BAB 8

Thriller Completed 4262

“Janganlah kamu cuba menjadi ketua, kami laki-laki jauh lebih layak darimu. Tahulah kamu di mana layaknya kamu.” Suara itu menyindir lagi.

“Aku tahu. Aku perempuan yang lemah. Tapi tidak bermakna aku tidak bisa berjuang. Jangan kamu lupa dalam kelembutanku ada ketegasan. Tangan yang menghayun buaian bisa menggegar dunia.” Bantah Ariana dengan tegas membuat pemuda tadi terdiam. Arjuna menyinggung siku pemuda tadi.

“Sudah kelukah lidahmu yang petah itu setelah bicaramu dipatahkan kaum hawa ini, Mikhail?” Arjuna kemudiannya tertawa kecil berjaya mengusik rakannya itu.

Tuk Pujangga sudah menggelengkan kepalanya. Senyuman kecil menguntum di bibir.

“Kamu masih dengan kenakalanmu, Arjuna.” Rumus Tuk Pujangga. Dia kemudiannya berbalas pandang dengan Ariana.

“Cucu, tujuh pemuda ini merupakan anak didikku yang paling aku percaya. Tuk kenalkan dari kanan, Hasbullah, Megat, Arjuna, Mikhail, Luqman, Saifullah dan Firdaus.” Ariana mengangguk perlahan.

“Mereka akan menemanimu. Mereka juga sudah cukup bersedia untuk berentap dengan Puteri Ratna bertujuh. Tuk juga akan membantu apa terdaya.” Ariana sudah berkerut keningnya.

“Tuk Saya ke mari dengan satu niat. Membawa pulang sahabat saya. Selagi saya mampu elakkan pertempuran, saya” Belum sempat Ariana menghabiskan bicara, Tuk Pujangga sudah mencelah.

“Pertempuran ini telah Tuk jangka. Kamu tidak akan dapat mengelak lagi. Tuk yakin gurumu ada menitipkan pesan padamu samada kamu sedar ataupun tidak.” Ariana memerah otaknya.

Keningnya sedikit terangkat mengingatkan kata-kata akhir Ratna Seri Dewi sebelum menghilang dari hidupnya. ‘Ingat Ariana Takdir Allah itu sangat teliti. Takdir kita terikat kemas. Ariana pula mempunyai takdir besar yang menanti. Saat itu tiba, maka berserahlah sepenuhnya pada Allah.’ Ariana sudah mengetap bibirnya. ‘Inikah takdir aku yang Ratna Seri Dewi maksudkan?’ Getus hati kecilnya.

“Min! Mujur kau sampai juga.” Abang Man segera mendapatkan Ustaz Rahimin yang baru tiba di tapak perkhemahan.

“Ya, sebaik dapat pesanan Man, aku terus berkejar ke sini. Apa yang dah berlaku?” Soal Ustaz Rahimin sambil melilar matanya memerhati wajah muram mereka yang berada di situ.

“Terlalu panjang untuk diceritakan. Tapi, yang penting sekarang dua ahli sudah hilang ke dunia lain. Dunia bunian” Ujar abang Man. Dia memerhati riak tenang di wajah Ustaz Rahimin yang sedikit pun tidak berkocak.

“Yang hilang adalah Hakim dan. Ariana.” Perlahan suara abang Man. Ustaz Rahimin tersentak.

“Ariana?” Dia menelan liur.

“Kau pasti Aman?” Kejutan yang diterima membuat ustaz Rahimin menyebut nama penuh abang Man. Lelaki itu kelihatan mengangguk.

“Subhanallah Inilah takdir Allah.” Ustaz Rahimin memuji Allah. Peristiwa sepuluh tahun lalu menjengah mindanya dan Aman atau dikenali abang Man.

“Dia kenal kau, Man?” Soal Ustaz Rahimin lagi. Kali ni Aman menggeleng. Mungkin kerana panggilan orang sekeliling tidak kira lapisan umur menggelarkan dia sebagai abang Man yang membuatkan gadis itu tidak mengenalinya atau mungkin dia sudah tiada dalam kotak ingatan gadis itu.

“Kita mulakan.” Ustaz Rahimin menepuk lembut bahu rakannya. Abang Man pantas mengangguk. Mereka tiada masa untuk dibuang.

Ariana mengintai dari sebalik pohon hutan. Matanya diarah pada sungai yang mengalir deras. Saat itu dia menangkap kelibat sekujur tubuh terbaring di atas batu sungai besar betul-betul di tengah sungai berdekatan air terjun. Suram malam menyebabkan Ariana sukar untuk mengecam pemilik tubuh itu.

“Megat, aku ke sana.” Ariana berbisik perlahan pada Megat yang berada di sebelahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience