Completed
4262
Cermin bulat kecil yang diletakkan di atas meja di capai. Dia menilik wajahnya dicermin itu sambil menyapu krim malam. Pergerakan tangannya terhenti saat matanya menangkap kelibat sesuatu berdiri membelakanginya di cermin itu. Baju putih labuh itu di cemari darah. Rambut benda itu mengurai hingga ke punggung. Mata Ariana beralih pula ke tangan kotor benda itu yang dihiasi kuku yang cukup tajam dan berwarna hitam
Ariana meletakkan cermin itu dengan kasar di atas meja. Dia berpaling sambil membuat wajah tidak puas hatinya. Waktu itu juga pintu biliknya terbuka. Terjengul wajah rakan sebiliknya Fariha. Ariana berpaling semula. Tidak jadi dia hendak mengherdik benda itu. Dia yakin Fariha tidak dapat melihat benda itu. Dia tidak mahu Fariha berasa takut. Lagipun Fariha satu-satunya rakan yang tidak pernah cuba menjauhkan diri darinya hanya kerana sikapnya yang terkadang bisa menaikkan bulu roma orang di sekelilingnya.
Ariana hanya memerhati gerak laku Fariha yang meletakkan bungkusan di tangan ke atas meja belajar bersebelahan dia tanpa berminat untuk menegur. Ariana menyambung kerjanya menyapu krim malam di mukanya yang tergendala tadi.
“Ari” Suara Fariha membuat Ariana berpaling. Dia memandang tanpa perasaan. Fariha hanya tersenyum. Dia sudah biasa melihat sikap dingin Ariana, tapi dia tahu hati gadis itu baik.Fariha mendekat lalu menghulurkan sekeping kertas padanya. Ariana menyambut. Lama matanya tertumpu pada kertas hebahan itu. Program ‘Jungle Tracking’.
“Apa-apa ajelah.” Ujar Ariana sambil mencampak kertas itu ke atas meja Fariha semula. Dia bangkit lalu merebahkan diri di atas katil empuk itu. Seketika kemudian dia berbisik perlahan agar tidak didengari Fariha.
“Kau pergi! Tak payah nak tercongok dekat sini. Aku tak takut.” Bayang yang baru tadi bertinggung di hujung katilnya hilang begitu sahaja. Ariana terus melelapkan matanya.
Ariana menepuk nyamuk di lengannya. Peluh yang merecik di dahi di lap dengan hujung tudung. Matanya meliar ke sekeliling kawasan hutan itu. Beberapa rakan sekuliahnya masing-masing tenggelam dalam aktiviti mereka. Ada yang sedang memasak air, ada yang merehatkan tubuh yang kepenatan setelah seharian meredah hutan. Dia? Seperti biasa duduk menyendiri melayan perasaan.
“Jom semua Berkumpul dekat unggun api ni.” Suara prof Johan menerobos pendengaran Ariana. Gadis itu melangkah malas. Sebaik melabuhkan punggung, rakan di kiri dan kanannya menjauhkan sedikit diri mereka. Ariana membuat muka tidak berperasaannya. Sudah selalu sangat dia dipencilkan. Bukan setakat itu sahaja, malah ada yang menggelarnya gilalah, perempuan sihirlah. Gelaran itu lekat kerana sikapnya juga. Kalau dia merenung tajam seseorang dengan lama, berkemungkinan besar orang itu dirasuk. Ada yang pengsan, tidak kurang juga yang menjerit histeria. Alih-alih dia yang dituduh menyihir orang. Apa yang mereka tahu? Yang dia renung bukan calon-calon mangsa rasukan itu, tetapi yang direnung ‘benda’ yang mendampingi mereka.
“Kita nak mulakan aktiviti malam ni dengan
“ Meleret suara prof Johan mendatangkan saspens dalam diri semua yang ada.
“Cerita hantu!” Jelas suaranya teruja. Ariana tahu mata-mata rakan sekuliahnya terhala ke arahnya. Ah! Apa dia peduli.
“Prof Saya tak nak lah join. Saya ni lemah semangat.” Ariana memandang ke sebelah kanannya. Ada getar pada suara Alissa.
“Betul Prof Apa-apa jadi susah. Kita kan tengah hutan ni.” Doktor Asnizam yang sedari tadi hanya diam turut menyuarakan pendapatnya pada rakan sekerjanya. Keluhan panjang dilepaskan dari bibir prof Johan. Kecewa ideanya tidak diterima.
“Habis tu, kita nak buat apa?” Suara prof Johan sudah tidak seceria tadi. Seorang lelaki tiba-tiba bangun membuat semua mata tertumpu ke arahnya kecuali Ariana yang hanya menekur tanah. Semakin bosan pastinya.
“Kita menyanyi.” Ujar Hakim ceria. Beberapa rakan kuliahnya sudah bersorak. Majoriti bersetuju dengan cadangan lelaki tadi. Apa lagi, lelaki tinggi lampai itu segera bergerak ke khemahnya. Beberapa minit kemudian dia muncul bersama sebuah gitar.
“Larat kau angkut gitar redah hutan.” Tegur seorang rakannya yang agak berisi. Hakim hanya tersengih mendengar komen Arman itu.
Share this novel