BAB 4

Horror & Thriller Completed 354

Siang, Hari Kedua – Hutan Mayan

AWALpagi lagi jeritan Johanna membangkitkan semua orang. Semua tergesa-gesa keluar dari dalam khemah termasuklah Katrina.

Katrina yang baru terjaga dari tidurnya bingkas keluar dari khemah. Dia mencari gadis itu yang sedang ketakutan menuding jari. Membuntang matanya. Ada beberapa kayu tinggi memacak kepala babi singa dalam satu bulatan mengelilingi kawasan khemah mereka. Segala isi perut binatang itu mencemari sekitar khemah.

“Apa ni!” marah Ghazali.

Johanna sudah menangis ketakutan dipeluknya. Baunya sudah satu macam menerawang sekitar tempat itu. Rahmad pula sudah termuntah-muntah tidak mampu menahan diri. Profesor menekup mulut mundar-mandir.

Perasaannya sudah satu macam tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Ikutkan hati saat itu juga mereka kena berkemas dan balik! Dipapahnya gadis itu masuk ke dalam khemah dan memujuknya.

“Mungkin ada yang mahu mainkan kita. Nanti Abang Marjan tu cari tahu,” pujuknya kepada Johanna. Tiada cara lain mahu meredakan ketakutan Johanna.

“Tapi siapa? Niat kita baik untuk ke hutan ini bukan menceroboh.” Johanna menyeka air mata.

“Jangan fikir bukan-bukan. Tunggu di sini jangan keluar. Aku nak jumpa Prof dulu.”

Katrina keluar dari khemah itu. Dia segera mendapatkan Profesor Gumelar. Ditariknya lengan lelaki itu agak jauh dari mereka.

“Prof, sekarang terangkan apa yang terjadi?” Dia berpeluk tubuh sambil memasang wajah tegas.

“Aku juga tidak pasti. Mungkin ulah pemburu haram di sini. Kau tahukan, pemburu haram suka buat onar dan mencuri khazanah hutan ni. Babi singa haiwan hampir pupus itu dan banyak jenis kayu berharga juga. Apalagi dengan akar langka tu.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience