BAB 1

Romance Completed 1040

Seperti selalu, Saerah akan menyisir rambut Sylvia si adik yang lumpuh
itu. Kerana kesilapannya yang lepas, dia nekad untuk tanggung
segala-galanya. Makan minum adiknya turut dijaga rapi. Walau kadang-kala
terasa jauh hati, namun dia tetap meminggirkan perasaan itu. Sylvia
cacat kerana perbuatannya. Sylvia ingin menyelamatkan dirinya daripada
dilanggar kereta. Penyudahnya, Sylvia yang menderita. Tak cukup pula
dengan itu, Saerah cuai melindungi adiknya. Gara-gara kecuaiannya, bahu
Sylvia melecur dek air panas yang tertumpah mengakibatkan kulit adiknya
menggelupas kasar.

Setiap hari, kerusi roda tempat Sylvia bergantung. Ibunya pula
menyalahkan Saerah seratus-peratus. Hanya si bapa tempat Saerah
mengadu kasih, di depan Allah SWT Saerah merintih pilu. Sikap
ketidakadil si ibu wujud semenjak Sylvia ditimpa musibah. Sylvia
ditatang bagaikan minyak yang penuh. Sebagai seorang kembar, mana
mungkin Saerah tiada perasaan cemburu.

“Dayah, kenapa ni?”

Saerah lekas menggeleng. Rambut lembut Sylvia masih disentuh melalukan
sikat di celahan anak rambut hitam arang adiknya. Sylvia berkerut lebat
apabila melihat reaksi Saerah tawar tidak semena-mena.

“Kau fikir apa Dayah? Masih rasa bersalah?” Sylvia menghela nafas.
“Sudahlah, dah takdir aku lumpuh. Aku yang nak selamatkan kau. Ibu je
yang susah nak faham. Sembilan tahun dah berlalu, Dayah.”

Si kakak tersenyum nipis. Berduaan bersama adik kembarnya di tepi kolam
ikan serba sedikit selesa untuk mereka meluangkan waktu di hujung
minggu. Saerah menyentuh bahu milik Sylvia . Adiknya sungguh menawan.
Orang lain sering membandingkan dirinya dengan Sylvia . Meski mereka
kembar, rupa Sylvia lebih mendapat pujian ramai teman-teman kolejnya.
Mejoriti sahabat-sahabat Saerah semakin akrab bersama Sylvia . Dirinya
jauh terpinggir melainkan Shazriel yang sentiasa di kala susah senangnya.

“Sylvia , kita berdua aje anak ibu. Ibu mengharapkan anak kembarnya ni
saling menjaga antara satu sama lain. Tapi aku pulak cederakan kau.
Kenapalah kau selamatkan aku dulu? Kan elok lebih baik aku aje yang
tanggung ni semua. Disebabkan aku, kaki kau tak berfungsi. Disebabkan
aku juga, hati ibu terluka.”

“Dayah, jangan ungkit hal lama. Kita tetap adik-beradik sampai
bila-bila. Aku tak nak kau menungkan hal ni lagi. Ya?” Tangannya
menggenggam jari jemari Saerah . Perempuan itu tersenyum senang. Saerah
merehatkan kepalanya di ribaan Sylvia . Ada airmata yang bergenang.
Sememangnya bersama Sylvia tidak semua perkara berdaya Saerah luahkan.
Tak! Hanya seperkara sahaja.

“Oh! Kat sini rupanya anak ibu. Penat ibu cari. Sylvia tak dengar ke ibu
panggil tadi?” Celah Puan Salwa yang baru muncul di situ. Wanita itu
nampaknya sedang membimbit beg kertas yang agak besar saiznya. Sylvia
membalas senyuman ibunya. Begitu juga Saerah . Serentak mereka berdua
menghulurkan tangan tetapi tangan Sylvia yang terlebih dahulu di sambut
oleh Puan Salwa . Saerah mengetap bibir. Encik Zamri mengusap kepala
kedua-dua kembarnya itu.

“Dayah, kenapa biarkan Sylvia kat luar ni? Hari dah nak hujan pun masih
nak berborak kat luar. Tak retilah nak bawa adik ni masuk dalam. Kang
demam, siapa yang susah?”

“Maaf, bu. Dayah tak perasan awan dah mendung…”

Sylvia mencapai pergelangan tangan si ibu. Dia tidak mahu Saerah kerap
dimarahi begitu.

“Ibu, Sylvia yang nak ambil angin kat sini. Apa salahnya sambil makan kat
atas jambatan ni, Sylvia bagi ikan makan sekali. Bolehkan, bu?”

“Iyalah awak ni. Dayah tahulah nak jaga Sylvia . Yang awak ni risau tak
bertempat tu, kenapa? Sal , Sal …” Encik Zamri mula menggeleng.

Puan Salwa mendakap bahu anaknya.

“Yalah-yalah. Ada-ada aje Sylvia ni...Ha, ibu dan abah tadi keluar pergi
shopping. Jom, kita tengok baju sama-sama.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience