BAB 11

Horror & Thriller Completed 354

“Argghhh!” Zulaikha histeria melihat situasi itu. Suaranya membelah Hutan Mayan.

Tanpa membuang masa dia menyambar beg sandangnya dan berlari keluar dari hutan itu.

“Aku kena keluar dari sini. Aku tidak sanggup bermalam di hutan ini lagi.” Diseka air mata dan lelehan hingus dengan lengan bajunya.

Semakin dia meredah hutan itu semakin jauh entah ke mana halanya. Hanya pohon-pohon gergasi tumbuh meliar. Tiada satu bunyi haiwan pun kedengaran. Cahaya kembali suram. Dan dia tidak mahu tunggu lebih lama. Bisikan-bisikan angin Hutan Mayan mengekorinya..

Tiba-tiba, sampai ke satu tapak kelihatan ada satu batang pokok besar mirip pokok ara. Namun pokok ini lain daripada lain. Ada banyak akar-akar tumbuh bertindih setinggi enam kaki barulah batang pokok menjulang tinggi. Atas rimbunan akar itu mampu dipanjat sebelum mencapai batang pokok gergasi sebesar sepuluh pemeluk. Sangat besar!

“Inikan akar yang Prof kata tu?” Dan ketika dia mengelilingi pokok misteri itu membuntang matanya. Katrina menekup mulut. Matanya bergenang air mata. Satu panorama menggerunkan itu menjadi mata saksi kepalanya.

Ada banyak kepala-kepala manusia dalam jumlah tak terhitung digantung pada dahan-dahan pokok itu. Di antaranya ialah kepala Ghazali dan Rakmat. Sudah tentu kepala Johanna dan Profesor Gumelar juga ada. Kepala lain sudah kecut reput dan sebahagian menjadi tengkorak.

Meremang satu badannya bila matanya menangkap satu kewujudan pada batang pokok gergasi beringin itu seolah satu makhluk. Diamatinya lebih dekat dengan sepenuh perhatian barulah dia sedar itulah makhluk iblis yang membunuh dan meratah jantung timnya. Makhluk yang mempunyai sepasang kaki tergantung pada dahan. Mempunyai sayap bak kelalawar itu dan separuh badan adalah manusia sedang tidur. Sayapnya mengelubung satu badan menutup tubuh termasuk separuh wajahnya.

Saat itulah dia berasa bagai malaikat maut di hadapan mata. Tersilap langkah pasti makhluk itu akan terjaga. Rasanya mahu bernafas pun dihirup hembus perlahan. Langkahnya bagaikan pencuri. Bingkas dia menyembunyikan diri di dalam lubang akar yang boleh membolos masuk ke dalam. Mujur tubuh badannya kecil molek. Beg sandang disembunyikan bawah rimbunan dedaun. Dari sebalik akar-akar pokok itu dia berdoa dan zikir memohon kepada Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience