Completed
4262
“Tuk Maaf cucu bertanya. Adakah tuk tahu di mana Hakim, sahabat kami?” Soal Ariana.
“Itu jugalah yang membawa tuk kemari. Tuk melangkaui hijab ke duniamu kerana sahabatmu itu telah melangkaui hijab ke dunia tuk. Puteri ratna bertujuh yang telah membawanya.” Kata-kata Tuk Pujangga jelas membuat Ariana merasa gelisah.
“Puteri ratna bertujuh? Bukankah mereka dari kalangan tuk yang punya kuasa hitam? Saya pernah mendengarnya dari guru saya, Ratna Seri Dewi. Ibu mereka.” Ariana terbayang wajah Ratna Seri Dewi yang bercahaya. Itulah kali pertama dia bertemu makhluk lain yang seindah ciptaan. Kelembutan yang ditunjukkan telah membantu diri Ariana memanfaatkan kelebihan yang dia ada sebaiknya. Kelebihan matanya yang wujud sejak dari lahir lagi. Kelebihan yang semakin diasah berikutan peredaran masa.
“Benar, mereka tersasar kerana sikap haloba mereka. Menginginkan kecantikan abadi dan kuasa yang tiada tertanding.” Ariana sudah menghela nafas sedalamnya.
“Apa tujuan mereka membawa Hakim?” Walau Ariana sudah mengetahui jawapannya, dia tetap menggagahkan diri bertanya.
“Sebagai korban pemujaan mereka.”
“Saya akan berentap dengan mereka.” Ariana sudah melurutkan pelukan Fariha di lengannya.
“Mulai saat ini, akan ku jadikan nyawa Hakim di bawah tanggungjawabku. Amanahku!” Selesai kata-kata itu, Ariana berlari laju ke arah kabus dan tidak semena-mena batang tubuhnya hilang ditelan kabus yang semakin pekat.
“Ada darah srikandi sepertimana Ratna Dewi.” Tuk Pujangga bersuara sebelum kelibatnya juga hilang dari situ.
Fariha sudah melorot di tanah dengan esakan yang pecah. Yang lain-lain seperti masih terkedu memandang kehilangan Ariana. Bagaimana mereka mahu membantu? Akhirnya masing-masing dirudum duka. Hanya di hati tidak habis berdoa untuk keselamatan dua sahabat mereka.
Ariana melangkah laju. Setiap langkah kakinya diiringi alunan zikrullah. Meski sekelilingnya gelap pekat, di hatinya tetap tiada walau sekelumit rasa takut. Dia terus melangkah dan melangkah. Perjalannya terasa seperti tiada penghujungnya. Dia kini seperti si buta. Tiada cahaya yang menerangi jalannya.
“Cucu” Ariana menangkap suara Tuk Pujangga. Dia berpaling mengikut arah suara itu. Saat itu dia melihat pancaran cahaya putih seperti membentuk satu lorong. Dengan lafaz basmallah, Ariana melangkah ke arah cahaya itu.
Ariana menutup matanya. Kedua-dua tangannya menutup cahaya yang terlampau menyilaukan. Seketika kemudian, Ariana membuka semula matanya. Terbentang satu perkampungan di hadapan matanya. Perkampungan itu persis perkampungan yang jauh jarak zamannya. Kesemua penduduk di situ memakai baju serba putih. Yang lelaki memakai jubah dan yang perempuan memakai kurung dan di kepala mereka tersangkut selendang putih bersih menutupi aurat selayaknya.
Ariana berpaling ke kanannya saat menyedari kehadiran Tuk Pujangga.
“Tuk Di mana saya boleh cari Ha” Belum sempat Ariana menghabiskan kata-katanya, Tuk Pujangga mencelah terlebih dahulu.
“Mari ke rumah tuk dahulu. Akan kita selesaikan bersama. ulah ini dimulakan dari kaum tuk sendiri. Tuk turut memikul amanahnya.” Ariana mengangguk. Dia membontoti langkah Tuk Pujangga. Selama ini Ariana belum pernah melangkaui hijab dengan jasadnya. Hanya matanya yang berjalan jauh memerhati kehidupan di alam lain. Dia dapat rasakan perbezaan berada di alam ini. Tubuhnya terasa ringan dan bertenaga.
Sepanjang perjalanan, Ariana amati suasana perkampungan bunian itu. Penduduk kampung itu rata-rata merenung Ariana dengan wajah yang berkerut. Kehairanan mungkin dengan kedatangan manusia. Tambah pula dengan cara Ariana berpakaian. Dia hanya mengenakan seluar track adidas berwarna biru gelap dan baju t-shirt hitam berlengan panjang serta tudung bawal yang juga berwarna hitam.
Tidak semena-mena langkah Ariana dihalang seorang pemuda bertubuh sasa. Tersentak Ariana dibuatnya hingga gadis itu terundur selangkah ke belakang. Tuk Pujangga yang awalnya berjalan di hadapan berpatah balik mendapatkan mereka.
Share this novel