Completed
4262
Cahaya.’ Tangan kecil itu dihulur ke luar jendela. Sesekali tangan itu bergerak-gerak menikmati cahaya matahari petang. Terasa kehangatan sinaran mentari. Bibir merah gadis kecil itu mengukir senyuman.
“Ariana.” Lembut Artika memanggil nama anak gadisnya. Mata comel itu bulat memandangnya. Ariana tersenyum sebelum berlari-lari anak ke arahnya. Ariana anaknya yang berumur sepuluh tahun. Satu-satunya anak miliknya dan Hairi, suaminya. Pipi gebu Ariana diusap lembut.
“Jom keluar makan.” Ajak Artika. Ariana mengangguk laju lalu berlari ke almari merah jambu bercorak hello kitty itu bagi menukar baju. Artika tersenyum sebelum berlalu keluar dari bilik tidur sederhana besar itu.
Satu demi satu pakaian yang disangkut itu dibelek. Pergerakan tangannya yang ligat menolak pakaian ke dinding almari terhenti. Matanya tertancap pada satu tubuh kecil yang bercangkung menghadapnya dalam almari itu. Tubuh kanak-kanak lelaki yang kelihatan sebaya dengannya itu kelihatan agak kebiruan. Ariana memandang tajam budak itu yang hanya menunduk tidak menampakkan wajahnya.
“Pergi! Aku tak kacau kau! Jangan kacau aku!” Marah Ariana dengan nada keras.
“Aku tak takutlah!” Ujar Ariana lagi saat telinganya menangkap bunyi ketawa kecil. Perlahan dan menyeramkan. Seketika kemudian tubuh itu hilang dari pandangan. Ariana menarik nafas lega.
Dia menyarung blaus hijau muda ke tubuh kecilnya. Baru dia hendak melangkah keluar dari biliknya, langkahnya mati. Telinganya menangkap bunyi ketawa kecil itu lagi. Tanpa menoleh ke belakang, Ariana bersuara.
“Suka hati kau lah. Jangan fikir aku nak layan.” Habis sahaja bicaranya, dia melangkah keluar.
Ariana termenung di tempat duduknya. Kebingitan rakan-rakan sekelasnya bermain tidak sedikitpun menarik minatnya untuk menyertai mereka. Matanya hanya terarah di satu tempat iaitu sudut di tepi pintu. Gadis kecil itu menongkat dagunya dengan sebelah tangan. Tidak berkelip matanya melihat sudut itu sejak guru subjek matematik meninggalkan kelas tahun 4 mawar itu.
Sehelai kapal terbang kertas jatuh betul-betul di atas mejanya. Ariana langsung tidak mempedulikan Aman, rakan sekelasnya itu yang semakin mampir dengannya. Tangan kecil Aman mencapai kapal terbang kertas yang sengaja dia baling ke arah Ariana.
Aman memandang sekilas wajah comel Ariana sebelum matanya terarah ke sudut yang sedari tadi menerima panahan mata Ariana.
“Hantu mana pula yang kau nampak duduk dekat situ?” Soalan Aman mengalih perhatian Ariana. Ariana hanya diam tanpa jawapan. Dia memandang wajah Amar dengan pandangan yang sukar ditafsir.
“Aman Jomlah. Takut aku tengok dia pandang macam tu. Nanti tak pasal-pasal kau kena kejar dengan hantu dia.” Rahimin, rakan Aman sudah menarik-narik tangan Aman dengan wajah yang dibayangi kerisauan. Aman menarik semula tangannya.
“Apa nak takut? Kau percaya sangatlah yang dia boleh nampak hantu Dia ni sebenarnya gila. Takkan kau tak ingat, mak saudara dia tu pun gila. Penyakit keturunan.” Sindir Aman. Rakan-rakan sekelas yang lain sudah tertawa kecuali Ariana dan Rahimin.
Ariana bingkas dari duduknya. Dia berhadapan dengan Aman yang telah mati tawanya. Matanya mencerlung tajam ke arah Aman yang mula kelihatan pucat. Dia terus berlalu dari situ. Bahunya sengaja dilaga kuat dengan bahu Aman. Dari luar kelas dia dapat mendengar suara rakan-rakan sekelasnya menggelarnya gila. Suara yang paling kuat sekali adalah suara Aman.
Ariana melepaskan keluhan perlahan. Rambutnya yang semakin panjang itu disisir dengan jari sebelum diikat satu. Matanya kembali merenung syiling. Kejadian dia dibuli sepuluh tahun yang lalu masih segar diingatan. Dia dibuli hanya kerana dia menceritakan kelebihannya yang bisa melihat melangkaui hijab. Ariana melepaskan keluhan panjang. Meski dia sudah menjejak menara gading, mentaliti rakan-rakannya masih seperti budak sekolah rendah. Dia masih lagi disisih kerana sikapnya yang sesekali terlihat pelik.
Share this novel