Completed
4262
“Suatu hari nanti kau akan faham Ariana.” Sampuk Sari sambil menepuk-nepuk perlahan paha adik segurunya itu.
Saat perpisahan sudah tiba. Ariana melindungi rasa sebak di sebalik senyumannya. Tangan Sari dan Cempaka di genggam erat. Baru dia tahu bahawa Sari dan Cempaka merupakan adik-beradik. Kedua-duanya adalah cucu Tuk Pujangga. Hanya Sari membawa diri berguru dengan Ratna Seri Dewi. Merantau demi ilmu. Itulah takdir kurniaan-Nya. Indah sekali.
“Mungkinkah kita akan bertemu lagi?” Soal ariana.
“Andai ada jodoh, pasti kita bertemu lagi.” Sari merenung anak mata Ariana. Dia tahu apa yang ada di fikiran gadis itu.
“Biarlah guru mengubat hatinya yang lara. Masa akan mengurangkan kesakitannya. Tapi, yakinlah bahawa tiada dendam di sebalik kesedihannya. Dia bersedih layaknya seorang ibu.” Sari menguntum senyuman melihat anggukan Ariana.
“Silaturrahim yang terbina ini takkan mudah putus. Percayalah” Ujarnya lagi.
Ariana mendapatkan Hakim yang sedang bersalaman dengan Tuk Pujangga dan anak-anak murid Tuk Pujangga itu. Mereka berbalas senyuman. Ariana sempat melihat Arjuna yang tersenyum ke arahnya sebelum pandangan mereka dilindungi kabus tebal.
“Ariana!” Fariha memeluk tubuh Ariana sebaik sahaja gadis itu muncul dari sebalik kabus. Ariana memerhati rakan-rakannya yang masih di tikar sejadah. Kesemuanya bangkit dan mengelilinginya dan Hakim. Gamat kawasan itu dengan pertanyaan tanpa henti dari rakan-rakannya. Selama beberapa hari Ariana dan Hakim di dunia bunian, selama itulah rakan-rakannya kekal di situ berdoa dan terus berdoa.
“Ariana.” Ariana menoleh ke arah abang Man sebaik mendengar namanya dipanggil. Matanya tertancap pada seraut wajah tenang di sebelah abang Man.
“Kenalkan. Ini ustaz Rahimin.” Ujar abang Man. Ariana mula merasa sesuatu. Dia seperti pernah melihat wajah itu. Seketika dia merenung wajah abang Man dan Ustaz Rahimin silih berganti.
“Aman? Rahimin?” Kenangan sepuluh tahun lalu mendarat di mindanya. Abang Man dan ustaz Rahimin tersenyum nipis lalu menganggukkan kepala mereka. Mata Ariana melilar pula pada tikar-tikar sejadah yang terbentang menghadap kiblat.
“Suara ramai-ramai tu” Ingatannya beralih pula pada suara-suara takbir yang menemaninya saat dia melemparkan keris putih itu ke arah puteri sulung. Bebola matanya kembali terarah pada dua lelaki itu.
“Itu suara kami, Ariana.” Ustaz Rahimin bersuara.
“Mungkin awak tak perasan, tapi sepanjang pertempuran itu, kami turut berjuang di sisi awak. Doalah senjata yang kami bekalkan.” Ujarnya lagi. Ariana mengangguk lama. Barulah dia faham dari mana keris putih itu datang dan dari mana tenaga tiba-tiba meresap masuk ke tubuhnya. Pusaran air itu petunjuk dari Allah. Petunjuk yang membawanya ke arah senjata yang dibekalkan rakan-rakannya iaitu doa yang terzahir dalam bentuk sebilah keris putih di dunia sana bagi mengiringinya dalam pertempuran. Betapa besarnya kuasa Allah.
“Mama! Kuih hangus” Adu Ariana dengan muka cemberut. Artika segera mengangkat kuali yang sudah berasap itu lalu diletakkan ke dalam singki. Hairi yang kebetulan masuk ke dapur ketawa besar melihat kuih karipap yang sudah rentung itu.
“Anak papa ni goreng karipap ke batang kayu?” Usiknya sebelum ketawanya lepas lagi. Artika turut ketawa.
“Nasib baik mama ada. Kalau tak, terbakar dapur ni.” Ketawa kedua-dua ibu bapanya meletus lagi ditemani hilaian halus dari tepi pintu dapur. Ariana mencerlung ke arah benda yang kelihatan separuh sahaja tubuhnya manakala separuh lagi terlindung di sebalik dinding. Wajah itu ditutupi rambut yang panjang. Ariana sudah memeluk tubuh.
‘Kurang ajar punya syaitan. Kau ketawakan aku. Siap kau.’ Marah ariana dalam hati sebelum mulutnya terkumat-kamit membaca potongan ayat al-Quran dan benda itu hilang begitu sahaja bersama jeritan kesakitan.
Jeritan kesakitan meletus lagi. Tapi kali ini jeritan itu keluar dari mulut Ariana. Kesakitan kerana pipinya dicubit oleh Hairi.
Share this novel