tapi cuma I tak sempat. I sibuk dengan kerja, I sibuk dengan my own life. Banyak benda yang I nak fokus sampai I tak ada masa nak uruskan hal remeh-temeh macam ni!”
Amzar terus ketawa kuat tapi berbaur sinis, seolah-olah mahu memperli Raihan. “Maaf, I lupa yang hidup you adalah segala-galanya. You dah terbiasa fikir pasal diri you saja, jadi you tak peduli pasal orang lain dan you tak peduli pun apa perasaan orang di sebalik semua tindakan you. Malah, you sama sekali tak kisah jika mereka terluka. Asalkan hidup you, Nur Raihan – baik-baik saja. Betul tak?”
“Apa yang you cakap ni?” soal Raihan tak faham.
“Tak payah buat-buat tak fahamlah. You lagi tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam rumah tangga kita.”
Muka Raihan sedikit berubah. Kenapa dari kata-kata Amzar tadi, dia dapat rasa yang lelaki itu cuba nak letakkan sepenuhnya kesalahan di atas bahunya. Seolah-olah dialah yang jadi punca kenapa rumah tangga mereka hancur. Raihan tak tahu apa yang buatkan Amzar boleh berkata begitu, namun yang pasti, ia adalah satu tuduhan yang tak berasas.
Kemudian, Raihan tengok Amzar yang dah pun berjalan ke arah pintu. Mungkin nak balik semula ke rumahnya lepas dah berjaya kucar-kacirkan perasaan dan ketenangan yang sepatutnya Raihan kecapi sejurus saja dia pulang ke rumah.
“Am, you nak bawak pergi mana bingkai gambar tu?!”
Amzar pusing semula dan matanya terus tajam menikam mata Raihan. Ada amarah yang membuak-buak di sebalik renungan itu. “Since you kata tak ada masa nak uruskan hal remeh-temeh macam ni, jadi biar I sendiri yang uruskan. You tahu apa yang I nak buat? I nak buang.”
Jadi, masih pasal isu gambar? Raihan ketap bibirnya geram. Dia tak tahu kenapa Amzar begitu tak puas hati dengan sekeping gambar berkenaan. “Baiklah. Kalau rasa gambar tu mengganggu sangat hidup you, pergilah buang. You pergi buang jauh-jauh. Tak pun kalau rasa nak lagi puas hati, you bakar je terus sampai jadi abu. Tak payah tinggal satu pun cebisan kenangan pasal kita!”
“Lagi bagus cadangan you tu! I akan bakar dan buang semuanya sebab I tak nak ada satu benda pun yang boleh mengingatkan I tentang masa lalu kita. Because it’s really a nightmare!” Kemudian, Amzar terus pergi tinggalkan Raihan tanpa berpaling lagi. Sama seperti dia pilih untuk pergi dari kehidupan Raihan.
==========
Blurb untuk Bab 1 - Bab 10
Berminat nak baca kisah lengkap mereka? ??
Boleh wasap saya di 011 2076 4122
Harga Asal : RM 15
Harga Promosi untuk 100 pembaca terawal : RM 13
Follow FB Page : Novelis Ashe Nini
Share this novel