BAB 5

Thriller Completed 4262

Ternyata laungan azan dan alunan zikrullah itu menyeksa makhluk tersebut. Kedengaran raungan kesakitan yang cukup nyaring keluar dari mulut makhluk itu yang terbuka luas. Ariana tidak bertangguh lagi, dia tunduk lalu mengambil segenggam tanah yang masih basah disirami embun malam. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.

“Auzubikalimatillahitammatiminsyarrimakhalak Allahuakbar!” Serentak itu, tangannya membaling kasar tanah di tangannya ke tubuh lembaga itu. Diiringi jeritan yang menggegar hutan itu, makhluk itu memudar dari pandangan. Angin yang bertiup kencang sebentar tadi semakin reda meninggalkan tiupan bayu malam yang lembut menampar pipi. Sherlis terkulai di atas tanah dengan nafas yang lemah.

Ariana melepaskan keluhan lega. Hatinya mensyukuri kejayaannya dalam pertempuran tadi dengan izin Allah.

Nafas Ariana terhenti tiba-tiba. Dia menoleh ke sekeliling arah seperti mencari sesuatu. Rakan-rakannya yang lain sudah tidak senang duduk melihat perlakuan Ariana. Bimbang berlaku pertempuran dasyat seperti tadi.

“Ari Ada apa?” Fariha memberanikan diri bertanya dengan teman sebiliknya itu. Ariana diam buat beberapa ketika sebelum bersuara.

“Tuan rumah datang menjenguk.” Kata-kata Ariana mengundang kerutan di wajah semua kecuali abang Man meski dia tidak mempunyai keistimewaan seperti Ariana.

Sebentar kemudian, kelihatan kepulan asap putih berarak dari celahan pepohon hutan. Dari kepulan asap itu keluar seorang lelaki tua tetapi bertubuh tegap sambil memegang tongkat kayu. Di bahagian pemegang kayu itu terukir kalimah Allah yang memancarkan warna keemasan. Ariana menarik nafas lega. Lega kerana makhluk ini juga islam sepertinya. Ariana memerhati lelaki tua itu. Seraut wajah tua itu kelihatan tenang dihiasi jambang yang panjang beruban. Serban dan jubah serba putih yang membaluti tubuh lelaki itu berkibar ditiup angin yang Ariana tidak rasai. Mungkin angin didunia mereka.

Ariana menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat.

“Assalamualaikum tuk.” Ariana membuka bicara. Fariha yang berdiri di sebelah Ariana sudah pucat. Apa lagi yang Ariana nampak yang mereka tidak dapat melihat dengan mata kasar. Dia menggoncangkan tubuh Ariana perlahan namun Ariana hanya memandang sekilas ke arahnya.

“Waalaikumussalam, cu.” Balas suara itu tenang. Lelaki tua itu merenung wajah-wajah yang berada di sisi Ariana satu persatu sebelum matanya dipejamkan dan mulutnya terkumat-kamit tanpa suara yang jelas. Kemudian bibir tua itu dimuncungkan seolah meniup ke arah mereka. Sebaik lelaki tua itu membuka matanya, semua yang ada di situ tersentak. Kini mereka melihat apa yang Ariana lihat. Mereka semakin merapat sesama sendiri melihat wujud yang muncul entah dari mana.

“Assalamualaikum, tuk.” Ujar abang Man pula setelah bayangan telus wajah itu jelas di matanya.

“Waalaikumussalam” Lelaki tua itu berjeda.

“Panggil hamba Tuk Pujangga. Tuk adalah ketua di kampung bunian ini. Kampung yang tidak terlihat di mata kalian sepertimana kalian yang tidak terwujud di mata penduduk tuk kerana hijab yang Allah S.W.T tabirkan antara kita.” Ariana mengangguk. Mata Tuk Pujangga terarah pada Ariana.

“Namun ada antara kamu yang punya anugerah. Bisa melangkau tabir hijab sepertimana tuk.” Ariana tersenyum mendengarnya.

“Mungkin ini anugerah. Namun mungkin juga ini ketidaksempurnaan. Kerana ini bukan fitrah asal kejadian.” Perkataan Ariana berjaya membawa senyuman di bibir Tuk Pujangga.

“Kamu bijak bermadah bicara, cucu.” Puji Tuk Pujangga.

“Puji-pujian hanya bagi Allah. Apa yang terfikir di akal ini dan yang terlafaz di bibir ini semuanya kurniaan Allah.” Lembut suara Ariana merendah diri. Rakan-rakannya yang lain sudah memandang kagum ke arahnya. Adakah ini Ariana yang sama? Gaya percakapannya berubah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience