BAB 9

Romance Completed 1040

Suaminya membelai ubun-ubun milik Sylvia . Simpati terhadap Saerah
melonjak tinggi. Ketara sungguh arus perubahan yang bermukim di jasad
Saerah sekarang. Mereka seperti janggal. Tidak semesra dahulu sewaktu
mereka berteman. Sudah lama juga Saerah tidak mengulumkan senyuman
panjang sehingga ke telinga. Ketawa girang hingga menggapai atap bumbung.

“Kaki Sylvia dah sembilan tahun lumpuh. Ibu tetap tak boleh terima
kenyataan. Bukannya salah Dayah, Sylvia cuba selamatkan dia dari
kemalangan. Tak sangka melarat sampai ke hari ni marah ibu pada Dayah.”

Shazriel mendekatkan wajahnya. Satu ciuman di bibir dihadiahkan buat
Sylvia . Isterinya tergelak kecil dengan kelakuan spontan Shazriel. Bahu
suaminya ditumbuk manja.

“Abang ni…” Sylvia menyembamkan mukanya di dada si suami. Lelaki itu
mencuit hidung mancung Sylvia . Mereka bergurau-senda, bergelak ketawa…

Sementara Saerah di sebalik jendela memasang telinga. Ketika dia
melihat Shazriel mengucup adik kembarnya, Saerah cemburu berjuta-juta.
Namun lekas dia membuang rasa sakit itu sejauhnya...Apakah lelaki itu
tidak sedar bahawa dirinya wujud di situ? Memerhatikan mereka sahaja,
jiwanya setengah mati tanpa lelah tak henti-henti. Saerah menarik nafas
dalam. Tiada siapa dapat menduga bahawa dia sedang cemburu. Begitu
cemburu beribu-ribu sehingga tidak terhitung luka yang menusuk kalbu.

Saerah mengemaskan penampilannya. Ingin meminta diri. Ingin mengucapkan
selamat tinggal buat si kembar.

“Assalamualaikum…” Saerah berdiri di pintu balkoni. Dua pasangan mesra
itu tersenyum. Shazriel lekas meletakkan semula isterinya di kerusi
roda. Sylvia mendongak. Ada lapisan di dahinya. Mengapa Saerah
bertudung? Mengapa Saerah berpakaian kemas?

“Dayah…”

“Err, aku nak balik kampung dah ni. Aku balik dengan Nek Su. Teksi pun
dah tunggu kat bawah. Bas gerak pukul lapan.”

“Kenapa?” soal Sylvia ingin tahu.

Saerah mengetap bibir.

“Isy kau ni…Dah kahwin pun nak bermanja-manja.” Saerah mendakap tubuh
kembarnya seakan enggan melepaskan. “Aku sayang kau. Ingat, aku kembar
kau. Saerah ni kakak kau dunia akhirat. Dan Sylvia , adik aku dunia
akhirat. Aku akan sentiasa doakan kau. Semoga Nur Sylvia menjadi seorang
isteri solehah kepada Mohd Shazriel Ahmad. Okey?”

Sylvia memejam mata. Lama mereka berpelukan.

“Berapa lama kau kat kampung?”

“Entah. Lepas kampung, ada satu tempat lagi yang aku wajib pergi. Tak
tahu bila aku akan balik. Mungkin seratus tahun akan datang, aku tetap
belum balik waktu tu.”

“Eiii…merepek! Aku akan tunggu kau.”

“Sylvia , janji dengan aku ya…Bahagiakan ibu selalu. Jangan jadi macam aku
yang suka sakitkan hati dia.” Saerah meleraikan pelukan. Pandangannya
dikalih pada adik iparnya.

“Shaz, aku pergi dulu. Jaga Sylvia , jaga keluarga aku sepanjang aku tak
ada nanti…”

“Insya-Allah Dayah…” Shazriel menolak kerusi beroda Sylvia mengikut
Saerah yang sudah pun mengangkat bagasi pakaian. Turun ke bawah,
menghantar Saerah dan Nek Su ke muka pintu. Saerah menghulurkan
tangannya kepada Encik Zamri, lalu dicium. Kemudian Puan Salwa …Ibunya
hanya hulur hujung jari sahaja. Itu pun tak mahu tangannya dijamah.
Saerah pasrah. Lama dia merenung raut Puan Salwa ketika itu.

“Ibu, Dayah nak peluk ibu…”

“Haih, balik kampung pun nak berpeluk-peluk? Tak maulah.”

“Sekali ni aje, bu. Dayah nak peluk ibu untuk kali terakhir…”

“Sal , anak kita nak peluk awak pun tak boleh ke? Awak ni bertolak
ansurlah sikit!” tegas Encik Zamri bengang akan sikap isterinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience