BAB 4

Romance Completed 1040

Saerah laju menggeleng. Tubuhnya setia membelakangkan Shazriel.
Berusaha memujuk diri agar beramah. Jangan tayangkan emosinya yang sakit
tidak terkata. Fikirnya, andai layanan si ibu mencemburi jiwanya, tiada
lagi cemburu untuk kali kedua. Ternyata, lelaki yang dicintai sudah
terpaut hati terhadap adik kembarnya.

“Isy, ke situ pulak awak ni. Saya rasa tak manislah kita berduaan kat
sini. Awakkan bakal adik ipar saya. Nanti apa pula kata Sylvia …Kata ibu
dan mak awak. Silap haribulan boleh pula saya ni dituduh perampas.”
Sejurus Saerah meletuskan tawa. Melindungkan gundah di jiwa. Shazriel
menekur tanah. Bulan dan bintang nun di singgahsana berkelipan
memancarkan sinarnya.

“Maafkan saya, Dayah.”

Saerah mengesat airmatanya yang gugur ke pipi. Ya Allah! Sebaknya dada.

“Tak perlu minta maaf, Shaz. Apa yang awak buat ni semua betul.
Mengambil Sylvia sebagai isteri adalah pilihan yang paling tepat. Awak
bahagiakanlah dia. Kongsikan segala-galanya dengannya. Jangan awak
kecewakan hati dia yang dah tulus sayangkan awak.”

Shazriel mengetap bibir. Perubahan hatinya bukan juga silapnya. Ia suatu
peralihan yang sulit bagi dia terjemahkan di atas lidahnya. Bukan dia
yang meminta, bukan dia sengajakan. Saerah dan Sylvia mempunyai daya
tarikan yang tersendiri. Si kembar yang mempunyai jiwa yang berbeza.

“Saya tahu perbuatan saya sakitkan hati awak. Saya lemparkan sebuah
harapan kat awak. Dan saya tahu, dalam bersungguh-sungguh awak memikat
hati saya, saya pula berpaling tadah terhadap adik kembar awak. Maaf…”

Sungguh! Perkara yang memberi nanah dalam benak jika si lelaki pujaan
hati tidak sudi menyintai seorang gadis itu malah dia lebih menyintai
adik kandung kepada si perempuan yang telah lama memendam perasaan
sayang terhadap yang dipuja. Tahukah Shazriel itu teramatlah sakit?

“Apa yang nak dihairankan? Semua orang sayangkan Sylvia . Bahkan Sylvia
adalah anak kesayangan ibu dan abah. Dia lumpuh, kerana mahu selamatkan
saya. Tapi saya yang dipersalahkan. Sembilan tahun ibu tak hadap nak
tengok muka saya lagi. Saya ni pembawa sial. Moga-moga dengan adanya
awak di sisi Sylvia nanti, dia akan dapat semangat baru. Kehadiran awak
banyak berikan penyeri dalam keluarga saya. Mujur orang yang awak sayang
tu bukan Saerah . Andai Saerah yang dipilih, bersamaan awak akan pilih
jalan malang.”

“Dayah, nasib seseorang bukan terletak di tangan manusia. Kita akan
hidup sebagai satu keluarga. Saya…”

“Kenapa awak taburkan harapan pada saya?” Saerah mengelap cecair jernih
yang membasahi lekuk pipinya.

“Saya mengaku, semenjak kali pertama saya bertemu Sylvia , saya mula
jatuh cinta. Gunakan awak, untuk bantu saya dapatkan adik awak tu.”

Saerah tergamam. Saat dia begitu terpuruk dengan kisahnya yang dahulu,
Shazriel yang dianggap sahabat sejati hadir seakan ada kesejukan dalam
dirinya. Ketika itu, Saerah berasa nyaman. Hanya deraian airmata
pengisi kosong jiwanya. Haruskah dia gagal dan menyerah lagi?? Menyerah
sahaja pada yang sudah tidak mahukannya. Saerah menarik nafas. Salahkah
dia juga ingin dicintai? Disayangi jua dikasihi? Puan Salwa asyik
meminggirkannya dan mengutamakan Sylvia lebih dari dua benua dunia.
Melimpah-ruah kasih sayang Puan Salwa terhadap kembarnya yang seorang itu.

“Sekarang, apa yang awak rasa? Dah dapat kata sepakat dari keluarga
saya? Tahniah awak. Saya harap awak dapat jaga kembar saya
sebaik-baiknya. Sama ada waktu tu, saya masih ada atau pun tak.”

“Dayah, kita tetap kawan, kan?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience