Completed
4262
Ariana mengerutkan kening melihat lelaki itu yang langsung tidak mengangkat wajahnya. Tuk Pujangga menghampiri mereka lalu memegang bahu pemuda tersebut.
“Apa tujuanmu Hasbullah?” Soal Tuk Pujangga.
Lelaki muda itu mengangkat wajahnya berbalas pandang dengan Tuk Pujangga. Ariana hanya diam memerhati.
“Tuk membawa ancaman ke perkampungan kita.” Lembut suaranya namun bernada tegas.
“Dia bukan ancaman. Ancaman datang dari kaum kita sendiri.” Tuk Pujangga memandang Ariana sekilas.
“Manusia ini ke sini atas kehendak takdir. Dia kini amanahku.” Sambung Tuk Pujangga. Terdengar keluhan halus dari bibir lelaki itu. Saat itu Ariana mengerti lelaki itu tidak menyenangi kehadirannya di dunia ini.
“Tidak baik mengeluh, Hasbullah Nanti selepas isyak, datang ke rumahku. Assalamualaikum.” Tuk Pujangga memberi isyarat pada Ariana untuk mengekorinya.
“Waalaikumussalam.” Ariana sempat menangkap suara pemuda itu sebelum berlalu.
Cempaka, cucu Tuk Pujangga duduk bersimpuh di sebelah Ariana.
“Jemputlah minum.” Sopan dan lembut sekali tingkah Cempaka. Ariana membalas senyuman manis gadis jelita itu seadanya. Hatinya masih risau memikirkan keadaan Hakim.
Tuk Pujangga bangun dari duduknya menuju ke luar rumah setelah mendengar salam. Ariana turut bangkit. Dia mengintai dari sebalik dinding berdekatan pintu utama. Cempaka turut mengekorinya.
“Hasbullah itu elok rupanya, bukan?” Ariana berpaling saat mendengar suara Cempaka di belakangnya. Ariana hanya tersenyum hambar. Dia sebenarnya tidak berminat dengan bicara Cempaka.
Ariana kembali menjatuhkan pandangannya ke laman rumah yang menjadi kawasan perbualan Tuk Pujangga, Hasbullah dan enam pemuda lagi. Dia dapat menangkap butir bicara mereka dengan jelas.
“Bertempur dengan puteri Ratna bertujuh? Kita tidak punya kekuatan, tuk.” Bantah seorang lelaki yang agak tinggi lampai. Juga bertubuh sasa. Jika diperhatikan, kesemua pemuda itu mempunyai raut wajah yang kacak dan tubuh yang sasa.
“Barangkali kau takut, ya Megat?” Usik pemuda yang berdiri di sebelah Megat. Megat kelihatan tersenyum.
“Mengapa perlu aku takut pada mereka. Aku hanya menyatakan kebenaran. Jangan kau lupa apa yang diajarkan pada kita. Takut itu hanya pada Allah.” Terang Megat.
“Bagaimanapun, Puteri Ratna bertujuh telah melanggar peraturan. Mereka sudah melampaui batas. Ulah mereka telah mendatangkan kesusahan pada manusia. Kita harus membantu apa yang termampu.” Tuk Pujangga berpaling. Ariana yang sedang mencuri dengar agak terkejut melihat pandangan Tuk Pujangga terarah padanya. Dia memberanikan diri turun dari rumah papan beratap nipah itu dan menyertai mereka di laman.
Entah bagaimana mata Ariana bertaut lama dengan pemuda yang berdiri di sebelah Megat tadi. Ariana hanya memandang kosong tapi riak wajah pemuda itu sukar ditafsir. Ariana segera mengalihkan pandangannya pada Tuk Pujangga namun melalui ekor matanya, dia tahu pemuda itu masih memerhatinya.
“Arjuna, jaga pandanganmu.” Tegur satu suara. Ariana kenal suara itu. Pemiliknya adalah Hasbullah.
‘Oh Nama dia Arjuna.’ Bisik hati Ariana.
“Namaku Ariana. Aku datang ke mari untuk menuntut semula sahabatku.” Ariana berhenti berbicara saat ada suara garau yang mencelah.
“Hebat sungguh kamu wahai kaum hawa. Tahukah kamu apa yang kamu tempah dengan ke mari?” Sinis sekali nadanya.
Share this novel